Translate

Tajaan

Selasa, 12 Januari 2010

Aizat, Yuna buktikannya! (Hiburan)

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

KETIKA dalam program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) tiga tahun lalu, Muhammad Aizat Amdan, 20, hanya mampu bertahan selama tujuh minggu sebelum tersingkir. Namun, semangatnya tidak pernah pudar apabila muncul dengan album pertama, Percubaan Pertama yang benar-benar membawa tuah kepadanya.

pix_middle
sebelum

selepas

Tahun ini Aizat kembali ke AJL24 dengan dua lagu, Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik Amran Omar serta Kau Aku ciptaan sendiri. Ternyata penyertaan kali ini mencatat kejayaan besar buat Aizat apabila Pergi diumumkan juara manakala Aizat turut menang Persembahan Terbaik untuk Kau Aku. Begitu juga kejayaan Yunalis Zarai atau Yuna, pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang menjadi perhatian tahun lalu dengan lagu Dan Sebenarnya ciptaan sendiri di tempat kedua. Tambahan pula penampilan bersahaja Yuna di pentas bersama gitarnya.


AJL24 juga menjadi milik penyanyi solo apabila lagu dendangan Faizal Tahir, Bencinta menang tempat ketiga. Juara membawa pulang RM35,000, tempat kedua, RM15,000 dan ketiga RM12,000.


Pergi yang juga lagu tema filem Talentime disampaikan Aizat dalam irama akustik sentimental bukan saja membuai perasaan lebih 10,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Stadium Putra, Bukit Jalil, malah barisan juri terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan; Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Dr Wan Zawawi, Dr Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas (Pacai), Zainal Abidin, Fatimah Abu Bakar, Hazami dan ketua juri, Fauzi Marzuki. Persembahan Aizat dimantapkan lagi dengan kehadiran dua vokalis, Linda berketurunan India serta sepupunya, Shukri Nazam dan gesekan Erhu (biola Cina) oleh Endang. Gimik kreatif menggunakan 30 pelajar berpakaian sekolah rendah dan menengah mengiringi Aizat ketika mempersembahkan Kau Aku mencuri tumpuan hingga membawa kejayaan Persembahan Terbaik. Untuk ini, Aizat membawa pulang RM10,000 bersama trofi.


Kejayaan Pergi mengembalikan kegemilangan lagu penyanyi solo selepas dua tahun dikuasai penyanyi berkumpulan, Estranged melalui Itu Kamu pada AJL22 dan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain), tahun lalu.

Bagaimanapun, Pete tidak dapat meraikan kejayaan itu bersama kerana berada di luar negara begitu juga dengan Amran yang tidak kelihatan pada majlis itu. Pembantu Pete, Albert Law berkata, Pete terkejut dengan kemenangan Pergi dan cukup gembira dengan kejayaan ini," katanya.

Pergi yang ditujukan khas buat insan meninggal dunia seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk Sudirman Arshad, Mokhtar Dahari dan Yasmin Ahmad, menjadi sumber inspirasi kekuatan lagu itu. Aizat berkata, kejayaan meraih juara AJL24 dan Persembahan Terbaik memberi makna besar terhadap perkembangan karier seninya selepas pengalaman pahit terkeluar dari AF5. "Saya tidak sangka lagu Pergi dan Kau Aku melonjak nama saya ke tahap tertinggi anugerah muzik Malaysia. Ini pencapaian membanggakan kerana tidak pernah menang sebarang pertandingan membaca puisi atau nyanyian disertai sebelum ini. "Saya tuju kejayaan untuk keluarga dan semua penyokong Aizat. Ia mengubati kesedihan selepas kehilangan dua ekor kucing kesayangan baru-baru ini. Secara keseluruhan, saya beri penghargaan terhadap peminat setia menyokong industri muzik Malaysia," katanya.


Mengenai konsep budak sekolah diketengahkan untuk Kau Aku, Aizat berkata, idea serta konsep itu menjadi pilihannya selepas mengadakan sesi sumbang saran bersama kru Kasi Gegar Entertainment termasuk bersama semua ahli keluarga. "Kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah datang dari Sekolah St John Kuala Lumpur serta sekolah rendah di Muar, Johor dan beberapa saudara," katanya.


Populariti Aizat terbukti paling popular apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu dari album pertama, Percubaan Pertama, mencatat kejayaan apabila Sebaik AJL24 berakhir, Aizat akan menjalani latihan menjayakan Konsert Satu Suara anjuran Siti Nurhaliza Production (SNP) bersama Datuk Siti Nurhaliza dan pemenang tempat ketiga AJL24, Faizal Tahir di Istana Budaya pada 12, 13 dan 14 Februari depan. Selain itu, Aizat masih dalam proses menyiapkan rakaman album kedua dijangka berada di pasaran tahun ini. Katanya, aktiviti seninya padat untuk beberapa bulan pertama ini.


"Saya mahu terus menghasilkan lagu berkualiti untuk memajukan industri muzik tempatan," katanya.

Yuna yang menyertai AJL24 buat kali pertama tidak menyangka Dan Sebenarnya menduduki tempat kedua. Katanya, kejayaan itu membawa makna besar buat dirinya kerana tidak pernah bersaing dalam persembahan pentas kompetitif seperti AJL. "Tahun lalu, saya menyaksikan AJL sambil makan keropok kentang bersama rakan di rumah dan tahun ini tidak sangka menduduki tempat kedua.


"Mungkin ini rezeki saya dan harap mampu meningkatkan perancangan dan pelaburan dalam muzik untuk mencapai tahap lebih tinggi pada masa depan. Buat masa ini, saya masih dalam peringkat perbincangan bersama sebuah syarikat rakaman suara daripada Amerika Syarikat," katanya.


PROFIL AIZAT
NAMA: Muhammad Aizat Amdan
NAMA KOMERSIAL: AIzat
UMUR: 20 tahun
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989
TINGGI: 176sm
ZODIAK: Aquarius
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
PENCAPAIAN: Pergi lagu runut Talentime (muncul juara keseluruhan dan persembahan terbaik AJL24)
:Lagu Kau Aku menjadi tema untuk drama Merah Putih.
:Akademi Fantasia Musim Kelima (tersingkir minggu ketujuh)

PROFIL YUNA
NAMA: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIAL: Yuna
USIA: 23 tahun
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar
1990)
PENDIDIKAN: Masih menuntut dalam tahun akhir di UiTM Shah Alam dalam
bidang undang-undang
PENCAPAIAN: Tempat kedua AJL24 menerusi Dan Sebenarnya
E-MEL: yunaroom records@gmail.com

iDAN:

Azim kata baju Yuna tu macam baju hujan; banyak sangat lapisnya. Memang sedap lagu selamba Yuna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan