Translate

Tajaan

Khamis, 14 Januari 2010

Teringat Anna Abadi (Singgahsana)

Ramai kian melupakan Teratak Anna Abadi, situs ini telah tiada di dunia maya tetapi rasanya bait-bait indah dari penulis Anna Abadi pasti teringat-ingat akan Allahyarhammah.

Pemergian Allahyarhammah pada tanggal 26 dec 06.

Antara dalam forum yang Anna Abadi tuliskan.

ANA? adalah nama panggilan saya. Tapi nama pena saya pelbagai. Antara yang sering saya gunakan ialah Intan Ariani, Ariana, Airina dan Han Ariani. Saya memang suka nama-nama tu. Saya suka menulis sajak mengikut perasaan saya ketika itu. Selalunya sajak-sajak yang saya nukilkan berdasarkan peristiwa semasa atau saya tujukan khas pada seseorang seperti teman-teman.Sebahagian karya saya disumbangkan kepada majalah-majalah dan akhbar tempatan. Perak adalah negeri kelahiran saya..Saya dilahirkan dalam bulan April 1977 dan berbintang Taurus.Suka bersiar-siar dan membaca.Emm..tak tahu lagi apa nak tulis..Itu saja dari ANA..Ceria selalu ! Selamat Membaca..... Well, banyak orang request nak tengok gambar saya. Actually, dah ada kat ruangan About Me tapi they all cakap gambar tak keluar. Maybe ada technical problem,kot...So, I fix it lately..but tak tau laa kalau masih 'blank'...Agaknya sebab saya ni pemalu, gambar pun segan nak keluar..hheheeeee. Anyway..utk memenuhi permintaan, saya letak gambar-gambar ni pula. Kalau tak keluar juga..janganlah marah saya...Sebenarnya, saya malu sangat2 nak tunjuk muka coz' I'm not a public figure. Saya orang biasa je...Segan laaa....Okaylah...see ya!!!

NOTA : kata-kata anna abadi pada tahun 2002, anna abadi nama mu akan tetap abadi di alam cyber, moga rohmu tenang di sisi Allah swt. Amin.


Dari Kujie

Monolog suatu malam- Tentang cinta
Khas Buat Adriana ...

Tentang Cinta
Petikan dari Internet: Sumbangan Sajak Puisi Adriana

Menyintai Tidak Bermakna Memiliki

Janganlah kau angkuh melaungkan
si dia kepunyaanmu
atau kau kepunyaan si dia
kerana hakikatnya
kita tidak pernah memiliki sesiapa
walau sekeping hati seorang insan
tidakkah kau sedar
hukum alam menyatakan
menyintai tidak semestinya memiliki?

Manusia pandai berpura
berlakon di pentas dunia
dan bertopeng
menutup rahsia
tetapi hati
tidak pernah berdusta pada empunya
tentang perasaan yang bergolak di dalamnya

Tidakkah kau sedar
mungkin si dia melafazkan
ungkapan cinta padamu
tetapi hati dan perasaannya
tidak pernah berniat begitu
dia hanya berselindung
di sebalik sejuta alasan

Dan kau
begitu jujur dan setia menyintainya
sehingga terlupa
hukum alam menyatakan
menyintai tidak bermakna memiliki...

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu...
dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah..
kita sebenarnya kepunyaan
Yang Maha Esa
tiada sesiapa berhak memiliki diri kita
kecuali Dia
Dia mengasihi hambaNya
Dia memiliki hambaNya
Dan ke pangkuan Dia kita kembali

Nukilan asli:
Anna Abadi
~suatu tika dulu


~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~
~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~

Ketika Hati Menangis

Tuhanku,
ketika hati sedang menangis
hanya Engkau saja yang tahu
betapa merananya diriku
tak mungkin yang lain tahu....

Tuhanku,
ketika mereka meninggalkan aku
sendiri terkapai-kapai
ketika dunia tiada simpati
Kau tetap mendengar rintihanku
padaMu tempatku menagih kasih
ketenangan kurasa mendekatiMu
syahdu malam tak terasa sunyi..

Tuhanku,
ketika aku dalam kepayahan
keseorangan dihimpit beban derita
Kau beri aku kesabaran
pengalaman mengajar erti kematangan
lantas Kau membuka pintu hatiku
untuk memberi kemaafan
pada mereka yang pernah melukakanku..
pada mereka yang terus melukakanku...
dan pada mereka yang tersedar kerna melukakan...

Tuhanku,
ketika aku buntu
menanggung lara hatiku
kau berikan aku kekuatan
Kau tunjukkan aku jalan
Kau tak biarkan aku keseorangan...

Tuhanku Yang Maha Pengasih
rahmatMu tak terkira
syukurku melangit pun tak tercapai
sungguh aku rasa berdosa
kerana dulu sering terlalai
semoga penyesalanku kau terima...

Thank You Allah for the blessings You have given me...


Nukilan asli:
Anna Abadi
~monolog suatu malam

.:: Anna Abadi ::.


Apa Itu Cinta?

Cinta itu perasaan jiwa semulajadi. Ia adalah fitrah yang menjadi salah satu sifat manusia. Ia wujud bila hati tertarik kepada yang dicintainya itu penuh emosi dan gembira kerana itu.

Dalam memenuhi keperluan untuk puas dalam cinta,manusia menghadapi krisis nilai. Insan yang mula jatuh cinta akan bersungguh untuk mencapai kepuasan dalam cinta itu. Ada yang menjadi buta dan kabur nilai akibat bercinta. Tapi bagi yang bijaksana mereka mendambakan cara yang sesuai dan mulia untuk memenuhi keperluan cintanya itu. Insan sebegini ingin hidup yang bersih dan penuh taqwa.

Sifat Cinta
Cinta itu suci,mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah cinta sebenar cinta.

Cinta Wujud Sejak Dilahirkan
Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu,membawa kepada cinta kepadakekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci,maka akan cinta kepada Tuhan Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan cinta sebenar cinta itu suci murni serta putih bersih.

Cinta Bersedia
Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta,maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta itu.Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta,lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Setia untuk dipertanggungjawapkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai.

Cinta Itu Indah
Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat,tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng.Bukan saja ia cantik malah suci murni,bercahaya gemerlap dan putih bersih.

Cinta Itu Mengharap Balasan
Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan,dari diri yang punya persamaan,dari diri yang asalnya satu.Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan secucuk dengan jiwanya,untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya menerima tapi juga menerima.

Cinta Itu Menakluki
Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk dirinya. Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi,dalam pada ingin menakluki,ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

Cinta Itu Mengetahui
Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya.Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi,cinta cuma tahu bercinta.Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.

Cinta Itu Hidup
Cinta adalah ibarat manusia,boleh berputik,lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta,berkata cinta,melihat cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci,cemburu,gembira,sedih,tenang,tertekan,ketawa dan menangis. Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati.Tapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati.

Cinta Itu Suci
Sebagaimana yang banyak dikatakan orang,cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa Itulah sifat asal cinta,ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan.Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

Cinta Itu Mempesona
Cinta itu bukan saja indah,tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel,tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya...mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana,akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu.Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Apakah itu Bukti Cinta?
Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu.Mereka percaya jika itu tidak berlaku,maka cinta itu tidak tinggi nilainya.

Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?

Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri "Janganlah hendaknya kecintaan anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi lupa dan kebencian anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi hancur" - Saidina Umar Ibnul Khattab.

Seorang Faizal Tahir

Faizal Tahir
suatu nama yg pasti tak akan kulupakan
kerana seorang Faizal Tahir itu
adalah teman baikku
dari dulu, kini dan biarlah selamanya

Faizal Tahir
kenapa kau begitu baik terhadap diriku?
kau sentiasa sabar
dengan segala karenahku
kau membantuku apa saja
tanpa mengharap balasan
kau cukup faham dengan diriku

Bila ku muncung
kau buatku ketawa
bila ku bersedih
kau buatku tersenyum
bila ku merajuk
sanggup kau berhari2 memujuk
bila ku kalah
kau mengalah
bila ku berputus asa
kau menyakinkan ku semula

Faizal Tahir
kau lelaki cukup baik
menghormati wanita
malah begitu penyayang
mengambil berat akan diriku
tanpa mengira waktu kau sedia datang padaku
bila ku teresak, kau sabar menasihatiku
bila ku bingung
kau menyedarkan aku kembali
kaulah pendengar paling setia
penyimpan rahsia hidupku paling amanah

Faizal Tahir
inginku pinjam kekuatan dirimu
buat penguat semangat wanitaku
dan sehingga kini
kau berbuatku tertanya-tanya
adakah kau lelaki terlalu sempurna???

Nukilan:
Anna Abadi
10 Januari 2005
~buat Faizal Tahir~



CETUSAN MELANKOLIA

Andainya kudapat
mencairkan hatimu
yang keras dan jitu
pastilah daku insan
paling bahagia di dunia...

Namun kusedari
aku hanya mampu bermimpi
tak mungkin ia berlaku
kerana kau bagai tersihir
dek kekecewaan cinta semalam
hingga kepercayaanmu goyah
menutup rapat pintu hatimu
lantas kau enggan
bergelar sang putera
di takhta hati
seorang gadis di menara
yang semakin putus harapannya....

Karya: azdriana@hotmail.com


Dari Wanita Buat Wanita

Bangunlah wahai teman
jangan terus dibuai mimpi
kita wanita penggerak wawasan
harus tabah menghadapi cabaran
walau seribu dugaan menimpa
semangat kita tak usah padam

Buktikanlah teman
kita mampu seganding mereka
menimba ilmu memancar citra
demi masa depan gemilang
menjadikan kita Wanita terbilang

Wanita berhemah, berkarisma tinggi
manfaat ilmu maruah terjaga
meneroka impian menebus kecewa
mengenggam bara menjadi arang

Duhai teman
hargailah detik kehidupan kita
kegagalan lalu jadikan pedoman
untuk merealisasikan
harapan dan cita
renungkanlah masa depan yang cerah
kerana kita istimewa
kita punya azam
kita punya visi
kita adalah Wanita harapan bangsa
tunggak kejayaan negara!

Karya: Anna Abadi
Di MENARA INI

Aku adalah seorang wanita
yang cuba mengekalkan kesantunan
wanita Timur penuh kelembutan
jua seorang siswi
yang berusaha setengah mati
melengkapkan ilmu di dada
bagi memegang segulung ijazah
penentu masa depan bangsa
dan aku jualah seorang muda
darah masih panas membara
dalam lingkaran penuh dugaan
dikelilingi bermacam ragam
manusia dan peristiwa?

Di menara ini
tiada siapa menghalang
maupun menasihati
teguran hanya segelintir saja
lalu aku pun bebas memilih
jalan hidupku sendiri
jalan ini jalanku
benar salah terletak atasku
atau mungkin di persimpangan
siapa yang peduli?
Oh aduhai!
Aku semakin menyedari
keputusan hidupku
di tangan sendiri???.

Karya: Anna Abadi


DUGAAN

Ada tikanya
rasa resah dan hiba
mencengkam jiwa
semangat goyah putus asa
peritnya menahan kecewa
apa yang dicita
tidak kesampaian
kerana yang terjadi
tak seperti yang diingini

Seharusnya
jangan biar kecewa berlarut
jiwa meresah dimamah duka
kelak ia memakan diri

Insafilah...
kita hanya merencana
takdir Tuhan penentu segala
anggaplah ia sebagai dugaan
mengajar erti kesabaran
moga kita tak terhalang
untuk bangkit semula
menebus kegagalan
dengan kembali
berusaha......

Karya: Anna Abadi


HARAPAN

Awan kelabu menyelubungi diri
ribut melanda segenap fikiran
penderitaan bagaikan darah daging
lautan air mata melemaskan diri
Bebaskan daku!

Di hujung sana kulihat
keindahan dan keriangan
aroma mesra
memukau sukma
kasih sayang
melimpah ruah
kebahagiaan merupakan
suatu realiti..tetapi
hanya di sana..

Aku cuba berjuang
membebaskan diri
bergelut dalam segala kepayahan
dengan harapan
penderitaan itu berlalu
usahlah mendera diriku lagi
kerana aku
sudah bosan berduka
dan kini mendambakan
sejalur bahagia.......

Karya: Anna Abadi
Insan Bernama Wanita

Ciptaan indah ini
adalah suatu kurniaan Ilahi
bukan untuk dicemuh dan dikeji
dan bukan jua untuk dipuja hingga terlalai
atau dianggap lemah tanpa gunanya?

Tetapi..
alangkah santunnya
pabila dia dihargai
dibelai dengan penuh kasih
mewarnai semarak cinta dan budi

Hormatilah dia sebagai
insan bernama Wanita
jagailah perasaan halusnya
maruahnya bukan untuk dijual beli
lindungilah dirinya dari dipermainkan
sumbangannya jangan diperkecilkan
kerana dia adalah Wanita
penyambung zuriat bangsa
tulang belakang nadi kehidupan
bersama membantu kejayaan
janganlah dipandang enteng?

Karya: Anna Abadi
PUISI BUAT KEKASIH

Bila mata kita bertemu
dunia kita yang punya
terasa lidah kelu berkata
namun bisikan hati menggamit rasa
meluahkan sayang melimpah ruah
seakan tiada esok menanti

Pancaran rindu membajai kasih
mentari garang nyaman terasa
kicauan camar rentak cinta
angin berpuput membelai debar
indah alam secantik dikau
kejernihan wajahmu menenangkan jiwa
hati batu cair akhirnya
dek kehangatan cintamu
aku rela tersungkur....

Bicaramu tersusun indah
kupasti kan terpesona
manja suaramu memukau kalbu
menguat lagi degup jantungku
kelembutanmu menyejukkan hati
kehalusan pekertimu mengangkat maruah
Dikau istimewa kekasih sejati
karisma unggul ada padamu
dan pastilah aku bertuah
berjaya merampasmu dari rebutan
memiliki hatimu suatu keajaiban....

Kekasihku
kaulah insan yang menginsafkan diriku
aku dahulu lupa asalku
hanyut dalam dunia sementara
zaman remaja bermain cinta
pelajaran tidak kuendahkan
lalu kuterus hanyut mengemudi masa
hancur agama keranaku

Hasrat ke menara terpendam bisu
aku kalah, rebah dan lemas
tiada tangan dihulurkan padaku
musuh Tuhan terus ketawa
membiarkanku di awangan
agar neraka menjadi milikku
dan hancur agama keranaku...

Namun tatkala kuterkapai
kau hadir dalam hidupku
membawa sinar menerangi kegelapan
menukar musim ke wajah baru
membuang gelita hatiku
kepunahan terubat jua..

Kau berkata...
dahulu aku seorang yang sakit
dibuai mimpi-mimpi indah
fantasi dianggap realiti
kebenaran tiada kulihat
dan nasihatmu agar aku berubah...

Ketika dunia sedang tenat
pemuda-pemudi tersalah langkah
remaja berlibur tanpa arah
gadis berkeliaran di kota desa
titisan air mata ayah bonda
membentuk sungai kekecewaan
lalu bersamamu aku cuba bangun
membentuk peribadi bermaruah
ilmu kutimba sebanyak mungkin
bintang di hamparan langit
kita hitung di malam permai..

Percayalah kekasihku
walaupun kau jauh beribu batu di bumi Eropah
aku akan tetap setia menantimu
jika diizinkan Tuhan
kita pasti bertemu lagi
dengan segulung ijazah tempatan
dan segulung ijazah luar negerimu

Jangan hancur cinta yang kita bina bersama.....


Karya: Anna Abadi

Untukmu, Zie
(buat seorang sahabat yang sentiasa dikenang)

Dikala ini, Zie
aku teringatkanmu
apa khabarmu di sana?
sudah lama kita tidak bertemu
usah dibayangkan
rindu hatiku terhadapmu,teman
adakah engkau juga begitu
atau sudah pun melenyapkan namaku
dari diari hidupmu?
Zie, aku tak pernah melupakan
saat-saat suka duka kita dahulu

Zie yang jauh
adakah kau masih menggelarku sahabat
atau tetap juga kau anggap musuh?
perhubungan kita sudah terputus
lantaran salah faham dan peristiwa itu
takdir itu sungguh kejam
kerna memisahkan kita
menjarakkan kita
aku mahu kau tahu,Zie
aku tetap mengganggapmu
seorang sahabat
yang kukenang sehingga kini

Masihkah kau ingat saat2 manis kita
di alam kampus yang penuh ceria
kita ibarat isi dan kuku
persahabatan kita sungguh akrab
kita sehati sejiwa dalam banyak perkara
ke mana2 sering bersama
hingga orang menganggap kita bersaudara
atau adik-beradik kembar
sememangnya Zie
aku anggap kau seperti darah dagingku sendiri
saudara kembarku
saudaraku sehingga ke akhir hayatku

Zie yang diingati
adakah masih ada bara dendam dihatimu?
tidakkah ia mahu terpadam
api bencimu masihkah marak?
terlampau marahkah engkau terhadapku
sehingga kini tak termaafkan???

Zie,
janganlah turut keegoan kita
kita sama-sama bersalah dahulu
kita tidak matang waktu itu
kita menjadi mangsa persekitaran
kita keliru dan semakin keliru
dan akibatnya persahabatan kita tersungkur

Namun, Zie
demi persahabatan kita yg pernah wujud dahulu
aku telah begitu lama memaafkanmu
aku tidak pernah menaruh benci padamu
aku kini hanya mengharapkan
kau jua sudi memaafkan aku
atas segala kesilapanku sepanjang mengenalimu
adakah masih ada ruang kemaafan dihatimu??

Zie,
angkara peristiwa itu
kita bagaikan orang asing sesama sendiri
tak bertegur sapa
tak mahu lagi mengambil berat
malah kau seolah membuang aku
jauh-jauh dari hidupmu..

Zie,
kedewasaan ini mengajar aku
betapa bodohnya kita memutuskan persahabatan
aku tak menyalahkan sesiapa
ia adalah sebenarnya berpunca
dari kecetekan kita sendiri
dalam menilai erti persahabatan

Aku berterus terang,Zie
aku begitu sayang pada persahabatan kita
aku menangis saat ia menunjukkan tanda
ia akan hancur menjadi debu
tidakkah kau juga menyayanginya??
namun kita juga telah merelakan
ia lerai dan berantakan
dan penyesalan tiada gunanya

Aku doakan kau bahagia Zie
bersama suami dan anak-anak
serta saudara dan teman-teman yang menyayangimu
aku masih sendiri
masih seperti dahulu
masih insan yang pernah kau kenali
cuma mungkin aku berubah dewasa
waktu mematangkan diriku
dalam menjalani kehidupan ini

Zie sahabatku
kita sesama Islam
siratulrahim kita sesama Islam
aku telah melupakan peristiwa itu sepenuhnya
aku tak mahu lagi mengingatinya
ia adalah suatu kisah tragis yang penuh kekeliruan
betapa dalamnya ia melukakan hati kita
terlalu dalam, Zie
sungguh tragis
hanya kau dan aku sahaja
yang mengerti

Zie...
pahatkan ayat ini dihatimu
"Kau tetap sahabatku
walau apa tanggapanmu terhadapku..."

Salam Ingatan Dariku Untukmu

Anna Abadi 1977- 2006
MENYINTAI TIDAK BERMAKNA MEMILIKI

Janganlah kau angkuh melaungkan
si dia kepunyaanmu
atau kau kepunyaan si dia
kerana hakikatnya
kita tidak pernah memiliki sesiapa
walau sekeping hati seorang insan
tidakkah kau sedar
hukum alam menyatakan
menyintai tidak semestinya memiliki?

Manusia pandai berpura
berlakon di pentas dunia
dan bertopeng menutup rahsia
tetapi hati
tidak pernah berdusta pada empunya
tentang perasaan yang bergolak di dalamnya

Tidakkah kau sedar
mungkin si dia melafazkan
ungkapan cinta padamu
tetapi hati dan perasaannya
tidak pernah berniat begitu
dia hanya berselindung
di sebalik sejuta alasan

Dan kau
begitu jujur dan setia menyintainya
sehingga terlupa
hukum alam menyatakan
menyintai tidak bermakna memiliki

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu...
dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah
kita sebenarnya kepunyaan
Yang Maha Esa
tiada sesiapa berhak memiliki dir kita
kecuali Dia
Dia mengasihi hambaNya
Dia memiliki hambaNya
Dan ke pangkuan Dia kita kembali

karya" azdriana@hotmail.com


HARAPAN

Awan kelabu menyelubungi diri
ribut melanda segenap fikiran
penderitaan bagaikan darah daging
lautan air mata melemaskan diri
Bebaskan daku!

Di hujung sana kulihat
keindahan dan keriangan
aroma mesra
memukau sukma
kasih sayang
melimpah ruah
kebahagiaan merupakan
suatu realiti..tetapi
hanya di sana..

Aku cuba berjuang
membebaskan diri
bergelut dalam segala kepayahan
dengan harapan
penderitaan itu berlalu
usahlah mendera diriku lagi
kerana aku
sudah bosan berduka
dan kini mendambakan
sejalur bahagia.......

Karya: Anna Abadi
Putra

dari meminati menjadi cinta
walau dari kejauhan
walau tanpa sedarmu
menyintaimu suatu kebahagiaan
tak terhingga rasanya?
Wajahmu yang tenang
mempesonakan
bisa mencairkan jiwa nan lara
sinar matamu bak panahan arjuna
hingga aku bagaikan tersesat
dalam renungan matamu
Putra
Inspirasiku datangnya darimu
kau menghidupkan semangatku
hingga ke awan biru
Ada tikanya kutenggelam
dalam khayalan
ingin bersamamu selamanya
dan kadang-kadang kubermimpi
kita bercinta di atas pelangi
Putra
Curahan hatiku tak terluah padamu
kerana memiliki dirimu
suatu kemustahilan
hingga rela kuterbeban
bahagia dalam kesengsaraan
hanya kerna takdir tersurat
menyintaimu dalam diam
kau sentiasa di hatiku?

PUTRA (II)
(Nukilan Suatu Ketika)
Putra
sukar untuk kunukilkan
dalam bait-bait puisi cintaku
apa yang sebenarnya bergolak
dalam gelora perasaanku
Ia hadir bersama debaran
bak gadis santun yang resah
menunggu pinangan
dalam kemerahan wajahnya
Lingkaran kerinduan
menyesak nafasku
hingga tergamak
kumelangkah sendiri
ke penjara cintamu
dan tak terdaya kulari lagi
dari hukuman ini

Diriku bergelar tawanan
dalam sangkar hatimu
pembebasan tak mungkin lagi
kerana akulah yang bersalah
menyintaimu dalam diam
tanpa permisi

Karya: anna abadi
Menyintai Atau Tak Menyintai?

Adakah kau menyintai...
atau tidak menyintaiku???
pertanyaan ini sudah lama bersarang difikiranku
cuma lidah kelu melontarkan
ia kekal menjadi pertanyaan
yang tak terjawab

Kau melayanku seperti teman biasa
tetapi di lain waktu seperti seorang kekasih
kau kerap mengusikku dengan gurauan bersahaja
nadanya seolah menyatakan
aku hanya sekadar seorang sahabat
boleh diusik dengan pelbagai jenaka
dipanggil dengan pelbagai gelaran
namun bersama temanmu yang lain
kau diam-diam memujiku
kau katakan yang indah-indah
kau menghormati dan mengkagumiku...

Mereka berkata
setiap kali kau membicarakan tentangku
ada sinar cahaya di matamu
ibarat membicarakan sesuatu yang suci
adakah itu petandanya kau menyintai
atau...tidak menyintaiku...?

Di suatu masa kau begitu memanjakan aku
di suatu masa yang lain kau buat tak endah
ada saatnya kau diam-diam mencuri pandangan
bila ku tersedar kau cepat-cepat berpaling
adakah kau mampu melindungi
wajahmu yang berubah merah??

Katakan padaku
adakah kau menyintai atau
tidak menyintaiku???
adakah aku hanya dilanda perasaan
tersalah tafsir dengan sifatmu yang mengelirukan
atau aku sebenarnya lebih keliru
dengan perasaanku sendiri
adakah aku menyintai
atau tidak menyintai dirimu....??

Karya : Anna Abadi



Ingin Sekali

Dari kejauhan itu
kuterpandang seraut wajah
tenang dalam diam
namun seakan menyimpan
suatu nostalgia memilukan
rahsia tak terucap
Ingin sekali kumenghampiri
memulakan bicara
berbual mesra
namun hajatku tak pernah
kesampaian
kerna sifat malu seorang wanita
masih menebal dalam diri
Oh bilakah peluang itu
akan tiba akhirnya?

Ingin sekali kuselami
lubuk hatinya
meleraikan misteri
membebaskan kekecewaan lalu
aku ingin sekali melepaskan
belenggu hatinya
dan membangkitkan kembali
ghairah kehidupannya!

Karya: Anna Abadi


1 ulasan:

  1. Saya dulu hari2 masuk teratak anna abadi...masuk jer ilang tension...lepas arwah meninggal saya masuk teratakian...then skrg teratakian dah tak leh bukak....tak tau mane nak lepak ni

    BalasPadam