Translate

Tajaan

Ahad, 20 Januari 2013

Sime Darby catat untung bersih RM3.1 bilion

 
SIME Darby Bhd yakin mampu mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan semasa yang berakhir 30 Jun 2012 susulan prestasi kukuh perniagaan terasnya, meskipun berdepan keadaan yang tidak menentu ekonomi global.

Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2012, keuntungan bersih konglomerat itu melonjak 30 peratus kepada RM3.1 bilion daripada RM2.4 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, didorong prestasi cemerlang bahagian perladangan, industri dan hartanahnya.

Dalam tempoh itu, pendapatannya meningkat 16 peratus kepada RM33.5 bilion daripada RM28.8 bilion sebelumnya.


Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Bakke Salleh, berkata prestasi cemerlang itu meletakkan Sime Darby dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran keuntungan bersih RM3.3 bilion yang ditetapkan dalam petunjuk prestasi utamanya (KPI) bagi tahun kewangan semasanya.

Katanya, bahagian perladangan kekal sebagai penyumbang utama membantu melonjakkan pendapatannya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan dikaji.

Bahagian itu, jelas beliau, mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM2.4 bilion, meningkat 20 peratus berbanding RM2 bilion sebelumnya susulan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi dan pengurusan operasi yang berkesan.

“Pengeluaran MSM dalam tempoh dikaji meningkat lima peratus didorong peningkatan ketara kadar perahan minyak sawit (OER) sebanyak 21.8 peratus dalam tempoh dikaji daripada 21.3 peratus sebelumnya.

“Pengeluaran tandan buah segar (FFB) juga meningkat kepada 7.5 juta tan,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan sembilan bulan pertama berakhir 31 Mac 2012 di Kuala Lumpur semalam.

Bagi bahagian industri, Mohd Bakke berkata aktiviti perlombongan, pembalakan dan pembinaan yang kukuh di Australasia serta Malaysia membantu melonjakkan prestasi bahagian itu dengan mencatatkan PBIT sebanyak RM986 juta, iaitu meningkat 41 peratus daripada RM699 juta sebelumnya.

Beliau berkata pertumbuhan keuntungan kukuh operasi di Malaysia dan Singapura yang mengimbangi pertumbuhan sederhana operasi di China, Hong Kong serta Macau membantu melonjakkan PBIT bahagian permotoran kepada RM462 juta, iaitu meningkat lima peratus daripada RM441 juta sebelumnya.

Sepanjang tempoh dikaji, bahagian hartanah mencatatkan peningkatan PBIT yang ketara 50 peratus kepada RM315 juta daripada RM210 juta sebelumnya, didorong jualan yang tinggi daripada pelbagai projek perbandaran seperti Bandar Bukit Raja, USJ Heights dan Ara Damansara.

Bahagian tenaga dan utiliti kong-lomerat itu pula mencatatkan peningkatan 64 peratus dalam PBIT kepada RM281 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2012, disumbangkan prestasi kukuh operasi loji tenaga di Malaysia yang mengimbangi sumbangan keuntungan yang rendah daripada operasi utiliti China.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan