Translate

Tajaan

Khamis, 7 April 2011

Petua Menyembuhkan Ketuat

Ketuat merupakan satu masalah yang biasanya tidak diambil berat melainkan jika ianya berada di tempat yang mengganggu seperti di tangan ataupun di tapak kaki.

Walaupun begitu ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menghilangkannya, antaranya ialah;
  • Bancuh abu ubat nyamuk dengan air. Sapukan pada ketuat setiap hari sehingga ianya hilang.
  • Sapukan sedikit kapur sirih pada bahagian yang ditumbuhi ketuat. Biarkan kering beberapa minit dan jangan dibersihkan. Biasanya ketuat ini akan tanggal dengan sendirinya tanpa rasa pedih dan meninggalkan parut.
  • Ketika memasak dan menggoreng ikan, celupkan lidi atau batang sate ke dalam minyak panas, kemudian titikkan pada ketuat tersebut. Lakukan beberapa kali sehingga ketuat itu hilang.
  • Sapukan getah dari pelepah betik yang dipetik terus dari pokoknya ke atas ketuat. Biarkan ia kering sendiri. Lakukan beberapa kali sehingga ketuat hilang dan gugur sendiri.
  • Tumbuk lumat empat helai daun kesum kemudian campurkan dengan sedikit garam halus. Sapukan campuran ini pada ketuat.
Sumber Internet.

Ketuat boleh dirawat

Sering kali disalah anggap sebagai tahi lalat ataupun jeragat pada kulit, masalah ketuat (warts) sebenarnya berlaku secara meluas di seluruh dunia. Memandangkan kebanyakan kes hanya melibatkan masalah ringan dengan saiz ketuat yang kecil serta jumlah yang sedikit, ia sering kali diabaikan begitu sahaja.

Sememangnya masalah ketuat yang berpunca dari jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) kebiasaannya tidak menjejaskan kesihatan dan hidup seharian. Ini mengelakkan banyak perhatian terhadap masalah ini, dengan kebanyakan kes akan pulih sendiri selepas tempoh masa tertentu.

Namun, penemuan dua kes ketumbuhan ketuat yang ekstrem pada 2007 mengejutkan dunia, terutamanya berita 'lelaki pokok' di Indonesia yang menjadi contoh serangan teruk virus HPV ke atas kulit manusia.

Membezakan

Mungkin ramai kini yang tahu mengenai ketuat alat kelamin yang dikaitkan dengan kanser serviks (pangkal rahim) di samping kontroversi pemberian vaksinnya untuk gadis dan wanita di negara ini. Namun, ramai yang tidak mengetahui mengenai bermacam jenis ketuat lain memandangkan ia tidak membahayakan kesihatan atau mengancam nyawa.

"Ketuat berpunca dari jangkitan virus HPV sahaja. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan setiap jenis ketuat berpunca dari jenis virus berbeza.

"Berbanding ketuat alat kelamin, ketuat biasa, plantar mahupun ketuat leper tidak memerlukan vaksin dan tidak membawa komplikasi besar," jelas Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani, Pakar Perunding Perubatan dan Dermatologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC).

Namun, berita mengenai Dede Koswara, 34, yang badannya dipenuhi ketuat seakan kulit pokok menunjukkan masih ada yang bernasib malang apabila badan mereka gagal menentang jangkitan HPV.

"Kes Dede berpunca daripada masalah imuniti badan yang lemah dan gagal mengawal mahupun menghapuskan virus HPV yang menjangkiti kulitnya.

"Individu lain yang mengalami masalah lemah sistem imuniti akibat penyakit atau pengambilan ubat juga terdedah kepada ancaman penyakit biasa, walaupun penyakit seperti ketuat," kata Dr. Noraziah.

Menurutnya, selagi badan masih sihat dan kuat, jangkitan kuman seperti HPV masih mampu ditentang, walaupun mungkin mengambil masa untuk pulih.

Pada 2007, Dede dan Ion Toader dari Romania menjadi antara pesakit disahkan menghidap penyakit Epidermodysplasia verruciformis (EV) yang ditemui Dr. Felix Lewandowsky dan Dr. Wilhelm Lutz dari Jerman di awal 1920-an. Keadaan kulit seakan kulit pokok pesakit EV dikaitkan dengan virus HPV jenis 5 dan 8 yang biasanya hadir sebagai jangkitan ringan pada 80 peratus populasi dunia.

Dede dilaporkan membuang sekitar enam kilogram ketuat di badannya pada Ogos 2008, ada di antaranya menggunakan gergaji kuasa tinggi. Walaupun lebih 95 peratus ketuat di badan Dede telah dibuang, masalah 'kulit pokoknya' itu masih berterusan dan doktor menganggarkan dia memerlukan dua pembedahan setiap tahun untuk seumur hidupnya bagi mengawal ketumbuhan tersebut.

Muda

Walaupun kes ketuat seperti Dede dan Toader sesuatu yang jarang berlaku, umum perlu mengetahui bahawa virus HPV wujud secara meluas dalam komuniti manusia. Mampu menyebabkan jangkitan ringan hingga sederhana, ketuat yang timbul sebenarnya boleh dirawat terutamanya jika ia menjejaskan penampilan fizikal seseorang.

"Kanak-kanak merupakan yang paling mudah diserang masalah ketuat biasa - di kaki dan tangan, akibat sentuhan semasa mereka bermain di luar ataupun bersama kawan-kawan.

"Sebarang bentuk hubungan dengan virus HPV boleh menyebarkannya, terutamanya jika ada luka," jelas Dr. Noraziah.

Menurut beliau, badan akan melawan jangkitan tersebut dan kebiasaannya kanak-kanak akan pulih sendiri dari masalah ketuat.

Namun tegasnya, jika ketuat tidak hilang selepas berbulan lamannya ataupun semakin banyak, rawatan boleh diberikan untuk mengawal dan memulihkannya.

Apa yang penting adalah mengelakkan anak ataupun diri sendiri daripada mengopek, memotong, memecah atau mengutil ketuat yang timbul. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan menyebarkan virus HPV ke bahagian badan yang lain.

"Virus HPV mudah merebak di kalangan mereka yang sering berkaki ayam mahupun melalui air seperti di dalam kolam renang yang tidak dijaga rapi.

"Selain itu, perkongsian pakaian, tuala, kasut dan alat membersihkan kulit serta kuku juga boleh menyebarkan virus HPV punca ketuat," tegas Dr. Noraziah.

Rawatan

Dr. Noraziah menjelaskan bentuk rawatan yang diberikan bergantung kepada kedudukan dan juga jenis ketuat.

"Ada yang leper, ada juga yang bertangkai. Jika ketuat kecil tunggal, lama-kelamaan akan hilang sendiri.

"Untuk ketuat yang tidak hilang, terdapat beberapa cara rawatan termasuk krim tertentu, pembedahan dan juga laser."

Beliau menerangkan kaedah pembekuan ketuat dan pembedahan menggunakan jarum elektrik menjadi antara kaedah rawatan paling biasa digunakan. Asid salasilik pula menjadi antara pilihan mudah bagi pesakit yang tidak mahu berjumpa doktor.

"Ramai penghidap ketuat bermula dengan rawatan sendiri. Bila sudah merebak teruk barulah mereka akan datang mendapatkan rawatan dari doktor," ujar Dr. Noraziah.

Katanya, ketuat di muka menjadi contoh jenis yang mudah merebak, terutamanya jika terluka ketika bercukur.

Selain pembekuan dan jarum elektrik, terdapat kaedah lain untuk merawat ketuat. Ini termasuk Cantharidin, pembedahan laser, immunoterapi, Bleomycin dan retinoid yang dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan.

"Rawatan mungkin perlu diulang beberapa kali sebelum pesakit pulih sepenuhnya.

"Kos rawatan juga cuma sekitar beberapa ratus ringgit, tetapi mungkin mencecah ribuan ringgit untuk kaedah rawatan laser," jelasnya.

Dr. Noraziah bagaimanapun menekankan perkara yang paling penting adalah untuk tidak memburukkan keadaan dan menyebarkan jangkitan virus HPV itu.

"Jangan dikacau ketuat yang timbul. Walau apa jenis sekalipun, jangan dikutil atau ia akan merebak ke seluruh badan!"

Oleh NURUL ANUAR KARI

5 ulasan:

  1. betul tu, ketuat sangat menyakitkan dan buruk...saya kongsikan pengalaman saya berdepan dengan ketuat....silakan...

    BalasPadam
  2. sye ade ketuat tumbuh kat bawah mata belah kiri...dah mcm2 beli ubat kat farmasi..still x hilang pon...huhu...cmana nak hilangkan ek? tahap keyakinan sye da menurun la smjak ade nye ketuat ni...org bla pandang kat sye...rase mcm ketuat ni duu yg di pandang...maluuu

    BalasPadam
  3. Ketuat di hidung saya telah hilang, syukur alhamdulillah. Memang ada cara terbaik yang dapat kita berkongsi bersama; tapi dalam masalah sdr saya tak dapat menolongnya sebab di bawah mata dan cara terbaik pergilah jumpa dengan doktor pakar bedah.

    Jika bukan di sekitar mata saya ada petua yang amat mujarab. Cumanya bahan yang diguna amat bahaya jika tersentuh di tempat sensitif.

    BalasPadam
    Balasan
    1. maaf, iDAN,saya nak tanya. macamana awak buang ketuat di hidung tu?

      Padam
  4. Agak bahaya cara sy buat tetapi mmg berkesan. Nak kasi petua pun takut menjadi mudarat. Jika nak mencuba berhati-hati.

    Sy menggunakan CUKA GETAH tetapi awas jangan terkena bahagian lain; kulit pun tak boleh terkena. Ambil putik kapas pastikan hanya SEDIKIT sahaja cuka getah ini disapu; jangan sampai menitis. Amat bahaya sebab cuka gerah ini asid yang tajam.

    Calitkan dengan putik kapas tadi kepada ketuat tersebut dengan SEDIKIT CUKA GETAH; memang sakit tetapi amat berkesan.

    INGAT jika cuka gerah ini menitik dikulit boleh berlubang kulit; jangan sentuh atau terkena pada jari atau kulit badan... hanya calit pada ketuat...sediakan air sebanyak mungkin kut ianya terkena ke kulit... hati-hati; basuh segera dengan air jika tersentuh.

    BalasPadam