Translate

Tajaan

Sabtu, 7 November 2009

Kelantan banjir, Terengganu makin pulih (Ceritera)

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Jumlah mangsa banjir di Kelantan hari ini meningkat walaupun keadaan di sesetengah tempat dilaporkan mulai pulih, manakala di Terengganu semakin ramai yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri Kelantan, Shahnaz Nurul Amin memberitahu, sehingga pukul 3 petang ini, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di seluruh negeri itu meningkat kepada 2,328 orang berbanding 2,023 orang pada tengah hari tadi.

Katanya, ketika dihubungi di KOTA BAHRU hari ini, mereka terdiri daripada 1,322 orang di Pasir Mas, Tanah Merah (706), Machang (183), Kota Baharu (29), Bachok (61) dan Pasir Puteh (27).

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu di KUALA TERENGGANU pula memberitahu, seramai 2,681 daripada 3,359 mangsa banjir masih berada di 49 pusat pemindahan di daerah-daerah yang dilanda banjir.

Menurutnya, jumlah paling ramai dicatat di Besut iaitu 1,342 orang daripada 324 keluarga di 16 pusat pemindahan.

“Ia diikuti Hulu Terengganu iaitu 570 orang daripada 141 keluarga di 15 pusat pemindahan, di Setiu (294 daripada 143 keluarga di 11 pusat pemindahan) dan 475 daripada 105 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan di Dungun.

Di KANGAR, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Tugas-Tugas Khas negeri, Mansor Jusoh berkata, keadaan banjir di Perlis pulih selepas 245 mangsa daripada 75 keluarga yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di utara Perlis sejak semalam, telah pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Katanya, pusat-pusat pemindahan di dewan orang ramai Titi Tinggi Hilir, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan juga sudah ditutup.

Di ALOR SETAR pula, keadaan sebaliknya berlaku apabila seramai 474 orang di Daerah Padang Terap telah dipindahkan ke-11 pusat pemindahan di daerah itu petang ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir, Salim Mahmud berkata, jumlah itu membabitkan 119 keluarga dari 11 buah kampung di daerah berkenaan.

Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan