Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Salleh, berkata pandangan yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu tidak boleh mempunyai keupayaan untuk menjadi bahasa ilmu adalah tidak benar sama sekali kerana telah ramai cendekiawan telah lahir dengan berteraskan bahasa Melayu.
“Saya tidak nampak kenapa bahasa Melayu tidak boleh dikaitkan dengan kemajuan atau ilmu kerana ia mempunyai istilah-istilah yang merangkumi semua bidang, termasuk sains dan teknologi,” Muhammad memberitahu malaysiakini hari ini.
Katanya, bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua-franca dan lahir sejak ribuan tahun yang silam, kini mempunyai lebih 800,000 istilah di dalam berbagai bidang, termasuk sains dan matematik.
Oleh itu, adalah amat menghairankan apabila orang Melayu sendiri tidak yakin dengan kemampuan bahasa ibunda mereka yang cukup indah dan kaya, kata Muhammad, yang mempunyai pendedahan yang amat luas di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah pelik kerana orang asing turut mengkaji bahasa Melayu dan mengakui bahawa ianya adalah bahasa yang keempat terbesar di dunia serta mempunyai potensi untuk terus berkembang.”
Cari pendekatan lain
Muhammad, 60, yang berlatarbelakangkan sastera Inggeris, berkata demikian ketika melahirkan rasa tidak setuju beliau dengan langkah kerajaan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang dijadualkan bermula tahun depan.
“Sebenarnya bahasa bukan hanya sekadar alat komunikasi, tetapi menggambarkan cara sesuatu bangsa berfikir,” kata Muhammad, yang dinobatkan dengan anugerah tertinggi sastera negara itu pada tahun 1991.
Beliau yang bersetuju bahasa Inggeris diberi lebih perhatian agar rakyat negara ini dapat menguasainya dengan lebih baik, bagaimanapun tidak bersetuju dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.
Katanya, pendekatan lain harus dicari untuk membolehkan rakyat negara ini menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.
“Sebenarnya, bukanlah perlu bagi semua rakyat negara ini mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi, melainkan ada keperluan untuk itu, seperti untuk mewakili negara bercakap pada peringkat antarabangsa.
“Sebagai contoh, apakah perlu bagi seseorang yang menceburkan diri dalam bidang pertanian mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi sehingga mengabaikan bahasa ibundanya sendiri.
“Apa yang kita perlukan ialah beberapa ahli sains atau perniagaan yang mahir di dalam bahasa Inggeris dan bukannya kesemua,” katanya.
Pukulan teruk
Bagaimanapun, beliau menyarankan agar rakyat negara ini turut mempelajari bahasa asing yang lain seperti Mandarin, Sepanyol, Perancis dan Arab, yang juga merupakan bahasa yang ulung di dunia.
Muhammad menambah bahawa Malaysia jelas muncul sebagai negara yang pesat membangun selepas mencapai kemerdekaan 45 tahun yang lalu dengan menggunakan Bahasa Malaysia.
“Kita mempunyai doktor dan jurutera yang memperolehi kemahiran tersebut dengan mempelajarinya di dalam Bahasa Malaysia,” kata Muhammad, yang juga menjadi pensyarah universiti lebih dari 30 tahun serta menterjemahkan karya-karya sastera ke dalam bahasa asing.
Oleh itu, beliau mempersoalkan kenapakah ahli-ahli politik di negara ini begitu ghairah untuk menukar halatuju bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan tanpa mengambil kira pandangan dari pakar-pakar di dalam bidang bahasa dan pendidikan.
“Bahasa adalah hak semua orang dan biarlah mereka yang pakar menentukannya,” katanya.
Menjadi mangsa
“Bagi saya, perubahan ini merupakan satu pukulan teruk kepada Bahasa Melayu yang sepatutnya terus diperkembangkan selari dengan kemajuan dunia kini,” kata Muhammad.
Muhammad menambah sesuatu bahasa itu menjadi kaya kerana ia digunakan secara meluas secara ribuan tahun dan oleh itu adalah tidak wajar sekiranya mana-mana pihak cuba membantutkan penggunaan secara mendadak.
“Sekiranya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggersis, saya percaya pelajar-pelajar di luar bandarlah yang akan menjadi mangsa kepada dasar tersebut,” katanya.
Katanya, adalah menjadi pengetahuan umum bahawa pelajar di luar bandar tidak mendapat kemudahan dan guru-guru yang baik.
“Jadi, bagaimanakah mereka akan mampu menyaingi pelajar di bandar,” katanya.
Beliau berkata adalah menyedihkan apabila bahasa Melayu — salah satu bahasa tertua dan kukuh di dunia — cuba dipinggirkan oleh pengguna bahasa itu sendiri semata-mata kerana tidak mempunyai pemahaman yang tidak betul mengenainya.
- Yusof Ghani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan