Translate

Tajaan

Khamis, 17 Januari 2013

Chong Wei ketuai kemaraan

Lee Chong Wei mempamerkan karakter juara membenam bekas juara remaja dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 21-8, 21-10 pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Maybank di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi sesi awal yang meresahkan, pemain utama negara diketuai Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melegakan peminat di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan melepasi halangan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Maybank, semalam.
Daripada 15 perlawanan melibatkan pemain Malaysia yang berlangsung pada sesi pertama, hanya dua wakil kita berjaya meloloskan diri, Gan Teik Chai-Ong Soon Hock dan beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing, sekali gus menimbulkan keresahan penonton di stadium.
Namun begitu, debaran mereka mula reda sebaik pemain utama memasuki gelanggang pada sesi petang. Chong Wei mempamerkan karakter juara ketika mudah membenam bekas juara remaja dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 21-8, 21-10.
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang mencari gelaran Siri Super pertama sejak 2010 pula menyingkirkan pasangan Indonesia, Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Aprida Gunawan 21-15, 21-15.
Chan Peng Soon-Goh Liu mengharungi pertarungan paling mendebarkan sebelum menepati status pilihan pertama beregu campuran dengan menewaskan Sudket Prapakamol-Duanganong Aroonkesorn dari Thailand 21-8, 15-21, 23-21.
Peminat Malaysia turut diceriakan dengan kejayaan Sonia Cheah menjadi wakil tunggal perseorangan wanita di pusingan kedua selepas menewaskan Sayaka Takahashi 15-21, 21-19, 21-18 untuk menempah pertemuan dengan Yao Xue dari China.
Selain Teik Chai-Soon Hock dan Aik Quan-Pei Jing, turut melangkah ke pusingan kedua hari ini adalah juara Terbuka Perancis, Liew Daren, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Goh V Shem-Lim Khim Wah, Low Juan Shen-Tan Yip Jiun dan Sonia Cheah.
Turun dengan memburu kejuaraan kesembilan, Chong Wei yang masih segar dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan Terbuka Korea tampak berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran kedua 2013.
Selepas menang mudah ke atas Axelsen, Chong Wei melaungkan keyakinan untuk mengetepikan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana hari ini, namun mengakui dia tidak mahu terlalu yakin kerana bimbang ia akan memakan diri.
"Saya tahu lawan saya hari ini tidak begitu kuat, jadi kemenangan mudah bukan ukuran kemampuan saya. Apa pun, setakat ini saya gembira dengan permainan saya kerana saya baru kembali dari Korea dan masih menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca.
"Boonsak adalah lawan yang lebih sukar daripada Axelsen tetapi dia bukan pemain yang sering memberi masalah kepada saya. Apa pun, saya tidak harus memandang rendah keupayaan lawan dan yang penting saya harus terus fokus," ujar Chong Wei, yang memegang rekod 16-2 ke atas jaguh Thailand itu.
Daren juga tidak menghadapi banyak masalah untuk melepasi halangan pertamanya apabila menundukkan pemain No. 30 dunia, Ajay Jayaram dari India 21-15, 21-11.
Namun, dia bakal berdepan pemain yang tidak pernah dikalahkan, juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat di suku akhir hari ini.
Kemaraan Chong Wei dan Daren bagaimanapun gagal dituruti empat lagi perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng, Mohd. Arif Latif, Zulfadli Zukifli dan Tan Chun Seang.
Wei Feng kalah mudah 15-21, 8-21 kepada pilihan kedua, Kenichi Tago dari Jepun. Arif pula dijinakkan bekas naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro 16-21, 18-21, manakala Zulfadli memberi tentangan sengit sebelum tunduk 21-23, 21-13, 13-21 kepada Rajiv Ouseph, begitu juga Chun Seang yang tewas 21-18, 22-23, 16-21 di tangan Hu Yun.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan