“KEBIASAANNYA pihak isteri yang datang mendapatkan khidmat nasihat sekiranya terdapat masalah dalam rumah tangga,” kata Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Undang-undang Keluarga Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Yuhaniz Mohd Yusop.
Sepanjang Januari sehingga September 2012 sebanyak 562 aduan diterima melibatkan pelbagai jenis aduan seperti lemah didikan agama; campur tangan pihak ketiga; masalah seksual; masalah akhlak dan komunikasi.
Proses khidmat runding cara dan khidmat nasihat ini seterusnya akan dilakukan dengan memanggil pihak suami. Bagaimanapun, terpulang kepada pihak pertama (isteri) yang datang mengadu.
Sekiranya pengadu tiada halangan dipertemukan sekali dengan suaminya atau dengan kata lain duduk bincang semeja, bagi unit runding cara dan khidmat nasihat ia adalah langkah terbaik agar kedua-dua pihak jelas dengan permasalahan dan faham dengan konflik yang sedang dihadapi. Namun, sekiranya pengadu tidak mahu, pihak suami sahaja akan dipanggil.
Memperincikan aduan melibatkan isteri curang, beliau berkata, kecurangan yang berlaku kebiasaannya berpunca daripada kelemahan atau kecuaian pihak suami dan juga rendahnya iman seorang Isteri.
“Terdapat dua keadaan curang yang mana berlaku di pihak isteri, pertama ia dilakukan dengan sengaja kerana mempunyai niat membalas dendam atas kesalahan atau kecurangan yang terlebih dahulu dilakukan pihak suami. Keduanya, kecurangan secara tidak sengaja yang berlaku kerana kecuaian suami,” katanya.
“Kecurangan yang berlaku tidak sengaja pula, selalunya terjadi melibatkan golongan isteri yang bekerja. Ini disebabkan si isteri yang sering terdedah dengan pergaulan di luar.
Tanpa benteng keimanan yang kuat, kecurangan boleh berlaku. Lebih-lebih lagi suami pula kuat bekerja sehingga terlupa hingga mengabaikan kehendak isteri,” katanya.
Yuhaniz berkata, keadaan sebegini yang perlu diperhalusi oleh para suami. Terdapat keadaan kecurangan yang berlaku kerana isteri berasa terabai. Dan terdapat juga keadaan yang berlaku adalah sememang isteri hanyut dengan perhatian yang diberikan oleh lelaki lain.
Terdapat juga aduan daripada isteri yang mana rasa kasih dan sayang kepada suami semakin pudar apabila suami meletakkan syarat atau undang-undang di dalam rumah tangga.
Contohnya, isteri tidak boleh mengadu atau bercakap dengan suami sehingga pada waktu yang ditetapkan oleh suami.
Ditambah lagi suami seorang yang panas baran dan tidak boleh dibawa berbincang. Di saat ini hati isteri akan mudah terpancing jika ada mana-mana lelaki di luar sana yang memberikan perhatian kepada beliau.
“Apabila wujud keadaan sebegini, isteri akan berasa terasing di dalam rumah sendiri dan jauh daripada suami. Sedangkan, golongan suami perlu ingat insan bernama isteri ialah manusia yang akan berasa suami adalah tempat paling dekat untuk mengadu atau berkongsi segala hal dalam kehidupannya.
"Mungkin sesetengah hal kecil pada pandangan suami, tetapi sebaliknya buat isteri. Oleh kerana itu, komunikasi dan persefahaman sangat mustahak di dalam rumah tangga.
Toleransi dan sikap sentiasa suka mendengar adalah antara cara terbaik untuk mengeratkan kasih sayang di dalam rumah tangga,” katanya.
-sinarharian.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan