Polis Seru Jangan Dengar Khabar Angin
on
20/12/12
Isu rusuhan kaum di antara Melayu dan India yang berlarutan dari 16 Disember Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah sebenarnya tidak benar sama sekali apa yang disebarkan oleh individu melalui laman sosial Facebook mahu pun khidmat pesanan ringkas (SMS).#BERITA PENUH
SUNGAI PETANI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang bertindak menyebar khabar angin kononnya Kuala Muda dikenakan perintah berkurung akibat rusuhan kaum sepertimana yang disebar menerusi laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab menafikan perkara tersebut dan menegaskan, polis akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang menyebarkannya kerana tindakan itu satu kesalahan.
“Sehingga kini, hasil siasatan dan risikan polis mendapati insiden awal pagi 16 Disember di Flat Paya Nahu, Sungai Petani itu tiada kaitan dengan (dakwaan) kebencian kaum Melayu ke atas kaum India dan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di ibu pejabat Polis Kuala Muda malam tadi.
“Kalau dilihat melalui siasatan, ia berpunca daripada kes nak lumba motor, masing-masing nak tunjuk hebat. Bila tak puas hati panggil kawan-kawan dan tercetuskan kejadian itu.
“Saya juga telah berjumpa dengan ketua kaum Melayu dan India pada hari sama jam 3 petang dan merayu mereka memberi penerangan jelas kepada masyarakat supaya jangan bertindak balas, jangan menyebar berita palsu dan jangan menghasut melakukan pergaduhan lebih besar,” katanya.
Menurutnya, kesemua ketua kaum memahami dan berjanji akan memaklumkan kepada anak buah agar tidak bertindak di luar batas undang-undang.
Berhubung insiden itu, katanya, 13 suspek telah ditahan reman dan lima yang tercedera telah menerima rawatan di hospital di mana empat daripadanya sudah dibenarkan pulang.
Bagaimanapun, katanya, beberapa insiden yang berlaku selepas itu tiada kaitan dengan insiden pertama dan berlaku secara kebetulan.
“Kita merujuk kepada khabar angin ada pergaduhan di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, kes bakar masjid, rusuhan kaum, darurat dan semuanya dikatakan berpunca daripada kes pertama adalah fitnah semata-mata.
“Polis akan terus memantau dan menghantar lebih ramai anggota selain mengadakan sekatan jalan raya bertujuan meredakan keadaan bukannya disebabkan ada rusuhan,” katanya.
Berhubung seorang pegawai polis yang dibelasah katanya, pegawai berkenaan sedang bercuti kerana ingin berkahwin, berkunjung ke sebuah kedai.
“Berdasarkan siasatan, berlaku salah faham antara pegawai tersebut dengan seorang lelaki India yang mencetuskan pergaduhan.
“Tetapi, ia tiada kaitan dengan isu perkauman dan berlaku secara kebetulan bukannya disebabkan insiden pertama,” katanya.
Beliau bagaimanapun meminta penduduk Kuala Muda khususnya Sungai Petani bertenang dan jangan mempercayai berita palsu yang tersebar melalui Facebook, Twitter atau SMS kerana bimbang ada pihak akan terpengaruh yang mendorong kepada perkara tidak sihat.
Menurutnya, polis sendiri menerima banyak panggilan telefon berikutan tersebarnya khabar angin mengatakan berlaku rusuhan antara kaum Melayu dan India di daerah Kuala Muda.
Sehingga kini (sehingga sidang media dilakukan), Kuala Muda masih dalam keadaan aman dan tenteram dan tiada sebarang kematian dilaporkan berhubung isu berkenaan. – Sinar Harian
sumber: http://www.isu.my/
Alert !!! Cerita Sebenar Di Sebalik Sebaran Pergaduhan Besar Di Sungai Petani.
Pisau Kedah baru sahaja balik dari kawasan Taman Bandar Baru, di mana kawasan yang di katakan sedang tercetus pergaduhan antara kaum.
Untuk pengetahuan semua, SMS atau Email yang di terima adalah PALSU semata-mata dan ianya mempunyai niat buruk untuk menimbulkan kekecohan antara kaum.
Di bawah ini merupakan SMS atau Email berantai yang telah di sebarkan bagi menimbulkan keadaan huru-hara di Malaysia
Kejadian pergaduhan teruk di antara puak pelampau Extreme India dari Geng Kongsi 35 & Melayu Islam kita yang ditetak dengan parang , dibelasah dengan kayu besbol dan di campak ke dalam longkang sehingga membabitkan orang-orang yang tiada kaitan bermula di Paya Nahu seterusnya melarat ke Tmn Ria apabila motosikal di bakar di depan masjid
Seterusnya melarat ke Tmn Keladi & terkini jam 3 petang tadi di Bandar Sg Lalang , Sg Petani Kedah .. mangsa Melayu dari anggota Melayu Islam kita dari PDRM pula yang dibelasah habis habisan kerana cuba menggari salah seorang daripada anggota kumpulan kongsi geng 35 mereka yang terlalu bertindak agresif.
Sekarang di Sg Petani,Kedah sudah penuh dengan polis & FRU serta sekatan jalan .. ugutan menyerang orang Islam ketika berjemaah di Masjid , bakar masjid & Surau serta mangsa dari Orang Islam yang dicampak ke dalam longkang setelah dibelasah dengan parang & kayu besbol mengundang kemarahan orang-orang Islam di situ..
Perintah darurat dikeluarkan oleh PDRM & FRU .. harap semua pejuang-pejuang- 30 dalam langkah "Standby" kerana apa-apa sahaja boleh berlaku..buat masa sekarang biarkan pihak polis & Fru jalankan tugas mereka kerana keadaan memang dah terlalu tegang...kita cuba elakkan rusuhan kaum kerana dikhuatiri akan membabitkan pihak-pihak yang tiada kaitan & merbahayakan nyawa orang-orang Melayu Islam kita di situ sendiri dari kaum wanita & kanak-kanak dan bimbang merebaknya rusuhan kaum ini ke kawasan lain...
yang penting dinasihatkan kita sentiasa bersatu, langkah "Standby" & jangan terlalu bertindak membabi buta.. tetapi lebih kepada langkah berjaga-jaga , BERSEDIA & BERSATU seandainya perkara yang tidak diingini berlaku..umat Islam dinasihatkan berwaspada & jangan bertindak mengikut emosi..(Sumber Maklumat : Ayahanda-Ayahanda Sg Petani , Kedah)
Pisau Kedah berada di Taman Bandar Baru sejak dari petang tadi, namun kehidupan masyarakat di taman berkenaan berjalan seperti biasa, kedai runcit dan kedai makan beroperasi seperti biasa.
Kisah pergaduhan di Paya Nahu seperti yang diceritakan adalah tidak benar seperti yang di sebarkan.
Sebenarnya pergaduhan di Paya Nahu adalah pergaduhan biasa antara Mat Rempit Melayu dan Mat Rempit India setelah perbalahan yang berpunca dari tidak puas hati setelah kalah dalam berlumba, namun ianya sudah berlaku beberapa hari lepas dan tiada seberang pergaduhan extreme yang berlaku.
Akibat dari penyebaran palsu berkenaan, Pihak Polis dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbangkan penyebaran Maklumat PALSU yang boleh menimbulkan keteganggan antara kaum.
Di bawah merupakan kenyataan terbaru dari pihak PDRM berkenaan penyebaran maklumat PALSU
STATUS TERKINI KES PERGADUHAN DI SG PETANI:
Berikutan berlakunya satu kes pergaduhan di Sungai Petani, beberapa anggota polis telah ditugaskan ke lokasi kejadian dan keadaan kini adalah terkawal. Ketua Polis Kedah akan memberikenyataan rasmi berhubung insiden tersebut dalam masa terdekat.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih
berhubung kejadian tersebut yang boleh menggugat ketenteraman awam. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan