Translate

Tajaan

Selasa, 13 Oktober 2009

Orang Asli pindah pada 2012 (Ceritera)

BATU PAHAT 12 Okt. - Kira-kira 100 keluarga masyarakat Orang Asli yang ditempatkan sementara di Kampung Telok, Minyak Beku sejak 30 tahun lalu dijangka dipindahkan ke penempatan baru di Sungai Banang di sini pada 2012.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Osman Bongsu berkata, kerja pembinaan rumah yang dilengkapi kemudahan asas di tapak seluas 11.2 hektar itu akan bermula tidak lama lagi setelah diluluskan Kerajaan Pusat.

"Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah pun melantik kontraktor untuk melaksanakan projek berharga RM10 juta yang dijangka siap dalam masa dua atau tiga tahun lagi," katanya semasa ditemui pada rumah terbuka anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil di Rengit di sini kelmarin.

Beliau berkata, setiap keluarga akan menerima sebuah rumah tiga bilik berharga RM33,000 menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) yang dilengkapi bekalan elektrik, air dan jalan tar.

"Tapak yang dirizabkan kerajaan negeri sebagai penempatan Orang Asli itu terletak berhampiran sungai dan hanya tiga kilometer dari bandar Batu Pahat," katanya.

Menurutnya, lokasi itu amat bersesuaian dengan masyarakat tersebut yang rata-rata terdiri daripada nelayan pantai yang menjadikan hasil laut sebagai sumber utama pendapatan mereka.

"Selain menangkap ikan di sungai, mereka juga boleh turun ke laut untuk meneruskan aktiviti mereka," katanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan