TENGAH malam ini berakhirlah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai. 12,268 Pengundi menentukan siapa pilihan mereka sama ada Tuan Aziz Tuan Mat yang mewakili Barisan Nasional (BN) atau Mohd. Fauzi Abdullah dari Pas.
Khabarnya kempen di Manek Urai berjalan lancar, tidak seperti kempen PRK sebelum ini contohnya di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Kecuali Penanti yang menyaksikan tidak ada persaingan selepas BN tidak meletakkan calon dan memberi laluan mudah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memilih pengganti bagi jawatan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang meletak jawatan untuk melanjutkan pelajaran di Australia.
Manek Urai merupakan PRK ketujuh di mana empat daripadanya disebabkan kematian dan tiga lagi akibat wakil rakyat PKR meletak jawatan iaitu di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti.
Apakah kempen tenang PRK yang berlangsung di Manek Urai akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang? Mungkin ketika kempen pada pilihan raya umum (PRU), ahli-ahli politik hanya akan tertumpu di kawasan masing-masing. Ketika itu, masing-masing mahu menjaga kawasan mereka.
Mungkin pemimpin di peringkat pusat sekadar mampu turun di kawasan tertentu bagi membantu calon-calon berkenaan. Pilihan raya umum pasti datang. Enam belas bulan sudah berlalu dan bermakna tinggal lebih kurang tiga tahun untuk PRU ke-13 jika diambil kira tempoh penggal Parlimen yang tidak pernah mencecah lima tahun.
Bagi menghadapi PRU akan datang, parti politik sibuk memperkemas dan memperkuatkan jentera parti masing-masing. Mereka cuba mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh memecah belahkan parti. Maka tidak hairanlah seperti yang ditulis sebelum ini beberapa pergolakan yang berlaku dalam DAP, Pas dan PKR di Kedah dan Pulau Pinang hanyalah sandiwara semasa yang akan selesai dalam sedikit masa. Ia cuma ‘ribut dalam cawan’, bak kata orang carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum balik. PKR, Pas dan DAP saling memerlukan antara satu sama lain.
Jika ada perselisihan pun ia sekadar untuk menunjukkan parti pembangkang seperti parti lain mempunyai masalah tetapi mampu diselesaikan. Perselisihan itu juga akhirnya akan menguatkan parti. Maka selesailah isu Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Cuma yang musykilnya bagaimana Ahli Majlis MPSP boleh bekerja dengan orang yang mereka pulau pelantikannya. Begitu juga dengan isu babi di Kedah, selesai dalam masa yang singkat. Inilah kelebihan yang ada kepada PKR, DAP dan Pas.
Isu perbalahan mereka sudah pasti mendapat tempat di media massa termasuk di dalam blog yang dikendalikan oleh individu dan parti politik.
Blog merupakan satu lagi saluran kempen yang hebat dalam pilihan raya. Tetapi sejauh mana blog yang wujud sekarang mampu mempengaruhi para pengundi terutama pengundi-pengundi muda yang lebih dekat dengan sumber teknologi maklumat ini? Maklumat mengenai pergolakan politik kini berada di hujung jari. Di mana sahaja kita dapat melihat pelbagai isu politik apatah lagi dengan kehadiran blog politik yang tumbuh bagaikan cendawan.
Serangan atau kempen melalui blog inilah yang dikatakan menjadi salah satu punca kekalahan BN pada PRU lalu. BN dikatakan gagal mengambil kesempatan untuk mempengaruhi pengundi-pengundi melalui blog. Segala serangan atau tohmahan yang dilemparkan melalui sumber itu tidak dapat dijawab dengan segera menyebabkan mereka terpengaruh.
Kini sudah ada usaha untuk mempertahankan kerajaan BN melalui blog. Bukan sekadar Perdana Menteri malahan menteri Kabinet, pemimpin politik dan parti politik mempunyai blog sendiri. Cuma sejauh mana pengundi mahu melayarinya atau sekadar membuka sekali sekala apabila ingin mengetahui isu yang diperdebatkan.
Tetapi dalam keghairahan pemimpin melahirkan blog yang lebih serius, ada juga pihak yang mewujudkan blog yang ‘memual dan menyakitkan’. Mungkin ini akibat serangan melampau yang dibuat oleh pihak tertentu sebelum ini yang secara terbuka menjatuhkan maruah pemimpin tertentu. Kita masih ingat bagaimana pelbagai label atau gelaran diberi terhadap Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Kita tahu bagaimana wajah pemimpin dipermainkan di blog berkenaan. Kartun yang lucu tetapi mengaibkan. Daya kreativiti manusia disalahgunakan bagi menyerang musuh dalam politik. Pahala dan dosa diketepikan.
Itulah hakikat kebebasan maya yang ada, tidak seperti ‘kebebasan’ yang dinikmati oleh media cetak dan elektronik. Seolah-olah tiada siapa berhak menghalangnya. Dan kini serangan seumpama itu dibalas dengan kemunculan pelbagai blog yang boleh memalukan individu tertentu dalam parti berkenaan.
Melalui blog itu mereka ‘menanggalkan baju’ dan ‘melondehkan seluar’ orang politik. Gambar-gambar memualkan dan melucukan berselerakan di dalam blog. Tidak kira sama ada mereka bertaraf ustaz, tok guru atau ulama dalam parti politik, semuanya ‘dibelasah’ tanpa segan silu. Tiada lagi adab susila, sopan santun atau budi pekerti. Mungkin inilah cara yang sudah diterima oleh rakyat negara kita.
Karya kartun bukan lagi sinis tetapi mengaibkan. Seorang sahabat yang sebelum ini sering melihat blog pembangkang yang ‘membelasah’ kerajaan tidak sanggup melihat blog yang menghentam pemimpin pembangkang. Katanya, dia tidak sanggup melihat pemimpin pujaannya ‘melakukan perkara tidak senonoh’ atau ‘dalam keadaan mengaibkan’ seperti yang dipaparkan dalam blog.
Akhirnya barulah dia sedar bahawa jika ada orang yang sanggup mengenepikan agama, budaya, adab sopan dalam menyerang orang lain, maka akhirnya orang lain juga akan membuat perkara yang sama. Apakah kehadiran blog yang mampu ‘membogelkan’ segala-galanya akan lebih banyak menjelang PRU? Inilah yang perlu difikirkan oleh ahli-ahli politik sama ada ketelanjuran yang berlaku di blog sekarang boleh disekat.
Jika tidak, kempen memburukkan peribadi pemimpin akan berleluasa. Yang malu bukan sekadar pemimpin tetapi rakyat seluruhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan