Translate

Tajaan

Selasa, 13 Oktober 2009

Bapa mentua gusti menantu (Ceritera)

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

KLANG: Malang tidak berbau bagi seorang peniaga apabila hasratnya untuk mengambil isteri yang dalam tempoh pantang di rumah mentuanya di Jalan Teluk Pulai di sini bertukar tragedi selepas dia dipukul dan terpaksa menerima 63 jahitan.

Malah, mangsa yang berusia 31 tahun terpaksa ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat cedera teruk di badan, siku, tangan kanan dan kaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin, mangsa bersama ibunya ke rumah mentua untuk mengambil isteri dan anaknya pulang ke kediaman mereka tidak jauh dari situ.

Bagaimanapun sejurus tiba, mangsa bertengkar dengan bapa mentuanya sebelum berlaku pergelutan dan tumbuk-menumbuk.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul dengan benda tajam atau terkena serpihan pasu bunga yang dibaling ke arahnya.

“Punca pergaduhan masih dalam siasatan, bagaimanapun kami tidak menolak kejadian ini membabitkan masalah keluarga sehingga mendatangkan kecederaan.

“Mangsa dibenarkan pulang hari ini (semalam) dan kami akan mengambil keterangan daripadanya bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, isteri mangsa yang berusia 20-an dan ibu mentuanya tidak cedera.

Mohamad berkata, polis juga akan mengambil keterangan daripada bapa mentua mangsa bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan