Translate

Tajaan

Jumaat, 5 Mac 2010

Alasan cerai pelik, lucu (Ceritera)

Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
2010/02/27

KUANTAN: Segelintir pasangan berkahwin di negeri ini dikesan memberi pelbagai alasan boleh dianggap pelik dan melucukan untuk menuntut cerai daripada pasangan mereka.

Antara alasan terbabit ialah kuat merokok, ubah suai alat kelamin, pasangan bodoh atau lembab, berkira dengan pasangan, banyak bercakap serta kurang memuji.

Alasan berikut antara 190 punca masalah direkodkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) melalui borang khidmat nasihat di setiap daerah.

Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam Jaip, Sazilarahimi Sepawi, berkata pihaknya menjalankan beberapa program dalam usaha mengurangkan kes perceraian di negeri ini.

“Antara program yang dilaksanakan ialah program khidmat nasihat di Pejabat Agama Islam Daerah khusus kepada pasangan mempunyai masalah dalam hubungan atau ingin bercerai.

“Setiap pasangan ingin mendapatkan khidmat nasihat perlu mengisi borang disediakan untuk rekod serta mengenal pasti punca atau masalah dihadapi mereka.

“Melalui borang terbabit, kita sudah mengenal pasti 10 sebab utama berlakunya perceraian termasuklah alasan yang boleh dianggap pelik dan melucukan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pahang, Muhammad Azhari Abd Rahman, berkata beliau mengakui berlaku kes perceraian disebabkan masalah terbabit namun peratusannya amat kecil.

“Mengikut kajian dijalankan pihak kami, 60 peratus keseluruhan kes perceraian direkod disebabkan kehadiran pihak ketiga, tidak sefahaman, masalah kewangan, keganasan rumah tangga dan tidak menjalankan tuntutan agama.

“Selebihnya disebabkan faktor lain dan masalah berkenaan mungkin berada dalam peratusan kecil ini.

“Kemungkinan juga pasangan memberikan alasan sebegitu sebenarnya mempunyai sebab lain lebih kukuh, namun enggan mendedahkan hal sebenar,” katanya.

2 ulasan:

  1. bila hati dah tak suka .. macam macam cerita ada

    BalasPadam
  2. Sdr Jijahh,

    ada sebahagian kekurangan pasangan kita tak sebaiknya dijadikan alasan perpisahan; boleh kita ungkit jika mahu mencari jalan perdamaian; merokok boleh berhenti, lembab boleh diajar, komunikasi boleh diubah tapi kenalah bersabar & bertolak ansur.

    Majlis agama Islam pun ada bahagian kaunseling, tak seharusnya terus melafaz talak sebelah cuba membaiki keadaan.

    BalasPadam