Assalamualaikum semua..
Satu kisah benar yang menarik dan berguna untuk renungan kita bersama. Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Shamsuri dalam salah satu siri-siri ceramah beliau mengenai kebajikan anak-anak yang soleh kepada ibu mereka yang telah meninggal dunia. Mungkin ada yang telah mendengarnya dan sama-samalah kita renungkan sejauh mana kebaktian kita kepada kedua-dua ibubapa kita.
Kisah menarik ini adalah tentang diri Ustaz Harun Din dan adik beradik beliau. Memang telah diketahui umum, bahawa Ustaz Harun Din dan adik beradik beliau mempunyai pegangan dan ilmu agama yang tinggi hasil didikan ibubapa mereka yang telah berjaya mencernakan roh Islam ke dalam diri anak-anak mereka hingga menjadi alim ulama, tempat rujukan umat Islam di negara ini, malah di tempat lain juga.
Diceritakan bahawa, ibu Ustaz Harun telah meninggal dunia semasa dalam solat Asar. Sebelum kematian ibu beliau, pada kebiasaannya, ibu beliau akan bersembang-sembang dengan jiran selepas solat Asar. Tetapi pada hari itu, selepas solat Asar, ibu Ustaz Harun tidak keluar ke beranda rumah untuk beramah mesra dan bertanya khabar dengan jiran-jiran. Para jiran tertanya-tanya ke manakah gerangan si ibu itu, kalau dikatakan pergi ke rumah anak-anak, tidak pula.
Setelah agak lama dengan ketiadaan si ibu itu, lalu jiran-jiran mensyaki sesuatu telah berlaku terhadap ibu Ustaz Harun. Mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah sambil memberi salam, tetapi tiada jawapan. Mereka kemudian memberanikan diri untuk masuk ke dalam rumah dan alangkah terperanjat para jiran itu apabila mendapati ibu Ustaz Harun telah pun meninggal dunia semasa dalam solat Asar.
Mereka terus menghubungi anak-anak allahyarhamah. Pada kebiasaannya, apabila berlaku satu-satu kematian, di mana-mana pun akan kita dapati jenazah itu diuruskan oleh orang-orang kampung atau jamaah masjid, jenazah lelaki, oleh jamaah lelaki, manakala jenazah perempuan oleh jamaah perempuan. Tetapi berlainan pula dengan jenazah ibu Ustaz Harun Din ini.
Beliau sendiri beserta dengan adik beradik beliau (Ustaz Abu Hassan Din dan Ustaz Ishak Din) menguruskan jenazah ibu mereka. Dengan penuh belaian kasih sayang dan penuh hormat mereka memandikan ibu mereka, mengkafankan, serta menunaikan solat jenazah yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Harun Din. Walaupun diminta oleh orang-orang kampung untuk melaksanakan urusan jenazah tersebut, Ustaz Harun dan adik beradik mereka dengan penuh sopan mengatakan kepada orang-orang kampung bahawa ini adalah ibu mereka yang telah berjasa melahirkan, memberi makan minum serta mendidik mereka sehingga menjadi anak-anak yang berguna. Oleh itu, sebagai penghormatan yang terakhir dan tanda kasih sayang anak-anak
terhadap ibu mereka, biarlah mereka sendiri yang menguruskan jenazah ibu mereka itu.
Maka ramailah orang-orang kampung yang mengalirkan airmata mereka, mengenangkan tentang kebaikan dan kesolehan anak-anak hasil didikan tangan si ibu yang berjaya mendidik anak-anak dengan cahaya iman.
Sehinggalah ke saat pengkebumian jenazah, urusan ini ditangani sendiri oleh Ustaz Harun adik beradik. Sungguh menarik dan mengharukan kisah ini. Tanyalah diri kita sendiri. Bagi yang masih mempunyai ibu dan bapa, bagaimana nanti peranan kita semasa jasad ibubapa kita terbujur kaku. Adakah kita juga ingin menghulurkan bakti zahir yang terakhir sebagai tanda hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita? Ataukah kita hanya menyerahkan bulat-bulat urusan itu kepada orang-orang kampung atau jamaah masjid untuk menguruskan jenazah mereka, tanpa ingin mengambil peluang terakhir untuk berbakti. Inilah bakti zahir yang terakhir yang dapat kita lakukan, disamping doa dan amalan-amalan baik kita yang kita hadiahkan kepada ibubapa kita.
Bagaimana pula peranan kita sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak kita yang sedang membesar? Bagi yang telah bergelar ayah/papa/bapa/ walid/baba dan ibu/mama/emak/ ummi dan sebagainya, bagaimana nanti agaknya perlakuan anak-anak kita setelah jasad kita pula terbujur kaku, menanti waktu untuk diuruskan pengkebumian? Adakah anak-anak kita akan berebut-rebut untuk menguruskan, atau bertempiaran lari kerana takut atau hina memandang jenazah kita yang telah kaku?
Sama-samalah kita renungkan ke arah mana diri kita sebagai anak dan juga sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak yang sedang memerlukan didikan agama dari kita. Kita berilah didikan agama yang sebaiknya kepada anak-anak kita agar menjadi orang-orang yang beriman dan berguna kepada agama, bangsa dan negara, seperti contoh yang telah dipertuturkan di atas tadi.
Wallahu'alam.
Sebenarnya ada seperkara lagi,
Apabila manusia meninggal dunia, ada empat perkara yg masih ada hubungan dengannya dan salah satunya ialah anak-anaknya. Tanggungjawab anak masih belum habis terhadap kedua-dua ibubapanya walaupun ibubapa mereka meninggal dunia, Selepas meninggal dunia, hendaklah anak-anaknya yang memandikan dan menyembahyangkannya . Dan selepas itu pula hendaklah selalu ia beramal dengan menyedekahkan pahalanya dan berdoa untuk mereka. Disamping memelihara hubungan baik dgn saudara-saudara dan sahabat-sahabatnya.
Kalau kita buat perkara-perkara yg melanggar syarak pun ibubapa kita juga mendapat habuan juga kerana dia yang mendidik kita. Jadi siapa yg ibubapa yang dah tak ada itu, ingatlah mereka dalam doa selepas sembahyang dan selalulah berzikir utk mereka.
Petikan ini di terima dari seorang sahabat ... renungkanlah agar kita mengambil iktibar dari apa yang diceritakannya.
Aku mempunyai ibu yang hebat. Beliau menyayangiku dengan sepenuh hatinya. Beliau berkorban dan membantuku dalam segala hal. Ibuku membesarkan aku seperti menatang minyak yang penuh. Ibu menguruskan pengajianku dan berkorban apa saja demi memenuhi keperluaanku dan permintaanku. Hari ini, wanita yang hebat itu telah kami semadikan untuk selama-lamanya. Dapatkah anda bayangkan perasaanku suatu hari aku pergi ke bilik ibuku dan aku telah terjumpa serangkap sajak yang terlipat sepi di dalam laci mejanya.
Sajaknya berbunyi begini.
INILAH MASANYA
JIKA KAU INGIN MENYINTAI IBU
CINTAILAH IBU SEKARANG
SUPAYA IBU TAHU
KEINDAHAN DAN KELEMBUTAN KASIH
YANG MENGUKIR KUDUS DARIPADA SANUBARIMU
CINTAILAH IBU SEKARANG
SEMASA IBU MASIH HIDUP
USAH TUNGGU SEHINGGA IBU TELAH PERGI
KEMUDIAN BARULAH DIUKIR DI BATU NISAN
DENGAN KATA-KATA INDAH PADA SEKUJUR BATU YANG SEPI
JIKA KAU MEMILIKI INGATAN MANIS BUAT DIRI IBU
TUNJUKLAH PADA IBU SEKARANG
JIKA KAU TUNGGU SEHINGGA IBU MATI
SUDAH PASTI IBU TAK DAPAT MENDENGAR
KERNA KITA DIBATASI KELEMAHAN
OLEH ITU, JIKA KAU MENYINTAI IBU
WALAUPUN HANYA SECEBIS DARIPADA LAUTAN HIDUPMU
LAFAZKAN DAN BUKTIKAN SEKARANG
SEMENTARA IBU MASIH HIDUP
AGAR IBU DAPAT MENIKMATI DAN MENYANJUNGINYA
Sekarang ibu sudah pergi dan aku menderita dengan rasa bersalah sebab aku tidak pernah nyatakan betapa besar nilai ibuku selama ini. Malah aku tak pernah melayan ibuku dengan wajarnya. Perasaan bersalah sering menghantui hidupku. Aku layani semua orang untuk semua urusan, tetapi aku tak pernah meluangkan masa yang cukup untuk ibuku sendiri. Sebenarnya aku mampu menuangkan air ke dalam cawannya, kemudian memeluknya ketika bersarapan, tetapi aku lebih mengutamakan urusanku, rakan-rakanku dan pekerjaanku.
Sekarang baru aku terpikir.... ........ pernahkah rakan-rakanku melayaniku seperti ibuku ? Aku tahujawapanya. Apabila aku menelefon ibu, aku sentiasa lakukan tergesa-gesa, cepat dan ringkas. Aku
benar-benar berasa kesal dan malu apabila mengingati tindakan masa lampauku terhadap ibu. Aku masih ingat berapa banyak masa dan pengorbanan ibu yang diberikan untuk aku dan masa yang aku berikan padanya serta banyak manakah masa aku biarkan ibu kesepian dan hari tuanya berlalu begitu sahaja. Aku sedar dan mengerti.
Sekarang bahawa aku terlalu kritikal, aku diburu rasa kesal dan bersalah. Dunia ini dipenuhi oleh anak-anak seperti ku. Aku berharap kepada rakan-rakanku. .......insaflah dan mengambil iktibar dan manfaat daripada surat ini. Aku sudah terlambat dan kini sedang dilanda derita dan penyesalan.
Renungkanlah dan fikir-fikirkanlah! Pernah kita bertindak sedemikian? Pernah kita merasa kesal dengan tindakan kita itu? Andainya kita pernah melayan sedemikian rupa terhadap ibu kita, ubahlah sebelum terlambat.
Bukankah pepatah mengatakan "syurga itu dibawah telapak kaki ibu" ... mulia sungguh islam meletakkan wanita yang bergelar ibu ...
wassalam
Sabda Rasulullah saw:
"Tiada seorang muda yang menghormati seorang tua, melainkan Allah Ta'ala akan mentakdirkan seorang lain menghormatinya, apabila dia menjadi tua pula"
Petikan dari http://cmashima.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan