Apabila Allah telah sempurna menjadikan Adam, Allah memerintahkan semua
malaikat sujud kepada Adam, sebagai menghormati kejadian Allah. Sujud
ini diistilahkan sebagai ``sujud tahyat''. Semua malaikat sujud, kecuali
iblis. Ketika ditanya sebab keengganannya, iblis menyatakan bahawa Adam
itu dijadikan daripada tanah, pada hal dirinya dijadikan daripada api.
Api lebih mulia daripada tanah.
Akibat keengganannya itu, Allah menjadi murka, melaknat iblis,
dihukumkan kafir, dan akan dimasukkan dalam neraka. Menyedari kemurkaan
Allah, iblis merasakan bahawa semuanya terjadi adalah akibat daripada
Adam, kerana itu iblis (dan konco-konconya) bersumpah akan membinasakan
Adam dan keturunannya. Iblis bersumpah akan menipu manusia, menyebabkan
manusia tunduk kepada nafsu, merasakan apa yang diperintahkan Allah itu
buruk, manakala apa yang diharamkan, yang ditegah itu baik, menyebabkan
banyak manusia yang mengingkari perintah Allah.
Allah telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sembahyang lima
waktu, yang terlalu banyak memberi pengaruh dalam pembentukan peribadi
yang luhur. Sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan
kejahatan dan kemungkaran. Bermaksud, bahawa sekiranya seseorang itu
berupaya melakukan sembahyang dengan betul, sah sembahyangnya, dan
diterima oleh Allah, maka orang yang berkenaan akan terhindar daripada
perbuatan jahat dan kemungkaran.
Atas pemahaman inilah, maka tidak pelik kenapa iblis dan syaitan itu
berusaha supaya manusia itu tidak melakukan sembahyang. Leka dengan
kerja harian, mesyuarat, berniaga, berforum, bertemu kawan, main bola di
padang, berdebat di meja persidangan dan sebagainya tanpa mempedulikan
masuk waktu sembahyang.
Iblis dan syaitan menguliti manusia supaya melupakan sembahyang.
Sembahyang mengganggu kerja-kerja dan urusan harian, manakala orang yang
hendak sembahyang, akan didatangi oleh iblis dan syaitan supaya
melambat-lambatkan sembahyangnya seperti yang berlaku pada diri saudara.
Bagi orang yang tidur, iblis datang menguliti agar terus terlena, dan
langsung tidak sembahyang.
Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Nabi s.a.w. ada bersabda
menyatakan, apabila seseorang itu tidur, iblis akan mengikat di atas
kepala orang yang berkenaan tiga ikatan. Iblis berkata, kau mempunyai
masa tidur yang panjang. Tidurlah! Apabila orang yang berkenaan terjaga
dari tidur, lalu menyebut nama Allah, maka terhurailah satu ikatan.
Apabila ia berwuduk, maka terhurailah ikatan yang kedua, dan apabila
orang yang berkenaan sembahyang, terhurailah ikatan yang ketiga.
Dengannya orang yang berkenaan akan menghadapi waktu pagi dalam keadaan
cergas, kalau tidak dia akan menghadapi waktu pagi dengan malas lagi
monyok.
Apabila seseorang itu berwuduk, kumpulan iblis yang dinamakan
``Al-Wilhan'' akan datang mengganggu orang yang berkenaan, sehingga
menyebabkan ada orang yang mengambil wuduk berjam-jam lamanya sehingga
basah kuyup. Apabila seseorang itu mendirikan sembahyang, iblis dan
syaitan akan mengganggu manusia ketika sembahyang; ketika sedang
berniat, iaitu ketika membaca takbiratul ihram, menyebabkan niat itu
dilakukan berulang kali. Ketika membaca Al-Fatihah, iblis dan syaitan
mengganggu manusia, menyebabkan sesetengah orang mengulangi
kalimah-kalimah Al-Fatihah berulang kali.
Terlalu banyak gangguan iblis dan syaitan ketika seseorang itu sedang
sembahyang. Ada orang yang rasa terkentut ketika sembahyang, atau terasa
terkeluar air kencing pada hal ketika di luar sembahyang, gangguan
seumpama ini tidak berlaku. Begitu juga dengan gangguan lain, iaitu
dengan mendatangkan pelbagai ingatan yang telah berlalu, ketika berada
di pejabat, ketika mesyuarat, termasuk harga saham yang menjunam, harga
kelapa sawit yang sedang menurun dan sebagainya. Semua ingatan ini
datang menyelinap dalam ingatan orang yang sedang sembahyang,
semata-mata supaya seseorang itu tidak ada rasa khusyuk ketika
sembahyang.
Fenomena yang dijelaskan di atas ini membuktikan bahawa gangguan iblis
dan syaitan ketika seseorang itu sedang sembahyang bukan satu rekaan,
atau bidaah semata-mata, tetapi ia memang benar-benar berlaku.
Rasulullah menyuruh setiap orang itu berwaspada daripada gangguan iblis
dan syaitan. Petua untuk mengatasi masalah bagi orang yang suka
melambat-lambatkan sembahyang adalah mudah, iaitu sembahyang sebaik-baik
sahaja masuk waktu sembahyang. Apabila saudara dapat melakukannya, pada
satu tahap tertentu, saudara akan merasa tidak senang, rasa gelisah
selagi saudara tidak mendirikan sembahyang. Dan apabila saudara telah
sembahyang, saudara akan merasa lega, nikmat dan tenang kerana telah
menyempurnakan sesuatu yang difardukan ke atas saudara. Ketika itu
saudara akan benar-benar berupaya menghayati ibadah sembahyang, dan
tentunya tidak akan bermasalah untuk mendirikan sembahyang di awal
waktu.
Allah menjelaskan seperti yang tersebut dalam surah Maryam: 58 tentang
mereka yang diberi nikmat Allah, yang terdiri daripada para nabi dari
keturunan Adam, iaitu Nabi Noh, Ibrahim, Nabi Musa (Maryam: 51), Harun
(Maryam: 53), Nabi Ismail, juga Nabi Idris (Maryam: 56). Apabila
dibacakan ayat-ayat Allah yang maha pemurah kepada mereka, mereka
menyungkurkan diri bersujud dan menangis (Maryam: 58).
Dalam Surah Maryam: 59-60 tersebut firman Allah: Maka datanglah sesudah
mereka pengganti yang mensia-siakan sembahyang dan menurutkan hawa
nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan, kecuali orang yang
bertaubat, beriman dan beramal soleh.
Menurut Ibn Abbas, yang dimaksudkan dengan ``mensia-siakan sembahyang''
itu bukan mereka yang meninggalkan semua sembahyang, tetapi mereka yang
mengtakhirkan atau melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.
Menurut Said bin Al-Musayyab, seorang ketua golongan tabiin, seorang
daripada tujuh orang fuqaha yang terkenal di Madinah, yang dimaksudkan
dengan ayat di atas ialah orang yang tidak sembahyang zuhur hinggalah
tiba sembahyang asar, tidak sembahyang asar hinggalah tiba maghrib, dan
tidak sembahyang maghrib hinggalah tiba waktu isyak, dan tidak
sembahyang isyak hinggalah terbit fajar, dan tidak melakukan sembahyang
subuh sehinggalah naik matahari. Barang siapa mati, apabila ia terus
menerus dalam keadaan sedemikian rupa, dan tidak pula bertaubat, Allah
memberi amaran balasan ``Al-Baqhy'' untuknya. Al-Baghy itu ialah satu
lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan
penghuninya.
Sa'd bin Abi Waqaas, seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga,
di antara orang yang awal memeluk Islam berkata, beliau telah bertanya
kepada Rasulullah s.a.w. tentang mereka yang lalai terhadap sembahyang.
Baginda menjawab menyatakan bahawa mereka itu adalah orang yang
melambat-lambatkan sembahyang. Mereka sembahyang tetapi mengambil ringan
menyebabkan sembahyang di akhir waktu. Allah menjanjikan mereka
``Neraka Wail'', iaitu satu neraka yang amat sakit azabnya. Sesetengah
ulama menyatakan Neraka Wail adalah satu lembah yang terdapat dalam
Neraka Jahanam. Seandainya dilalukan bukit-bukit yang terdapat di dunia
ini di atasnya, nescaya cair semuanya kerana sangat panas. Neraka itu
adalah tempat tinggal mereka yang lalai terhadap ibadah sembahyang
kecuali mereka yang menyesal dan bertaubat.
Dalam Surah Al-Munafiqun: 9 dijelaskan bahawa orang yang dilalaikan oleh
harta juga anak-anak adalah terdiri daripada golongan orang yang rugi:
Wahai orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu
melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa berbuat
demikian, mereka adalah orang yang rugi.
Ahli-ahli tafsir menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan perkataan,
``mengingati Allah'' itu adalah sembahyang lima waktu. Maka barang siapa
yang sibuk dengan hartanya, dengan berjual beli, urusan harian,
kehidupannya, kilang, untung rugi, juga urusan anak-anaknya, daripada
mendirikan sembahyang pada waktunya, maka mereka adalah termasuk dalam
golongan orang yang rugi.
Dijelaskan dalam sebuah hadis, riwayat oleh Al-Bayhaqiy, atau namanya
yang sebenar Abu Bakar, Ahmad bin Al-Husain bin Ali, seorang imam hadis,
yang dilahirkan pada tahun 384 Hijrah, bahawa Umar bin Al-Khattab,
telah berkata, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w.
Be-liau bertanya: Ya Rasulullah, apakah amalan-amalan yang lebih
digemari oleh Allah Taala dalam Islam? Baginda menjawab: Sembahyang
dalam waktunya. Barang siapa meninggalkan sembah-yang, maka tidak ada
agama baginya. Sembahyang itu tiang agama.
Ketika Sayyidina Umar ditikam oleh Abu Lu'luah Al-Majusi, telah
diberitahu kepadanya: Sembahyang wahai Amirul Mukminin. Beliau menjawab:
Ya. Sesungguhnya tidak ada tempat bagi seseorang dalam Islam yang
meninggalkan sembahyang. Beliau telah menunaikan sembahyang pada hal
darahnya mengalir dari liang luka.
Dalam sebuah hadis lain dijelaskan bahawa Baginda s.a.w. ada bersabda:
Barang siapa mengumpulkan dua sembahyang tanpa uzur, maka dia
sesungguhnya telah mendatangi satu pintu yang besar daripada pintu-pintu
dosa besar. Memang benar orang yang melambat-lambatkan sembahyang itu
telah menunaikan kewajipan yang tertanggung ke atasnya, tetapi
berdasarkan kepada dalil-dalil al-Quran, juga hadis-hadis, mereka yang
berbuat demikian diberi amaran oleh Allah dengan azab yang pedih. Ini
memperlihatkan bahawa mereka tetap berdosa. Dalam masa yang sama
ditakuti orang yang terlibat meninggal dunia sebelum sempat mendirikan
sembahyang pada hal waktunya telah tiba. Sebenarnya, tidak ada formula
atau petua bagi orang yang suka melambat-lambatkan sembahyang kecuali
terus bangun sembahyang sebaik-baik sahaja masuk waktu. Selain daripada
itu kesedaran tentang dosa dan amaran Allah ke atas mereka yang
bertabiat sedemikian rupa boleh menginsafkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan