Translate

Tajaan

Isnin, 11 Januari 2010

10 balai polis catat kes jenayah tertinggi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 balai polis dikenal pasti mencatatkan kes jenayah tertinggi di negara ini.

Mendahului, catatan tertinggi itu ialah Balai Polis Tun HS Lee dan Cheras di Kuala Lumpur, Johor Sentral dan Tampoi di Johor Bahru dan Balai Polis Klang di Selangor.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata peningkatan kadar jenayah terutama membabitkan jenayah jalanan seperti ragut dan samun dilihat pihaknya sebagai sesuatu yang agak membimbangkan.

Turut dikenal pasti 50 kawasan ‘panas’ jenayah di seluruh negara. Berikutan itu, pihaknya akan meningkatkan usaha bagi mengurangkan indeks jenayah di kawasan itu dengan sasaran menurunkan kadar jenayah sebanyak 20 peratus.

Katanya, ia seperti disasarkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan jenayah yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini.

Ketika ditanya media, di Hentian Pudu Raya di sini, semalam, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung jumlah sebenar laporan diterima balai polis terbabit.

“Kami akan meningkatkan kehadiran polis di semua kawasan berkenaan yang turut dibantu Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) yang diserap daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) .

“Bermula hari ini (semalam), 1,533 anggota SSP yang diserap daripada Rela dan JPAM akan memulakan tugas menangani jenayah di empat negeri iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan di ibu kota,” katanya ketika melawat Balai Polis Tun HS Lee dan sekitar Hentian Pudu Raya, semalam.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan