Translate

Tajaan

Khamis, 17 Januari 2013

Kos amah dicadang PAPA tak munasabah, membebankan

 2013/01/17 - 20:25:24 PM

KUALA LUMPUR: Kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia yang diumumkan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) baru-baru ini pada harga RM6,700 disifatkan beberapa pihak sebagai tidak munasabah malah turut membebankan keluarga berpendapatan sederhana.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, berkata kos itu masih tinggi serta tidak masuk akal kerana pendapatan rakyat di negara ini masih berada pada tahap sederhana.

"Situasi ini bukan sahaja menambahkan tekanan kepada golongan wanita (isteri) malah turut dirasai golongan lelaki (suami) yang masih mencari pembantu rumah.

"Pada saya, kadar pendapatan suami dan isteri jika digabungkan sekalipun mencecah RM5,000 hingga RM7,000, namun mereka masih tidak mampu untuk membiayai kos pengambilan pembantu rumah kerana perlu menanggung perbelanjaan lain," katanya kepada Bernama.

Justeru, Marimuthu mencadangkan kerajaan Malaysia berurusan secara terus dengan kerajaan Indonesia dalam urusan pengambilan pembantu rumah bagi mengurangkan kos serta mengelakkan orang tengah mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

Baru-baru ini, PAPA mengeluarkan kenyataan bahawa kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditetapkan pada harga RM6,700 merupakan tawaran dibuat Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (Apjati) dan bukannya ditetapkan PAPA.

Kenyataan itu dibuat setelah Ketua Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membantah pengumuman PAPA mengenai kos pengambilan pembantu rumah Indonesia dan menyifatkan kos itu terlalu mahal.

Pendapat Marimuthu itu dikongsi oleh Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Abdul Rahman yang turut berkata kerajaan Malaysia perlu berurusan secara terus dengan kerajaan Indonesia dalam urusan pengambilan pembantu rumah.

Mohd Yusof berkata pembantu rumah merupakan satu keperluan kepada pasangan yang bekerja bagi menguruskan anak-anak serta urusan rumah kerana mereka yang bekerja tidak mampu melakukan semua urusan dalam satu masa.

"Jika kos pengambilan tidak dapat dikurangkan, kemungkinan golongan wanita (isteri) terpaksa berhenti kerja demi menguruskan rumah tangga kerana tidak mampu menanggung kos pengambilan pembantu rumah," katanya.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat, pula berpendapat kos yang tinggi itu akan menimbulkan kesulitan khususnya kepada golongan pertengahan yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 di negara ini.

Beliau yang menyokong syor Ketua Pergerakan Wanita BN itu agar kos pengambilan pembantu rumah warga asing ditetapkan pada kadar antara RM3,000 dan RM4,000 sahaja menyifatkan kos itu adalah munasabah.

"Saya rasa jika kos yang dicadangkan Shahrizat ini diterima, walaupun masalah masih timbul tetapi sedikit sebanyak dapat melegakan hati golongan pertengahan yang benar-benar memerlukan pembantu rumah," katanya.

Dr Samsul percaya kerajaan mampu mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak dalam menangani isu ini agar tidak berterusan sehingga menimbulkan masalah kepada rakyat.
Sementara itu, pekerja swasta, Halim Hanafiah, 47, berkata kos itu tidak masuk akal malah membebankan bagi golongan berpendapatan sederhana seperti beliau.

"Saya harap kerajaan memikirkan cara yang terbaik untuk membantu golongan seperti saya yang amat memerlukan khidmat pembantu rumah," kata bapa kepada dua anak itu.

Pengusaha restoran di Gombak, Zalillah Abdul Karim, 40, turut membantah kos pengambilan pembantu rumah kerana beliau kini bercadang mengambil pembantu rumah bagi menguruskan anak-anak disebabkan kesibukan beliau.

Katanya, apabila mendapat tahu kos sebanyak itu, beliau merasainya sebagai satu beban yang perlu ditanggung. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan