Translate

Tajaan

Isnin, 11 Januari 2010

Wanita peneman majlis keraian (Delima Merkah)



Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my


DENGAN mata tertutup, dia menarik nafas panjang. Kemudian, jari-jari runcingnya pantas menari di antara tali-tali yang menjadi salah satu elemen penting instrumen muzik tradisional masyarakat Jepun, shamisen.

Suara serak-serak basah mula keluar daripada bibirnya yang dioles dengan gincu nipis. Penuh asyik, dia yang lebih dikenali dengan panggilan mama-san mengalunkan lagu berirama melankolik.

Lagu bertajuk Momiji-no-hashi (Bridge of Maple Leaves) dan Gion Kouta (Empat Musim) seakan-akan menyihir setiap tetamu yang ada di dalam bilik kecil itu.

Ya, malam terakhir di Kyoto Jepun memang istimewa. Kami dihiburkan oleh dua orang pendukung budaya paling popular dalam masyarakat negara matahari terbit tersebut. Terima kasih kepada Honda Malaysia atas peluang menyelami sebentar keunikan persembahan geisha.

Nyanyian wanita yang saya fikir berusia lewat 60 tahun itu disambut dengan tarian gemalai dua orang anak didiknya. Dalam persalinan kimono berwarna biru dan hijau, mereka mula menggerakkan tubuh mengikut ritma. Pergerakannya cukup lembut dan terlatih.

Walau tidak faham sepatah apa pun yang dinyanyikan, setiap mata terpaku pada dua sosok tubuh dan wajah yang putih melepak disolek tebal. Ingin saya perbetulkan persepsi serong anda, jika ada.

Geisha sebenarnya sering disalahertikan dengan sesuatu yang bersifat negatif, sedangkan mereka hanyalah penghibur dan peneman pada majlis-majlis keraian. Memang benar 'garis' antaranya amat kabur, tetapi tiada sebarang adegan panas dipersembahkan pada malam itu.


TIDAK ramai anak gadis Jepun yang sanggup menjadi geisha dalam erti kata sebenar.

Kimina san, 28, sudah sembilan tahun menghambakan dirinya untuk menjadi geisha secara sepenuh masa. Dia yang datang dari Chiba mengaku mahir memainkan alat muzik, menyanyi, menari dan menghidangkan teh dalam upacara tradisonal.

Agensi

"Perkara paling sukar? Menyesuaikan diri dengan semua pantang-larang sebagai seorang geisha, selain menguasai dialek Kyoto yang berbeza.

"Kalau berpakaian sebegini, tidak boleh pergi ke McDonald's kerana ia akan mengundang persepsi kurang baik. Lagi satu, rambut mesti dijaga dengan rapi dan kuku tidak boleh dibiarkan panjang," katanya penuh sopan.

Mendapat didikan daripada agensi geisha Miyagawa, Kimina menyolek sendiri wajahnya yang mengambil masa selama 20 minit. Sementara pemakaian kimono yang nampak berat itu pula cuma memerlukan masa lima minit, selepas dibantu oleh kawan lelakinya.

Budaya geisha telah membawa Kimina jauh mengembara. Dia pernah membuat persembahan hampir ke seluruh dunia termasuklah Kenya, Amerika Syarikat (AS) dan Thailand. Sementara itu, Kofuku, 18, menyatakan keputusan untuk menjadi seorang geisha adalah kerana minatnya yang mendalam terhadap budaya tradisional Jepun.

Sebagai seorang maiko (geisha yang masih dalam latihan) Kofuku sanggup datang dari Niigata semata-mata untuk mendapatkan latihan terbaik sebelum menjadi geisha yang disegani.

"Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi saya boleh menjadi geiko-san (geisha kanan yang tidak terikat dengan mana-mana agensi). Walaupun tidak menerima sebarang tajaan untuk membiayai 'pengajian', saya tetap gembira dengan tugas ini," ujarnya sambil tersenyum.


KYOTO cukup dikenali sebagai lokasi terhimpunnya pelbagai warisan budaya masyarakat Jepun, kuil dan istana shogun.

Memiliki sebuah agensi yang melatih anak-anak gadis untuk menjadi geisha, mama-san memberitahu para perantisnya tidak dibayar gaji dan hanya diberi elaun kecil. Namun begitu, mereka ditanggung dari semua aspek termasuklah tempat tinggal, makan minum, kimono, perhiasan diri dan latihan.

Namun, sebaik sahaja tamat latihan, semua wang yang diterima adalah milik mutlak mereka. Tidak perlu dibayar kepada agensi.

Mempunyai kira-kira 40 orang geisha di bawah seliaannya, mama-san bagaimanapun mengakui agak sukar untuk mengekalkan pendapatan yang selesa berikutan masalah kemelesetan ekonomi global.

"Caj yang kami kenakan ialah sekitar AS$1,000 (RM3,500) hingga AS$1,500 (RM5,250) bagi persembahan selama dua jam melibatkan dua orang geisha," katanya yang sudah menjadi geisha profesional selama lima dekad.

Saya bertanyakan kepadanya satu soalan provokasi. Adakah dia pernah digoda oleh pelanggan untuk memberikan perkhidmatan ekstra? Agak lama mama-san terdiam. Akhirnya dia memberikan senyuman penuh makna.

Demi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai geisha, saya melanjutkan soalan kepada pemandu pelancong, Mari Katsui yang kebetulan merupakan anak jati Kyoto. Harus tahu bahawa Kyoto merupakan satu-satunya wilayah yang sehingga kini mampu menghasilkan kelompok geisha asli.

Kyoto dilihat sebagai lokasi utama kerana ia masih kental dengan ciri tradisionalnya, selain cukup tegas dalam meneruskan adat-adat lama. Sedangkan di tempat lain, geisha mungkin lebih bersifat kasual dengan wajah disolek tebal dan kimono yang cantik.

Menurut Mari-san, dalam tempoh latihan mereka akan belajar kaligrafi, menghidang teh dalam majlis-majlis rasmi, menggubah bunga, bermain instrumen muzik seperti shamizen, dram Jepun, menari, dan menyanyi. Itulah antara kokurikulum yang mesti diikuti oleh gadis-gadis yang ingin menjadi geisha profesional. Lazimnya, ia memakan masa selama lima tahun.

Selain kecantikan fizikal, karakter yang menarik dan bijak menghiburkan pelanggan merupakan antara kriteria utama untuk menjadi seorang geisha. Untuk menjadi seorang geisha, gadis-gadis itu perlu mencari agensi atau mama-san di Kyoto.

Pastinya mereka sudah meneliti sebelum pergi ke agensi yang terbaik. Kebanyakan maklumat adalah daripada mulut ke mulut. Tiada katalog atau laman web mengenainya. Lagipun, mama-san berhak memilih gadis yang difikirkannya sesuai atau tidak untuk menjadi geisha.

MAMA-SAN asyik memetik shamisen melagukan lagu Momiji-no-hashi dan Gion Kouta.

"Bukan senang menjadi geisha kerana ia terkenal dengan sifatnya yang sangat konservatif dan tradisonal. Mereka juga mesti tahu budaya-budaya berkaitan geisha. Kadangkala ada gadis yang masuk ke agensi, tetapi tidak mampu meneruskannya lalu pergi," jelas Mari-san.

Wanita berpelajaran

Mengulas tentang kaitan geisha dengan aspek pelacuran, Mari-san pantas menegaskan bahawa mereka bukan pelacur atau pegawai perhubungan pelanggan (GRO).

Geisha lebih kepada mereka yang menghiburkan dengan tarian. Tidak dapat dinafikan bahawa pada kurun ke-18 dan 19, ada segolongan kakitangan kerajaan yang gemar berhibur di kawasan lampu merah.

Di kawasan popular itu, memang wujud pelacur kelas paling elit yang dipanggil oiran. Tetapi itu cerita lain. Oiran terdiri daripada wanita yang berpelajaran tinggi. Mereka mahir bersajak, tahu menari, menyanyi, bermain alat muzik dan boleh berkata tidak kepada shogun. Upahnya juga sangat mahal dan mereka terdiri daripada wanita yang elegan.

Malah di Kyoto masih terdapat bangunan tempat oiran beroperasi yang indah seni binanya. Sehinggakan ramai yang tertanya-tanya bagaimana kawasan secantik itu sebenarnya kawasan lampu merah.

"Geisha dan kawasan lampu merah mungkin bertembung dalam beberapa aspek yang tidak jelas. Ia mungkin timbul daripada pengaruh filem, misalnya Memoirs of Geisha. Bagi saya filem itu mungkin sedikit Hollywood. Terutama dari segi tarian geiko. Ia langsung tidak tradisional dengan kipas dan sebagainya. Macam sarkas. Opss...

"Jalan ceritanya okey sebagai sebuah filem. Tetapi ia tidak menggambarkan geisha yang sebenar. Apa pun, saya ingin mengubah salah tanggapan orang ramai. Mereka memang bukan pelacur, walaupun tidak mustahil ada antara mereka yang menjadi perempuan simpanan," kata Mari-san, sambil memberitahu wilayah geisha paling popular di Kyoto ialah Gion, selain Miyagawa-cho dan Kamisichi-ken.

Sebelum pulang ke hotel, kami sempat meluangkan masa berjalan-jalan di Gion. Deretan rumah yang sunyi itu kebanyakannya dihiasi dengan gantungan lampu berbentuk tanglung berwarna merah. Jika bernasib baik, anda mungin terserempak dengan geisha yang berjalan laju untuk pulang ke rumah masing-masing.

Dalam pada itu, saya terfikir. Sama ada geisha terlibat dalam aktiviti tidak bermoral atau tidak, hanya mereka yang tahu.

Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan