Translate

Tajaan

Jumaat, 23 Oktober 2009

Semakin ramai yang dihargai

Anak seni kini bukan hanya penghibur di pentas hiburan, bahkan mereka juga antara kelompok yang memasyhurkan nama negara di peringkat antarabangsa.

SELAIN penyanyi era 60-an, Jeffrydin yang dianugerahkan Anugerah Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada upacara Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka baru-baru ini, ramai penggiat seni tanah air yang mendapat penghargaan hasil usaha mereka menghambakan diri dalam bidang ini.

Tidak dinafikan, bukan anugerah atau gelaran yang didambakan oleh karyawan seni yang menumpahkan minat dalam industri yang mencabar dan dipenuhi dengan duri-duri tajam itu.

Apa yang pasti, di sebalik jerih payah anak seni mengharung gelombang populariti semakin banyak pihak membuka mata untuk menghargai jasa mereka.

Hakikatnya, penyanyi, pengarah, pelakon dan pengacara bukan hanya penghibur di pentas hiburan, bahkan mereka juga antara kelompok yang memasyhurkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Bahkan tanpa kita sedari muzik dan filem menjadi medium untuk menyatukan semua kaum menjadi satu bangsa Malaysia.

Kosmo! tidak ketinggalan menyenaraikan antara anak-anak seni yang menerima anugerah sejak beberapa tahun lalu.

Selain nama-nama yang disebutkan, karyawan seni lain yang turut menerima anugerah membawa gelaran Datuk atau Tan Sri termasuklah antaranya ialah Aziz Sattar, M.Daud Kilau, S.M. Salim (Tan Sri), Aziz Singah, Sarimah Ahmad, Zahim Al-Bakri, P. Ramlee, DJ Dave, Jins Samsuddin (Tan Sri) dan Jalaluddin Hassan.

Selain itu, Michelle Yeoh, Ahmad Jais, Ahmad Nawab, Yusof Haslam, Mustapha Maarof dan bekas penyanyi kumpulan Impression, Sani turut mendapat penghargaan yang membawa gelaran Datuk.

DATUK SUDIRMAN ARSHAD

PENGHIBUR hebat negara, Allahyarham Sudirman dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran datuk sempena ulang tahun Hari Keputeraan Ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lalu.




Anugerah yang disampaikan oleh Sultan Ahmad Shah dalam satu istiadat di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini diterima oleh kakak sulung penyanyi itu, Datin Rodziah Arshad.

Sudirman, anak kelahiran Temerloh, meninggal dunia pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun.

DATUK DAVID ARUMUGAM




PENYANYI utama kumpulan Alleycats, David dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lalu.

David atau nama sebenarnya Thiagarajan K.R. Arumugam yang sudah melibatkan diri dalam bidang seni selama 40 tahun itu adalah antara 66 penerima darjah DIMP yang menerima anugerah masing-masing daripada baginda dalam satu istiadat di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pahang.

TAN SRI S.M. SALIM




TERLEBIH dahulu bergelar Datuk S.M. Salim, penyanyi veteran ini pada tahun 2001 menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Aziz Shah.

Beliau yang terharu kerana diberikan anugerah tersebut mengakui tidak pernah mengharapkan pengorbanannya selama ini dibalas dengan pengiktirafan seperti itu.

DATUK KHADIJAH IBRAHIM




PENGHIBUR terkenal, Khadijah atau panggilan glamornya Khaty dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lalu.

Beliau merupakan penyanyi sepanjang zaman yang telah berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri hiburan tanah air dan terkenal dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

DATUK SHEILA MAJID




RATU jazz Malaysia, Sheila menerima gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober tahun lalu setelah lebih 20 tahun bergiat dalam industri seni tanah air.

Sheila atau nama sebenarnya Shahiela Abdul Majid, 44, dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).

DATUK SITI NURHALIZA




PENYANYI nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin dianugerahi Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-76 pada tahun 24 Oktober 2006.

Siti sebelum ini dianugerahkan Darjah Kebesaran Keempat Negeri Pahang - Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), Paduka Mahkota Perak (PMP) dan Johan Setia Mahkota (JSM) setelah lebih sedekad melibatkan diri sebagai anak seni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan