Translate

Tajaan

Khamis, 28 April 2011

Bahasa Melayu Dipinggir Bangsa Sendiri

Bahasa Melayu akan menjadi lemah jika fungsinya tidak dikembangkan selaras dengan perkembangan bidang sains dan teknologi walaupun ia pernah menjadi salah satu bahasa terulung di dunia.

Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Salleh, berkata pandangan yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh mempunyai keupayaan untuk menjadi bahasa ilmu adalah tidak benar sama sekali kerana telah ramai cendekiawan telah lahir dengan berteraskan bahasa Melayu.

“Saya tidak nampak kenapa bahasa Melayu tidak boleh dikaitkan dengan kemajuan atau ilmu kerana ia mempunyai istilah-istilah yang merangkumi semua bidang, termasuk sains dan teknologi,” Muhammad memberitahu malaysiakini hari ini.

Katanya, bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua-franca dan lahir sejak ribuan tahun yang silam, kini mempunyai lebih 800,000 istilah di dalam berbagai bidang, termasuk sains dan matematik.

Oleh itu, adalah amat menghairankan apabila orang Melayu sendiri tidak yakin dengan kemampuan bahasa ibunda mereka yang cukup indah dan kaya, kata Muhammad, yang mempunyai pendedahan yang amat luas di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah pelik kerana orang asing turut mengkaji bahasa Melayu dan mengakui bahawa ianya adalah bahasa yang keempat terbesar di dunia serta mempunyai potensi untuk terus berkembang.”

Cari pendekatan lain

Muhammad, 60, yang berlatarbelakangkan sastera Inggeris, berkata demikian ketika melahirkan rasa tidak setuju beliau dengan langkah kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang dijadualkan bermula tahun depan.

“Sebenarnya bahasa bukan hanya sekadar alat komunikasi, tetapi menggambarkan cara sesuatu bangsa berfikir,” kata Muhammad, yang dinobatkan dengan anugerah tertinggi sastera negara itu pada tahun 1991.

Beliau yang bersetuju bahasa Inggeris diberi lebih perhatian agar rakyat negara ini dapat menguasainya dengan lebih baik, bagaimanapun tidak bersetuju dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Katanya, pendekatan lain harus dicari untuk membolehkan rakyat negara ini menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

“Sebenarnya, bukanlah perlu bagi semua rakyat negara ini mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi, melainkan ada keperluan untuk itu, seperti untuk mewakili negara bercakap pada peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, apakah perlu bagi seseorang yang menceburkan diri dalam bidang pertanian mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi sehingga mengabaikan bahasa ibundanya sendiri.

“Apa yang kita perlukan ialah beberapa ahli sains atau perniagaan yang mahir di dalam bahasa Inggeris dan bukannya kesemua,” katanya.

Pukulan teruk

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar rakyat negara ini turut mempelajari bahasa asing yang lain seperti Mandarin, Sepanyol, Perancis dan Arab, yang juga merupakan bahasa yang ulung di dunia.

Muhammad menambah bahawa Malaysia jelas muncul sebagai negara yang pesat membangun selepas mencapai kemerdekaan 45 tahun yang lalu dengan menggunakan Bahasa Malaysia.

“Kita mempunyai doktor dan jurutera yang memperolehi kemahiran tersebut dengan mempelajarinya di dalam Bahasa Malaysia,” kata Muhammad, yang juga menjadi pensyarah universiti lebih dari 30 tahun serta menterjemahkan karya-karya sastera ke dalam bahasa asing.

Oleh itu, beliau mempersoalkan kenapakah ahli-ahli politik di negara ini begitu ghairah untuk menukar halatuju bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan tanpa mengambil kira pandangan dari pakar-pakar di dalam bidang bahasa dan pendidikan.

“Bahasa adalah hak semua orang dan biarlah mereka yang pakar menentukannya,” katanya.

Menjadi mangsa

“Bagi saya, perubahan ini merupakan satu pukulan teruk kepada Bahasa Melayu yang sepatutnya terus diperkembangkan selari dengan kemajuan dunia kini,” kata Muhammad.

Muhammad menambah sesuatu bahasa itu menjadi kaya kerana ia digunakan secara meluas secara ribuan tahun dan oleh itu adalah tidak wajar sekiranya mana-mana pihak cuba membantutkan penggunaan secara mendadak.

“Sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggersis, saya percaya pelajar-pelajar di luar bandarlah yang akan menjadi mangsa kepada dasar tersebut,” katanya.

Katanya, adalah menjadi pengetahuan umum bahawa pelajar di luar bandar tidak mendapat kemudahan dan guru-guru yang baik.

“Jadi, bagaimanakah mereka akan mampu menyaingi pelajar di bandar,” katanya.

Beliau berkata adalah menyedihkan apabila bahasa Melayu — salah satu bahasa tertua dan kukuh di dunia — cuba dipinggirkan oleh pengguna bahasa itu sendiri semata-mata kerana tidak mempunyai pemahaman yang tidak betul mengenainya.

- Yusof Ghani

Khamis, 14 April 2011

Haram Tetap haram... No kompromi


Sila lihat di atas dan baca hadith di bawah ini

Nu'man bin Basyir r.a. berkata: Aku mendengar Rasullullah Sollallahualaihiwasalam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram pun jelas dan di antara keduanya ada hal-hal yang syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa menjauhinya, maka ia telah membersihkan agama dan kehormatannya sebaliknya sesiapa memasuki syubhah, ia telah memasuki keharaman, bagaikan penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, tidak lama ia akan jatuh ke dalamnya”. (HR Bukhari dan Muslim)

Lebih parah lagi umat Islam ditipu. Kita mati-mati ingatkan Ribena ni semuanya ok tapi rupa-rupanya RIBENA ADA ARAK. Tak percaya baca berita ini.

LONDON : Pemimpin Islam di Birmingham menggesa diadakan rombakan menyeluruh dalam undang-undang pengguna selepas kemunculan berita menggemparkan bahawa dua minuman ringan kegemaran mengandungi arak.

BirminghamPost semalam melaporkan ramai peniaga membuang stok Ribena dan Lucozade selepas pengguna! mendapati ramuan perisa air minuman itu mengandungi arak meskipun pada paras yang rendah. Peraturan makanan tidak mensyaratkan pengeluar produk itu, Glaxo-SmithKline menyenaraikan arak pada bungkusan minuman itu kerana kandungan arak itu pada! kadar yang rendah.



Bagaimanapun, umat Islam yang diharamkan daripada meminum arak mendakwa semua minuman ringan seharusnya dilabelkan dengan jelas jika ada ramuan yang bercampur arak meskipun amat sedikit. Empat tahun lalu, Walkers, sebuah syarikat makanan, menukar label pada bungkusan kerepeknya selepas akhbar Birmingham Post mendedahkan snek keju dan bawangnya mengandungi ekstrak lembu tidak sembelih. Kandungan arak dalam Ribena dan Lucozade adalah kurang daripada 0.1 peratus tetapi umat Islam memberitahu Birmingham Post bahawa mereka kecewa selepas mengetahui bahawa mereka sejak sekian lama meminum arak meskipun pada paras yang teramat rendah.

Pengerusi Masjid Jamik Birmingham, Dr Mohammed Naseem menyuarakan rasa terkejutnya kerana undang-undang itu masih membenarkan kandungan dalam makanan atau minuman tidak dinyatakan dengan jelas pada label.. 'Kita amat kecewa kerana sebelum ini umat Islam menganggap minuman ringan seperti Ribena dan Lucozade ini halal tetapi sebaliknya,' katanya.

Pekedai yang juga anggota Persatuan Peniaga Ladypool, Mohammed Zaman Khan berkata penjualan Ribena dan Lucozade jatuh mendadak sejak beberapa minggu lalu dan beliau memastikan produk itu tiada pada rak kedainya.

Jurucakap Glaxo-SmithKline memberi alasan label minuman dan makanan pasti tidak dapat dibaca jika peraturan mensyaratkan semua komponen bagi penyediaan makanan itu dinyatakan. 'Sesetengah bahan perasa mengandungi lebih 50 komponen. Kami amat sensitif dengan keperluan budaya pengguna dan cuba menangani isu itu jika ia dimaklumkan kepada kami,' katanya.

Beliau mengakui minuman tenaga Lucozade berperisa asli, limau, tropika dan sitrus mengandungi paras rendah arak begitu juga deng! an lima perasa yang disediakan untuk Ribena.. - Agensi

Misrz Lollybabe: perkara begini elok kita rujuk Jab. Agama kita dulu, barulah kita buat keputusan, sebab melalui artikel ini, ini kes di Luar Negara; Maka kalau kita di Luar Negara elok jangan minum Coke atau Ribena ini.

Harapan kita agar di negara kita Syarikat minuman ini tidak sampai sama adunannya bagai di Luar Negara kita.

Rabu, 13 April 2011

'Hubungan Dengan Shahir Bukan Luar Biasa' - Rozita Che Wan

KUALA LUMPUR: Pelakon Rozita Che Wan mengakui hubungannya dengan Shahir (AF8) bukan sesuatu yang luar biasa kerana mereka pernah bertemu sebelum ini termasuklah digandingkan bersama menerusi telefilem 'Summer Camp'.

Kata Rozita, sebagai seorang pelakon dia berkawan dengan semua orang dan tidak menghiraukan apa juga gosip yang dilemparkan kerana sudah biasa melalui pengalaman itu.

“Saya tak pernah fikirkan pasal gosip kerana sebelum ini pun orang selalucakap tentang hubungan saya dengan Datuk K dan ramai lagi.

"Bagi saya, kalau kita tak buat pun kadangkala orang akan cakap kita buat,” ujar Rozita ketika ditemui pada majlispengumumannya sebagai duta Safi Rania Gold di Restoran Bunga Emas, Royal Chulan, di sini, Rabu.

Hubungan Rozita dengan Shahir diperkatakan semula apabila mereka dilihat bertemu di suatu tempat bersama pengurus peribadi masing-masing pada majlis Anugerah Bintang Popular 2010 di Genting Highlands, 3 April lalu.

Kata pelakon itu, dia juga enggan memikirkan gosip yang mungkin akan dibangkitkan selepas dia dan penyanyi itu digandingkan sebagai kekasih dalam telefilem tersebut.

Mengenai bayaran yang diterimanya sebagai duta produk Safi Rania Gold, pelakon yang popular menerusi drama Kiah Pekasam ini mengaku ditawarkan dengan jumlah mencecah ratusan ribu ringgit untuk kontrak setahun.

"Saya sangat berterima kasih kepada Unza atas pelantikan saya sebagai duta produk ini. Saya rasa bersyukur, bangga dan teruja berjumpa dengan wanita seusia saya untuk berkongsi rahsia kecantikan kulit.

"Bagaimanapun saya menolak dakwaan mengatakan saya tidak jadi bersara kerana tawaran ratusan ribu ringgit ini sebaliknya menganggap ia sebagai rezeki.

"Lagipun saya baru menerima tawaran ini pada bulan lepas," jelas Rozita.

Tambahnya: "Saya juga menerima untuk berlakon drama Iparku Diva bukandisebabkan bayaran tinggi seperti yang digembar-gemburkan.

"Jika orang mengata saya 'demand', ia bergantung kepada kerja saya kerana saya sangat menjaga kualiti."

Dalam perkembangan lain, ibu tunggal dua anak ini baru selesai menjalani penggambaran drama Mata Ayer untuk slot Legenda di TV3.

Selepas ini Rozita akan terlibat dengan drama slot yang sama berjudulSajundai, drama Memori Semalam untuk TV9 dan drama Kiah Pekasam musim kedua untuk Astro

Bercerita tentang Safi Rania Gold, Rozita gemar menggunakan produk tersebut kerana ia mampu melambatkan proses penuaan, menghilangkan jeragat dan kusam serta mampu menganjalkan kulit dalam masa tiga minggu.

Ahad, 10 April 2011

Batu nisan 20 kubur lama 'hidup'

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED

GUA MUSANG – Penduduk Kampung Batu Melintang dekat sini terkejut kerana batu-batu nisan di sebuah kubur lama di kampung itu didakwa hidup apabila saiznya semakin membesar dan meninggi.

Kubur tersebut yang dikatakan wujud sejak 200 tahun lalu, menyemadikan penduduk tempatan pada zaman dahulu.

Kini ia sudah tidak digunakan lagi setelah perkuburan baharu disediakan di Kampung Kuala Sungai tiga tahun lalu.

Sejak penggunaan tanah perkuburan beralih ke kubur baharu, kubur lama yang menempatkan hampir 150 jenazah penduduk beragama Islam itu kini terbiar dan dipenuhi pokok-pokok hutan.

Sebelum ini, menurut penduduk, batu- batu nisan itu memang telah dilihat membesar, namun tidak pernah dilapor- kan media.

Tinjauan Kosmo! Ahad ke lokasi tersebut mendapati, sebanyak 20 buah kubur lama yang batu nisannya menjadi tinggi, manakala kawasannya dipenuhi dengan semak-samun.

Batu-batu nisan di kawasan perkuburan itu memang besar dan tinggi sehingga ada yang hampir menyamai tinggi orang dewasa.

Kosmo!

Kandungan protein telur tiruan menyamai tulen - Tiong Lai

10/04/2011 1:52pm

KUANTAN 10 April – Kementerian Kesihatan mengesahkan kandungan telur ayam tiruan yang diperoleh di Pasar Pulau Tikus, Pulau Pinang baru-baru ini menyamai telur tulen.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, persamaan seratus peratus kandungan protein telur ayam tersebut disahkan selepas bahan makanan itu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), kelmarin.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan mengadakan pemeriksaan DNA kali kedua bersama Jabatan Kimia esok terhadap sampel berkenaan untuk menentukan tahap ketulenannya.

“Ujian DNA pertama mendapati telur ayam tersebut tiada mempunyai sebarang masalah kepada pengguna,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia peringkat kebangsaan di Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini. - Utusan

Khamis, 7 April 2011

Petua Menyembuhkan Ketuat

Ketuat merupakan satu masalah yang biasanya tidak diambil berat melainkan jika ianya berada di tempat yang mengganggu seperti di tangan ataupun di tapak kaki.

Walaupun begitu ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkannya, antaranya ialah;
  • Bancuh abu ubat nyamuk dengan air. Sapukan pada ketuat setiap hari sehingga ianya hilang.
  • Sapukan sedikit kapur sirih pada bahagian yang ditumbuhi ketuat. Biarkan kering beberapa minit dan jangan dibersihkan. Biasanya ketuat ini akan tanggal dengan sendirinya tanpa rasa pedih dan meninggalkan parut.
  • Ketika memasak dan menggoreng ikan, celupkan lidi atau batang sate ke dalam minyak panas, kemudian titikkan pada ketuat tersebut. Lakukan beberapa kali sehingga ketuat itu hilang.
  • Sapukan getah dari pelepah betik yang dipetik terus dari pokoknya ke atas ketuat. Biarkan ia kering sendiri. Lakukan beberapa kali sehingga ketuat hilang dan gugur sendiri.
  • Tumbuk lumat empat helai daun kesum kemudian campurkan dengan sedikit garam halus. Sapukan campuran ini pada ketuat.
Sumber Internet.

Ketuat boleh dirawat

Sering kali disalah anggap sebagai tahi lalat ataupun jeragat pada kulit, masalah ketuat (warts) sebenarnya berlaku secara meluas di seluruh dunia. Memandangkan kebanyakan kes hanya melibatkan masalah ringan dengan saiz ketuat yang kecil serta jumlah yang sedikit, ia sering kali diabaikan begitu sahaja.

Sememangnya masalah ketuat yang berpunca dari jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) kebiasaannya tidak menjejaskan kesihatan dan hidup seharian. Ini mengelakkan banyak perhatian terhadap masalah ini, dengan kebanyakan kes akan pulih sendiri selepas tempoh masa tertentu.

Namun, penemuan dua kes ketumbuhan ketuat yang ekstrem pada 2007 mengejutkan dunia, terutamanya berita 'lelaki pokok' di Indonesia yang menjadi contoh serangan teruk virus HPV ke atas kulit manusia.

Membezakan

Mungkin ramai kini yang tahu mengenai ketuat alat kelamin yang dikaitkan dengan kanser serviks (pangkal rahim) di samping kontroversi pemberian vaksinnya untuk gadis dan wanita di negara ini. Namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai bermacam jenis ketuat lain memandangkan ia tidak membahayakan kesihatan atau mengancam nyawa.

"Ketuat berpunca dari jangkitan virus HPV sahaja. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan setiap jenis ketuat berpunca dari jenis virus berbeza.

"Berbanding ketuat alat kelamin, ketuat biasa, plantar mahupun ketuat leper tidak memerlukan vaksin dan tidak membawa komplikasi besar," jelas Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani, Pakar Perunding Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC).

Namun, berita mengenai Dede Koswara, 34, yang badannya dipenuhi ketuat seakan kulit pokok menunjukkan masih ada yang bernasib malang apabila badan mereka gagal menentang jangkitan HPV.

"Kes Dede berpunca daripada masalah imuniti badan yang lemah dan gagal mengawal mahupun menghapuskan virus HPV yang menjangkiti kulitnya.

"Individu lain yang mengalami masalah lemah sistem imuniti akibat penyakit atau pengambilan ubat juga terdedah kepada ancaman penyakit biasa, walaupun penyakit seperti ketuat," kata Dr. Noraziah.

Menurutnya, selagi badan masih sihat dan kuat, jangkitan kuman seperti HPV masih mampu ditentang, walaupun mungkin mengambil masa untuk pulih.

Pada 2007, Dede dan Ion Toader dari Romania menjadi antara pesakit disahkan menghidap penyakit Epidermodysplasia verruciformis (EV) yang ditemui Dr. Felix Lewandowsky dan Dr. Wilhelm Lutz dari Jerman di awal 1920-an. Keadaan kulit seakan kulit pokok pesakit EV dikaitkan dengan virus HPV jenis 5 dan 8 yang biasanya hadir sebagai jangkitan ringan pada 80 peratus populasi dunia.

Dede dilaporkan membuang sekitar enam kilogram ketuat di badannya pada Ogos 2008, ada di antaranya menggunakan gergaji kuasa tinggi. Walaupun lebih 95 peratus ketuat di badan Dede telah dibuang, masalah 'kulit pokoknya' itu masih berterusan dan doktor menganggarkan dia memerlukan dua pembedahan setiap tahun untuk seumur hidupnya bagi mengawal ketumbuhan tersebut.

Muda

Walaupun kes ketuat seperti Dede dan Toader sesuatu yang jarang berlaku, umum perlu mengetahui bahawa virus HPV wujud secara meluas dalam komuniti manusia. Mampu menyebabkan jangkitan ringan hingga sederhana, ketuat yang timbul sebenarnya boleh dirawat terutamanya jika ia menjejaskan penampilan fizikal seseorang.

"Kanak-kanak merupakan yang paling mudah diserang masalah ketuat biasa - di kaki dan tangan, akibat sentuhan semasa mereka bermain di luar ataupun bersama kawan-kawan.

"Sebarang bentuk hubungan dengan virus HPV boleh menyebarkannya, terutamanya jika ada luka," jelas Dr. Noraziah.

Menurut beliau, badan akan melawan jangkitan tersebut dan kebiasaannya kanak-kanak akan pulih sendiri dari masalah ketuat.

Namun tegasnya, jika ketuat tidak hilang selepas berbulan lamannya ataupun semakin banyak, rawatan boleh diberikan untuk mengawal dan memulihkannya.

Apa yang penting adalah mengelakkan anak ataupun diri sendiri daripada mengopek, memotong, memecah atau mengutil ketuat yang timbul. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan menyebarkan virus HPV ke bahagian badan yang lain.

"Virus HPV mudah merebak di kalangan mereka yang sering berkaki ayam mahupun melalui air seperti di dalam kolam renang yang tidak dijaga rapi.

"Selain itu, perkongsian pakaian, tuala, kasut dan alat membersihkan kulit serta kuku juga boleh menyebarkan virus HPV punca ketuat," tegas Dr. Noraziah.

Rawatan

Dr. Noraziah menjelaskan bentuk rawatan yang diberikan bergantung kepada kedudukan dan juga jenis ketuat.

"Ada yang leper, ada juga yang bertangkai. Jika ketuat kecil tunggal, lama-kelamaan akan hilang sendiri.

"Untuk ketuat yang tidak hilang, terdapat beberapa cara rawatan termasuk krim tertentu, pembedahan dan juga laser."

Beliau menerangkan kaedah pembekuan ketuat dan pembedahan menggunakan jarum elektrik menjadi antara kaedah rawatan paling biasa digunakan. Asid salasilik pula menjadi antara pilihan mudah bagi pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor.

"Ramai penghidap ketuat bermula dengan rawatan sendiri. Bila sudah merebak teruk barulah mereka akan datang mendapatkan rawatan dari doktor," ujar Dr. Noraziah.

Katanya, ketuat di muka menjadi contoh jenis yang mudah merebak, terutamanya jika terluka ketika bercukur.

Selain pembekuan dan jarum elektrik, terdapat kaedah lain untuk merawat ketuat. Ini termasuk Cantharidin, pembedahan laser, immunoterapi, Bleomycin dan retinoid yang dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan.

"Rawatan mungkin perlu diulang beberapa kali sebelum pesakit pulih sepenuhnya.

"Kos rawatan juga cuma sekitar beberapa ratus ringgit, tetapi mungkin mencecah ribuan ringgit untuk kaedah rawatan laser," jelasnya.

Dr. Noraziah bagaimanapun menekankan perkara yang paling penting adalah untuk tidak memburukkan keadaan dan menyebarkan jangkitan virus HPV itu.

"Jangan dikacau ketuat yang timbul. Walau apa jenis sekalipun, jangan dikutil atau ia akan merebak ke seluruh badan!"

Oleh NURUL ANUAR KARI

TV tertua di Britain dilelong

SET televisyen Marconi 702 yang berusia 75 tahun

LONDON - Set televisyen tertua di Britain yang dipasang pada 1936, akan dilelong pada harga bidaan bermula £5,000, (RM24,415), lapor sebuah akhbar semalam.

Set televisyen jenis Marconi 702 itu yang didatangkan dengan skrin berukuran 30.48 sentimeter, masih berfungsi dengan baik walaupun sudah beroperasi selama 75 tahun.

Ia dibeli pada harga bawah £100 (RM488) oleh seorang lelaki, G. B. Davis selepas tiga minggu siaran televisyen bermula di Britain.

Pada masa itu, cuma terdapat satu saluran di Britain yang bersiaran selama tiga jam setiap hari.

"Set ini dijual oleh keluarga pemilik asalnya (telah meninggal dunia) dan merupakan televisyen tertua di Britain yang masih berada dalam keadaan baik," kata pakar agensi lelongan Bonhams yang mengendalikan lelongan itu, Laurence Fisher. - Agensi

Salman komen kes Shiney




SALMAN mengeluarkan kenyataan bagi memberi sokongan moral terhadap Shiney.

PELAKON terkenal Bollywood, Shiney Ahuja sudah dihukum penjara tujuh tahun atas dakwaaan kesalahan merogol pembantu rumahnya, namun ‘mangsa’nya itu dikatakan sudah bertunang dan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Satu sumber memberitahu agensi berita India, IANS: “Pertunangannya (mangsa rogol Shiney Ahuja) telah diaturkan oleh bapa saudaranya sendiri di Aulibaug, India tiga bulan lalu.

Namun kini, dia berada di rumah bapa saudaranya di Mumbai dan bakal berkahwin tidak lama lagi.”

Sumber itu juga memberitahu keluarga gadis tersebut enggan mengeluarkan sebarang komen mengenai keputusan mahkamah terhadap Shiney itu.

“Mereka enggan komen tentang keputusan mahkamah. Tiada sebarang komen.”

Shiney ditahan polis pada 15 Jun, 2009 selepas ujian perubatan yang dilakukan terhadap pembantu rumahnya itu mengesahkan berlaku kes serangan seksual.

Aktor kacak itu kemudian diikat jamin pada Oktober 2009, namun mahkamah melarangnya daripada meninggalkan Mumbai selepas tiga bulan ditahan atas kesalahan termasuk memeras ugut dan mengurung pembantunya yang kini berusia 20 tahun itu.

Pada September tahun lepas, gadis itu bagaimanapun menarik balik dakwaan Shiney telah merogolnya, namun mahkamah tetap menjatuhkan hukuman terhadap Shiney.

Aktor berusia 37 tahun itu bagaimanapun akan tampil membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Mumbai, menurut peguamnya, Srikant Shivade. Menurut Srinkant lagi, anak guamnya itu mendakwa tidak bersalah sepanjang perbicaraan berlangsung.

Dalam pada itu, aktor Salman Khan mengeluarkan kenyataan mengulas mengenai keputusan mahkamah terhadap Shiney itu. Katanya: “Tujuh tahun? Tujuh tahun itu melampau! Saya pernah dipenjarakan dan saya tahu bagaimana peritnya hidup dalam penjara.

Tambah Salman: “Saya harap Shiney tidak bersalah dan bagi sesiapa yang menfitnah dirinya, sila tampil ke depan. Hukuman tujuh tahun terlalu lama, khususnya bagi seseorang yang menjadi mangsa penipuan.”

Rabu, 6 April 2011

Peguam SPRM dakwa saksi berbohong diseksa secara mental dan psikologi

KUALA LUMPUR - Peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah berbohong apabila beliau diseksa secara mental dan psikologi oleh pegawai SPRM.

Isu itu timbul apabila Tan didakwa tidak memasukkan kenyataan itu dalam afidavit berhubung saman yang difailkan ke atas SPRM, Selangor pada 22 Julai 2009 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Afidavit itu hanya mempersoalkan temu bual yang dibuat ke atas Tan dalam tempoh masa 17 jam yang melebihi waktu pejabat dan tidak memasukkan kenyataan Tan diseksa oleh pegawai SPRM, seolah-olah perkara itu tidak pernah berlaku," katanya pada prosiding Siasatan Kematian Teoh Beng Hock di sini.

Ketika disoal Muhammed Shafee mengapa afidavit itu tidak mengandungi tempoh temu bual yang melebihi waktu pejabat dan tidak dimasukkan isu mengenai beliau diseksa, Tan berkata: "Saya tidak mengetahui kandungan afidavit itu kerana segala urusan mengenai perkara itu disediakan oleh peguam Karpal Singh".

Tan, yang ditahan dan disoal siasat SPRM pada hari sama dengan Teoh berkata, beliau telah membuat laporan polis pada 17 Julai 2009 dengan ditemani peguam N. Surendran dan dalam laporan itu telah dinyatakan bahawa pegawai SPRM menyeksanya secara mental dan psikologi.

Tan, yang sebelum ini pernah memberi keterangan di dalam inkues di Mahkamah Majistret, Shah Alam, berkata beliau berada di pejabat SPRM, Selangor pada 8.30 malam 15 Julai 2009 sehingga dibenarkan pulang pada 1.35 tengah hari 16 Julai 2009.

Dalam prosiding suruhanjaya itu semalam, Tan berkata, beliau terpaksa berdiri selama empat jam mulai 10 malam 15 Julai 2009 sehingga 2 pagi keesokannya dan disoal dengan cara yang kasar.

Ketika disoal Muhammed Shafee mengapa beliau memfailkan saman terhadap SPRM, Tan berkata: "Seorang kakitangan dari pejabat peguam Karpal Singh telah menghubungi saya dan meminta untuk pergi ke pejabat mereka selepas ditemu bual oleh SPRM pada 15 dan 16 Julai 2009".

Tan juga menafikan beliau memfailkan saman itu adalah untuk memalukan atau menghancurkan SPRM, sebaliknya bagi mengelakkan perkara itu dari berlaku ke atas saksi-saksi lain.

Sementara itu, Tan yang juga ahli perniagaan memberitahu suruhanjaya itu bahawa Teoh mempunyai perwatakan peramah dan senang diajak berbincang.

Beliau yang mengenali Teoh, setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, sejak 2006 menyifatkannya sebagai sukakan kanak-kanak dan tidak suka berbual mengenai orang lain dan pandai menyimpan rahsia.

Ketika disoal seorang anggota suruhanjaya, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom sama ada Teoh seorang yang berani, Tan berkata: "Teoh seorang yang nampak lemah pada luaran, tetapi dalaman nampak kuat".

Tan juga berkata, hubungan Teoh dengan majikannya Ean Yong Hian Wah amat rapat dan Teoh menghormati majikannya.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Sinar Harian


Telur ayam ada tiruan - CAP

GEORGE TOWN - Rupanya sebiji macam telur ayam tetapi rupa-rupanya ia telur ayam tiruan yang diperbuat daripada bahan kimia yang dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan pengguna dan dijual di pasaran terbuka di Pulau Pinang.

Dipercayai, telur palsu itu bersaiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar,.

Demikian menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan itu pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus di sini semalam.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata siasatan mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan.

"Komponen bahan-bahan kimia ini boleh menjejaskan kesihatan pengguna seperti mengganggu metabolisme, otak, sel saraf serta menjejaskan fungsi hati," katanya.

Mohamed Idris berkata kerajaan harus mengambil tindakan segera merampas dan mengharamkan semua telur ayam palsu itu kerana ia akan memperdaya pengguna selain memberi kesan buruk kepada kesihatan.

- iDAN: Tak cukup dengan VCD/DVD cetak rompak, sampaikan telor ayam pun ada orang yang boleh buat tiruan. Berapa senlah sangat keuntungannya sampaikan sanggup membuatkan sesama manusia ini menghadapi ancaman maut.

Kemalangan pergi balik kerja sumbang 40 peratus kemalangan industri

SETIU - Kemalangan yang melibatkan perjalanan pergi dan pulang daripada tempat kerja menyumbang hampir 40 peratus kepada jumlah kemalangan industri di negara ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye berkata mengikut statistik yang dikeluarkan Perkeso, sebanyak 55,208 kes kemalangan dilapor berlaku sepanjang tahun 2009.

Menurutnya, daripada jumlah itu 20,814 merupakan kemalangan semasa perjalanan pergi dan pulang dari kerja.

"Manakala, lebih 50 peratus dari jumlah 20,814 melibatkan pekerja yang menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja dan kediaman mereka," katanya selepas merasmikan 'Osh Seminar-Dirty, Dangerous And Difficult' di sini hari ini.