Translate

Tajaan

Khamis, 18 Februari 2010

Bersuci

Pengertian bersuci

Agama Islam mewajibkan penganutnya menjaga kebersihan:

  • Kebersihan dari najis-najis yang lahir terkena pada badan, pakaian, benda-benda, rumahtangga (tempat) dan sebagainya.
  • Dan juga kebersihan/kesucian dari najis-najis batin yang berada dalam jiwa seperti menyekutukan Allah , hasad dengki, sombong, riak dan sebagainya.

Bersuci dalam istilah syarak ialah “Mengerjakan sesuatu yang membolehkan mendirikan solat dan amal-amal ibadah yang seumpamanya seperti tawaf dan membaca Al-Qur’an dengan melakukan wudhu’ /mandi/ tayammum dan menghilangkan najis yang tidak dimaafkan yang terkena pada badan, pakaian, tempat dan sebagainya.

Tegasnya, tidak sah solat seseorang tanpa suci dari hadas kecil dan hadas besar dan juga jika badan, pakaian atau tempat solat tidak suci dari najis yang tidak dimaafkan.

Yang wajib disuci atau dibersihkan

  1. Najis-najis yang berada pada badan, pakaian dan tempat mendirikan solat dan lain-lain ibadah.
  2. Hadas kecil yang berada pada anggota wudhu’.
  3. Hadas besar yang berada pada seluruh badan.


BERSUCI DARI NAJIS

Najis-najis itu terbahagi kepada 4 jenis;

  1. Najis yang berat (مغلظه).

Najis berat atau mughollazah itu ialah anjing dan babi, anak antara keduanya serta salah satu dari keduanya.

Cara menyucikannya:

Jika terkena najis yang berat ini, cara menyucikannya ialah dengan membasuh tempat yang kena najis itu sebanyak 7 kali, sekali daripadanya hendaklah dengan air yang bercampur tanah yang bersih. Jika najis itu kelihatan melekat bendanya (zat najis tersebut) maka hendaklah dihilangkan lebih dahulu sebelum dibasuh.

  1. Najis yang pertengahan (متوسطة)

Najis Mutawassitah ialah seperti tahi dan air kencing manusia atau binatang, darah, muntah, bangkai binatang kecuali belalang dan ikan, susu binatang yang tidak halal dagingnya dan seumpamanya.

Cara menyucikannya;

Jika terkena najis ini, buangkan terlebih dahulu najis itu, kemudian basuh dengan air yang suci hingga hilang ainnya (rupa, rasa dan bau).

  1. Najis yang ringan (مخففة)

Najis Mukhoffafah ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum cukup umur 2 tahun dan tidak makan apa-apa selain susu ibunya sahaja.

Cara menyucikannya;

Jika terkena najis ini, memadailah dengan dipercikkan air ke atasnya sesudah membuang atau mengelapnya.

  1. Najis yang dimaafkan

Ialah seperti bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya seperti lalat, lipan, semut dan seumpamanya. Selain dari itu, sedikit darah bisul terkena pada pakaian atau pun sedikit percikan air kotor di tengah jalan dan seumpamanya.

ISTINJA’

Istinja’ ertinya ialah bersuci daripada najis selepas buang air kecil atau buang air besar. Istinja’ hukumnya wajib.

Cara – cara istinja’;

  1. Sekurang-kurangnya istinja’ ialah membersihkan najis pada kemaluan itu dengan 3 biji batu atau dikesat dengan benda-benda yang kesat lagi suci.
  2. Sebaik-baiknya hendaklah disapu dengan batu dan kemudian dibasuh dengan air.
  3. Untuk lebih mudah, basuhlah sahaja dengan air yang suci lagi menyucikan, sebagaimana biasa dilakukan.

Syarat-syarat beristinja’ dengan batu atau benda-benda kesat

  1. Sekurang-kurangnya 3 kali sapu dengan 3 biji batu atau sebiji batu yang mempunyai 3 penjuru.
  2. Najis itu belum kering pada tempatnya.
  3. Najis itu tidak meleleh atau berlumuran dari tempat keluarnya.
  4. Tidak terkena najis lain di atasnya.
  5. Najis itu tidak dibasahi air.

Alat-alat istinja’ 2 perkara

  1. Air mutlak (air yang suci lagi menyucikan).
  2. Batu atau benda-benda yang keras lagi kesat yang suci seperti kertas, daun-daun kering, rumput dan sebagainya.

Catatan:

Bahan makanan atau tulang-tulang tidak boleh digunakan untuk beristinja’. Juga tidak boleh beristinja’ dengan benda-benda yang bertulis dengan nama Allah, nama-nama nabi, ayat- ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith nabi.

AIR UNTUK BERSUCI

Air mutlak

Air yang digunakan untuk mandi wajib, untuk mengambil wudhu’ dan untuk menyucikan sesuatu yang kena najis hendaklah ‘air yang suci lagi menyucikan’ atau disebut Air Mutlak, dengan syarat air tersebut tidak dikotori oleh najis, belum digunakan untuk menyuci najis, mandi atau berwudhu’, dan tidak berubah akibat bercampur dengan benda-benda yang suci seperti gula, the dan sebagainya.

Air mutlak ada 7 jenis iaitu;

  • Air hujan.
  • Air sungai.
  • Air laut.
  • Air perigi.
  • Air mata air.
  • Air embun.
  • Air salji.

KEADAAN/PEMBAHAGIAN AIR

  1. Air Mutlak (مطلق)

Iaitu air dari salah satu tujuh sumber yang tersebut di atas, yang masih asli lagi suci dan menyucikan, belum digunakan untuk menyuci najis, mandi atau berwudhu’ dan tidak berubah warna, rasa dan bau kerana bercampur dengan benda-benda lain. Hanya air mutlak sahaja yang sah digunakan untuk bersuci atau menyucikan sesuatu yang terkena najis.

  1. Air Mutanajjis (متنجس)

Air yang sedikit (kurang dari 2 kolah) yang terkena najis ataupun yang lebih 2 kolah tetapi terkena najis hingga berubah warna, rasa dan baunya. Air ini tidak boleh digunakan untuk bersuci.

Catatan:

2 kolah air ialah dalam bekas 4 segi berukuran 60 x 60 cm³ atau seberat kira-kira 163 kg.

  1. Air Musta’mal (مستعمل)

Air yang kurang 2 kolah, telah digunakan untuk bersuci seperti mengambil wudhu’ atau membasuh sesuatu yang bukan najis. Air ini suci tetapi tidak boleh diguna untuk bersuci.

  1. Air Makruh/Musyammas (مكروه\مشمس)

Air di dalam bekas logam yang boleh berkarat seperti tembaga atau besi dan panas kerana terjemur matahari. Air ini makruh digunakan untuk bersuci kecuali setelah sejuk semula.

  1. Air Mutaghayyir (متغير)

Air yang telah berubah rupa, rasa dan bau kerana bercampur dengan benda –benda yang suci seperti gula, kopi, teh, nila dan sebagainya. Air ini suci tetapi tidak boleh diguna untuk bersuci. Tetapi jika air itu berubah rupa atau warna kerana lama bertakung atau kerana daun-daun kayu, maka air itu suci lagi menyucikan.

BERSUCI DARI HADAS

Bersuci dari hadas adalah wajib, dan hadas itu terbahagi kepada 2 bahagian;

  • Hadas besar.
  • Hadas kecil.

HADAS BESAR

Pengertian hadas besar

Hadas besar mengikut istilah syara’ ertinya sesuatu yang maknawi (kotoran yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar), yang berada pada seluruh badan seseorang, yang dengannya menegah mendirikan solat dan amal iadah seumpamanya, selama tidak diberi kelonggaran oleh syara’. Selama seseorang itu tidak menempuh atau melakukan salah satu perkara yang menyebabkanhadas besar, maka selama itu badannya suci dari hadas besar.

Sebab dinamakan hadas besar ialah kerana kawasan yang didiami atau dikenai ole hadas besar ini terlalu luas iaitu meliputi seluruh badan dan rambut.


Perkara-perkara yang menyebabkan kedatangan hadas besar

Seseorang itu disebut berhadas besar menakala menempuh atau melakukan salah satu daripada 5 perkara yang berikut;

  • Melakukan persetubuhan atau jima’, iaitu memasukkan hasyafah (tempat yang terpotong bagi kemaluan lelaki) atau sekadarnya ke dalam faraj (qubul) atau dubur manusia atau binatang yang hidup atau yang telah mati.
  • Kedatangan haidh iaitu darah yang keluar dari rahim perempuan sebagai menandakan kesihatannnya. Sekurang-kurang umur bagi perempuan yang mungkin kedatangan haidh iaitu lebih kurang 9 tahun.
  • Keluar mani dengan sengaja atau tidak sengaja.
  • Nifas iaitu darah yang keluar mengiringi kelahiran sewaktu beranak.
  • Wiladah iaitu beranak yang tidak diiringi darah atau beranak yang diiringi basah sahaja.

Masa haidh dan masa nifas

Sekurang-kurang masa haidh bagi perempuan iaitu sehari semalam dan paling banyaknya 15 belas hari 15 malam, manakala yang biasanya ialah 6 malam atau 7 hari 7 malam.

Sekurang-kurang masa nifas pula ialah satu lahzah (sekelip mata) dan sebanyak-banyaknya iaitu 60 hari 60 malam, manakala yang biasanya iaitu 40 hari 40 malam.

Setelah darah haidh atau nifas itu berhenti maka wajiblah ia mandi seluruh badan (mandi wajib) untuk membolehkan ia melakukan ibadah solat dan lain-lain seumpamanya.

Masa suci antara 2 haidh

Orang perempuan yang sihat akan kedatangan haidh pada tiap-tiap bulan, tetapi haidhnya tidak melebihi 15 hari. Oleh itu ia adalah suci yang mewajibkan solat di antara masa haidh bulan yang pertama dengan bulan yang berikutnya.

Dengan demikian, sekurang-kurang masa suci ialah 15 hari 15 malam dan biasanya ialah 23 hari dan 23 malam, atau 24 hari 24 malam. Di samping itu kebanyakan masa suci tidak dapat disamakan, disebabkan ada antara orang perempuan yang tidak pernah datang haidh seumur hidup, dan mereka yang sedemikian wajib melakukan solat sepanjang masa seperti orang lelaki.


Perkara-perkara yang diharamkan dengan sebab berhadas besar

  1. Solat , sama ada yang fardhu mahupun yang sunat.
  2. Tawaf (mengelilingi Ka’abah) sama ada yang fardhu mahupun yang sunat.
  3. Menyentuh Al-Qur’an ataupun memegangnya.
  4. Membaca Al-Qur’an.
  5. Berhenti dalam masjid.
  6. Berpuasa, sama ada yang fardhu mahupun yang sunat, bagi yang datang haidh atau nifas.
  7. Haram jima’ atau bersetubuh bagi perempuan yang haidh atau nifas.

Cara mandi mengangkat hadas besar

  • Ketika mulai mandi dengan menjirus air ke kepala atau badan, wajib berniat untuk mengangkat/menghilangkan hadas besar. Bacaan lafaz niatnya iaitu;

Aku berniat mandi untuk mengangkat hadas besar fardhu kerana Allah Ta’ala.

  • Cara mandi hendaklah dengan menjirus (menyiram) air dan meratakannya hingga kesemua anggota badan termasuk rambut dan bahagian celah-celah anggota badan. Sah juga mandi wajib dengan cara menyelam ke dalam air yang banyak seperti sungai dan laut.


Sunat-sunat semasa mandi

  • Dimulai dengan membaca ayat Basmalah.
  • Membasuh tangan 3 kali.
  • Membasuh kemaluannya.
  • Berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung serta menghembusnya keluar.
  • Mengambil wudhu’.
  • Jirus air ke atas kepala 3 kali.
  • Jirus air ke badan dengan mendahulukan anggota yang kanan.
  • Menggosok-gosok badan.
  • Setelah selesai mandi maka bacalah doa sebagaimana doa selepas wudhu’.

Berbagai jenis mandi sunat

Selain daripada mandi wajib seperti yang diterangkan sebelum ini, syari’at Islam menggalakkan pula mandi sunat bagi seseorang yang mandi kerana menyempurnakan ibadah-ibadah tertentu. Di antaranya ialah;

  • Mandi kerana hendak pergi menunaikan solat Juma’at. Niatnya iaitu, “Sahaja aku mandi sunat hari Juma’at kerana Allah Ta’ala.”
  • Mandi sunat Hari Raya Aidlfitri atau AidilAdha sama ada ingin pergi menunaikan solat sunat hari raya atau tidak. Niatnya , “Sahaja aku mandi sunat hari raya kerana Allah Ta’ala”.
  • Mandi sunat selepas memandikan jenazah.
  • Mandi sunat selepas seseorang memeluk agama Islam jika belum pernah berjunub. Jika pernah berjunub hendaklah dia mandi wajib.
  • Mandi sunat setelah seseorang itu siuman dari gila atau sedar dari pengsan.
  • Mandi sunat Ihram sebelum memakai pakaian ihram untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah.
  • Mandi sunat kerana gerhana matahari atau bulan.
  • Mandi kerana berubah bau badan.
  • Mandi sunat kerana musafir yang diharuskan.


Istihadhah

Istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari rahim perempuan di luar waktu haidh atau nifas. Ia tidak menegah perempuan tersebut dari melakukan ibadah solat, puasa dan lain-lain, sebagaimana yang diharamkan bagi orang perempuan yang kedatangan haidh atau nifas. Oleh yang demikian, orang perempuan kedatangan darah istihadhah ini hendaklah menunaikan ibadah yang diwajibkan seperti biasa. Kemaluannya hendaklah dibasuh dan ditutup dengan kapas atau kain, kemudian segeralah mengambil wudhu’ dan solat.

Hukum bangkai

Semua bangkai adalah najis kecuali ikan, belalang dan mayat manusia, sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud;

“Dihalalkan bagi kita (umat Islam) dua jenis bangkai dan dua jenis darah iaitu bangkai ikan dan belalang dan hati serta limpa (haiwan sembelihan).”

Tentang sucinya mayat manusia pula iaitu, firman Allah;


“Dan sesungguhnya Kami(Allah) telah memuliakan anak Adam (manusia).”

HADAS KECIL

Pengertian hadas kecil

Erti hadas kecil menurut istilah syara’ ialah sesuatu kotoran yang maknawi (tidak dapat dilihat dengan mata kasar), yang berada pada anggota wudhu’, yang menegah ia dari melakukan solat atau amal ibadah seumpama solat, selama tidak diberi kelonggaran oleh syara’. Hadas kecil ini tidak akan terhapus melainkan dengan mengambil wudhu’ yang sah. Selama mana seseorang itu dapat mengekalkan wudhu’nya, maka selama itu ia bersih dari hadas kecil. Sebabnya dinamakan hadas kecil ialah kerana kawasan yang didiami oleh hadas kecil ini kecil sahaja iaitu sekadar anggota wudhu’.

Perkara-perkara yang menyebabkan kedatangan hadas kecil (membatalkan wudhu’)

Wudhu’ seseorang itu akan terbatal dengan salah satu dari 5 sebab berikut;

  1. Keluar sesuatu dari 2 jalan iaitu qubul atau dubur seperti kencing, berak atau buang angin (kentut).
  2. Hilang akal dengan sebab gila atau mabuk atau sakit.
  3. Tidur nyenyak, kecuali tidur orang yang duduk, yang tetap kedua papan punggungnya.
  4. Bersentuh kulit lelaki dan kulit perempuan yang halal berkahwin dengan tidak berlapik dan keduanya telah dewasa.
  5. Menyentuh qubul atau dubur manusia dengan tapak tangan tidak berlapik walaupun qubul atau duburnya sendiri.


Perkara-perkara yang diharamkan dengan sebab hadas kecil

  1. Mendirikan solat, sama ada yang fardhu atau yang sunat.
  2. Tawaf, sama ada yang fardhu atau yang sunat.
  3. Menyentuh Al-Qur’an atau menanggungnya.



BERWUDHU’ DAN CARA-CARANYA

Seseorang yang tidak ada wudhu’ disebut berhadas kecil. Untuk menyucikan diri darinya ialah dengan mengambil wudhu’ dengan rukun-rukun dan cara yang telah ditentukan.

Rukun wudhu’

Rukun mengambil wudhu’ ada 6 perkara iaitu;

  1. Niat mengerjakan fardhu wudhu’ ketika mulai membasuh sebahagian dari muka. Lafaz niatnya iaitu;


“Aku berniat wudhu’ untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah Ta’ala”.

  1. Membasuh muka. Kawasannya ialah dari anak rambut kepala hingga ke bawah dagu (panjangnya), daripada anak telinga kanan hingga anak telinga kiri (lebarnya).
  1. Membasuh kedua tangan hingga ke kedua sikunya.
  1. Menyapu sebahagian dari kepala.
  1. Membasuh kedua kaki hingga ke buku lali.
  2. Tertib (mengikut susunan yang telah diatur oleh syara’ seperti di atas).

Wudhu’ seseorang yang tertinggal salah satu rukun yang tersebut di atas adalah tidak sah.

Sunat-sunat yang dituntut ketika berwudhu’

Mereka yang mengambil wudhu’ disunatkan mengerjakan sekali perkara-perkara di bawah ini bagi menyempurnakan wudhu’nya dan menambah pahalanya;

  1. Bersugi – menggosok gigi.
  2. Mengadap kiblat.
  3. Membaca Basmalah.
  4. Membasuh dua tapak tangan hingga ke pergelangannya.
  5. Berkumur-kumur.
  6. Memasukkan air ke hidung dan menghembuskannya keluar.
  7. Menyapu seluruh kepala.
  8. Menyapu kedua telinga luar dan dalam.
  9. Menyelat-nyelat janggut yang lebat.
  10. Menyelat-nyelat anak jari tangan dan kaki.
  11. Mendahulukan yang kanan dari yang kiri.
  12. Meniga-nigakan basuh dan sapu pada anggota-anggota wudhu’ yang telah disapu dan dibasuh.
  13. Mualat (berturut-turut), tidak diselangi oleh perceraian masa yang lama antara satu anggota dengan anggota yang lain.
  14. Membaca doa selepas wudhu’ disempurnakan.

Lakukanlah solat sunnat wudhu’ dua raka’at.

Peringatan menggunakan air untuk berwudhu’

  • Cara menggunakan air ketika berwudhu’ ialah dengan dijirus atau disiram sama ada dengan gayung atau cerek atau menadah dari paip air . tidak sah wudhu’ jika dengan cara memasukkan tangan ke dalam satu baldi air, dan dengan air itu juga untuk membasuh muka, tangan menyapu rambut dan membasuh kaki kecuali jika di dalam laut atau sungai yang banyak airnya.
  • Sukatan air wudhu’ – air untuk mengambil wudhu’ sekali untuk seseorang dikadarkan oleh syara’ satu cupak air sahaja, dan makruh jika dilebihkan dari kadar tersebut.

DOA WUDHU’

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada yang menyekutuiNya dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hambaNya dan utusanNya. Ya Allah, jadikanlah aku daripada orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dari orang yang menjaga kebersihan, dan jadikanlah aku dari hambaMu yang soleh. Maha Suci Engkau ya Allah dengan segala kepujianMu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku memohon ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmati serta sejahterakan junjungan kami Nabi Muhammad , ahli keluarga dan sahabatnya sekelian”.


Hal-hal yang Membatalkan Wudhu’

1. Keluar sesuatu dari “dua pintu” belakang seperti buang angin (kentut), buang air besar atau kecil, haid atau nifas, dan sebaganya.

2. Hilang akal (kerana sakit, mabuk, gila dan sebagainya) .

3. Bersetubuh

“Manakala seorang muslim atau mukmin itu berwudhu, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan yang terakhir dari air. Manakala ia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah (terusir) semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan terakhir dari air. Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka sirnalah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa.” (Hr Imam Muslim dari Abu Hurairah).

Air Wudhu’

Wudhu’ merupakan salah satu ibadah yang khas yang dapat dipakai untuk solat, thawaf, hendak tidur, jalan keluar rumah, serta memelihara jiwa dan raga dari berbagai cacat.

Wudhu’ dengan air bersih dan murni bererti meniti kosmetik tradisional dan anti biotik alamiah, kerana itu, Islam tidak membenarkan berwudhu’ dengan air musta’mal (air bekas dipakai), air buah-buahan, akar-akaran atau air yang sudah berubah sifat-sifatnya (warna, rasa dan baunya). Seperti telah dijelaskan sebelumnya, bahawa wudhu’ ialah membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga dua siku, menyapu kepala, dan membasuh kaki hingga dua mata kaki yang diawali dengan niat dalam hati.

Almarhum Buya Hamka, melalui bukunya “Lembaga Hidup” menulis tentang wudhu’ sbb:

“Lima kali sekurang-kurangnya sehari semalam disuruh berwudhu dan solat. Dan meskipun wudhu belum lepas, sunnat pula memperbaharuinya. Oleh ahli tasawwuf diterangkan pula hikmah wudhu itu. Mencuci muka, ertinya mencuci mata, hidung, mulut dan lidah, kalau-kalau tadinya berbuat dosa ketika melihat, berkata dan makan. Mencuci tangan dengan air, dalam hati dirasa seakan-akan membasuh tangan yang terlanjur berbuat salah. Membasuh kaki, dan lain-lain demikian pula. Mereka perbuat hikmat-hikmat itu, meskipun di dalam hadis dan dalil tidak bertemu, adalah supaya manusia jangan membersihkan lahirnya saja, padahal bathinnya masih tetap kotor. Hatinya masih khizit, loba, tamak, rakus, sehingga wudhunya lima kali sehari itu tidak berbekas diterima Allah, dan sembahyangnya tidak menjauhkan dari pada fahsya (keji) dan mungkar (dibenci)”.

Penulis “Lembaga Hidup” sengaja merangkaikan keutamaan wudhu dengan masalah kesihatan badan dan kebersihannya, lalu dihubungkan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w Tulisnya:

“Bukan kita hidup mencari puji, bukan pula supaya kita paling atas di dalam segala hal. Meskipun itu tidak kita cari, kalau kita menjaga kebersihan, kita akan dihormati orang juga”. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Perbaguslah pakaianmu, perbaiki tunggangan (kenderaan) mu, sehingga kamu laksana sebutir tahi lalat di tengah-tengah pipi, di dalam pergaulan dengan orang banyak“.

Allah s.w.t. menurunkan wahyu, memberi hidayah penuntun rohani dan jasmani agar keduanya tetap berfungsi dan terpelihara.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah pergi ke kuburan, lalu memberi salam : “Assalamu’alaikum Dara Qaumin (perkampungan orang mukmin) dan Insya Allah kami akan menyusul kemudian, saya ingin benar melihat-lihat saudaraku.” Berkata sahabat: “Bukankah kami ini adalah saudaramu ya Rasulullah? “Ya, kamu adalah sahabatku, dan saudara-saudaraku yang belum datang kini.” Sahabat kembali bertanya: “Bagaimanakah engkau dapat mengenal mereka yang belum datang kini dari ummatmu ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagaimana pendapatmu jika seorang mempunyai kuda belang putih muka dan kakinya, ditengah-tengah kuda yang semuanya hitam, tidakkah mudah mengenal kudanya?” Para sahabat menjawab : “Benar Ya Rasulullah.” “Maka itu ummatku nanti kelak pada hari kiamat bercahaya muka dan kakinya sebagai bekas wudhu, dan saya akan membimbing mereka itu ke Haudh (Telaga Syafa’at)

Cahaya, Kebersihan dan Kehidupan

Dalam air wudhu yang sakral terdapat cahaya, kebersihan dan kehidupan. Air bekas (mus’tamal) atau tersadur najis, akan menjadi sumber penyakit, buruk bagi fisik, kimia, mahupun biologis. Islam pun melarang berwudhu dengan air yang demikian. Air sebagai keperluan vital kehidupan. Al-Qur’an memberi penjelasan bahawa kehidupan dimulai dari air, seperti disebutkan dalam firmannya:

Dan kami telah menciptakan segala sesuatu yang hidup itu dari air, apakah mereka belum mahu juga beriman?” (Al-Anbiya:30).

TAYAMMUM

Agama Islam memberikan keringanan kepada umatnya yang tidak dapat air untuk mengambil wudhu’, ataupun orang-orang yang mempunyai penyakit di mana badannya tidak boleh terkena air. Mereka boleh menggantikan wudhu’ itu dengan bertayammum.

Erti Tayammum ialah menyapu debu tanah (yang suci) ke muka dan tangan hingga ke siku dengan syarat-syarat tertentu.

Syarat-syarat Tayammum

  1. Tidak didapati air selepas berikhtiar mencarinya.
  2. Sakit yang ditegah daripada terkena air.
  3. Ada air amat sedikit dan amat diperlukan untuk kegunaan minuman dirinya, kawannya atau haiwannya.
  4. Masuk waktu solat. Tidak sah Tayammum sebelum masuk waktu solat.
  5. Tayammum hendaklah dengan debu tanah yang diyakinkan suci.
  6. Cuaca sejuk yang keterlaluan, boleh mendatangkan mudarat jika berwudhu’.
  7. Ada air tetapi dijual dengan harga yang sangat mahal.
  8. Ada air tetapi terletak di kawasan musuh yang boleh membinasakan dirinya jika pergi ke situ.
  9. Setiap kali Tayammum hanyalah tertentu untuk satu solat fardhu, tetapi boleh untuk beberapa kali solat sunat.

Cara-cara bertayammum

  1. Niat tayammum.


“Sahaja aku tayammum untuk mengharuskan solat fardhu kerana Allah Ta’ala”.

  1. Menyapu muka dan kedua tangan hingga kedua siku. Tepuk kali yang pertama untuk menyapu muka dan tepuk kali kedua untuk menyapu kedua belah tangan.
  2. Tertib.

Sunat-sunat tayammum

  • Membaca Basmalah.
  • Mengadap kiblat.
  • Mendahulukan tangan kanan dari tangan kiri.
  • Menipiskan debu.
  • Maulat (berturut-turut).

Perkara-perkara yang membatalkan tayammum

  1. Semua perkara yang membatalkan wudhu’.
  2. Setelah bertayammum dan sebelum menunaikan solat tiba-tiba didapati air, maka batallah tayamumnya jika dia bertayammum kerana ketiadaan air.
  3. Hilang keuzuran bagi yang bertayammum kerana uzur seperti sakit yang tidak boleh terkena air.
  4. Murtad (keluar dari agama islam).

Hal-hal lain yang perlu diketahui ialah:

1. Satu kali tayammum dapat digunakan untuk beberapa solat atau thawaf, baik yang wajib mahupun yang sunat.

2. Apabila mendapatkan air, padahal solat sudah dikerjakan dengan tayammum, maka solatnya tidak perlu diulangi lagi.

Wallahua’lam

Sumber :

1. Panduan Lengkap Ibadah Solat – Hj Johari Hj Alias, Darul Nu’man.

2. Panduan Lengkap sembahyang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan