19/04/2012 4:20pm
KUALA LUMPUR 19 April Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO melunaskan bayaran taksiran tertunggak berjumlah RM5,766.50 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi rumah pusaka seniman agung Tan Sri P.Ramlee yang kini didiami menantunya, Suria Bakar.
Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, bayaran itu dibuat hasil sumbangan orang ramai yang diperolehi semalam setelah membaca berita mengenai masalah Suria, 43.
"Biro amat prihatin dengan apa yang menimpa waris P.Ramlee dan diharap dengan sumbangan ini rumah pusaka yang didaftarkan atas nama Ramli Bin Putih (P.Ramlee) tidak akan disita, katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Suria di rumah berkenaan di Taman Setapak di sini, hari ini.
Isnin lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menyatakan cukai taksiran sebanyak RM4,385 selepas Suria, balu Nasir P. Ramlee, gagal menjelaskan tunggakan berjumlah RM10,151.50 sejak 10 tahun lepas menyebabkan rumahnya disita DBKL.
Khairun berkata, pihaknya juga berjaya mendapatkan kelulusan pentadbiran Universiti Lim Kok Wing untuk menyambung biasiswa Diploma Profesional dalam jurusan Penataan Bunyi dan Muzik untuk anak Suria, Zakaria Nasir, 21. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan