PELAKON terkenal Bollywood, Shiney Ahuja sudah dihukum penjara tujuh tahun atas dakwaaan kesalahan merogol pembantu rumahnya, namun ‘mangsa’nya itu dikatakan sudah bertunang dan bakal berkahwin tidak lama lagi.
Satu sumber memberitahu agensi berita India, IANS: “Pertunangannya (mangsa rogol Shiney Ahuja) telah diaturkan oleh bapa saudaranya sendiri di Aulibaug, India tiga bulan lalu.
Namun kini, dia berada di rumah bapa saudaranya di Mumbai dan bakal berkahwin tidak lama lagi.”
Sumber itu juga memberitahu keluarga gadis tersebut enggan mengeluarkan sebarang komen mengenai keputusan mahkamah terhadap Shiney itu.
“Mereka enggan komen tentang keputusan mahkamah. Tiada sebarang komen.”
Shiney ditahan polis pada 15 Jun, 2009 selepas ujian perubatan yang dilakukan terhadap pembantu rumahnya itu mengesahkan berlaku kes serangan seksual.
Aktor kacak itu kemudian diikat jamin pada Oktober 2009, namun mahkamah melarangnya daripada meninggalkan Mumbai selepas tiga bulan ditahan atas kesalahan termasuk memeras ugut dan mengurung pembantunya yang kini berusia 20 tahun itu.
Pada September tahun lepas, gadis itu bagaimanapun menarik balik dakwaan Shiney telah merogolnya, namun mahkamah tetap menjatuhkan hukuman terhadap Shiney.
Aktor berusia 37 tahun itu bagaimanapun akan tampil membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Mumbai, menurut peguamnya, Srikant Shivade. Menurut Srinkant lagi, anak guamnya itu mendakwa tidak bersalah sepanjang perbicaraan berlangsung.
Dalam pada itu, aktor Salman Khan mengeluarkan kenyataan mengulas mengenai keputusan mahkamah terhadap Shiney itu. Katanya: “Tujuh tahun? Tujuh tahun itu melampau! Saya pernah dipenjarakan dan saya tahu bagaimana peritnya hidup dalam penjara.
Tambah Salman: “Saya harap Shiney tidak bersalah dan bagi sesiapa yang menfitnah dirinya, sila tampil ke depan. Hukuman tujuh tahun terlalu lama, khususnya bagi seseorang yang menjadi mangsa penipuan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan