Translate
Tajaan
Jumaat, 21 Disember 2012
Sukarnya menjadi mualaf
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Mengejutkan! Pada 29 November 2009, terbaca berita menggemparkan dalam Mingguan Malaysia mengenai seorang mualaf dirogol oleh ketua kepada sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ketika meminta pertolongan daripada mereka. Akhbar Cina tanpa usul periksa mengaitkan dengan persatuan Cina Muslim. Apakah tujuan akhbar ini yang sebenar. Saya tidak pasti persatuan Cina Muslim yang mana, tetapi sudah tentu bukan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Kenapa perkara ini harus berlaku? Amat memalukan sama sekali apabila seorang saudara Muslim cuba menumpang berteduh tetapi telah diambil kesempatan. Apakah salah mereka? Kenapa kita sanggup mengambil kesempatan terhadap mereka? Tidakkah mereka wajar dilindungi? Tidakkah kita terfikir akan imej Islam yang akan tercalar disebabkan oleh perbuatan jijik ini?
Apapun yang telah terjadi, semuanya di bawah ketentuan Allah SWT. Kita perlu mengambil pengajaran. Kita mesti mengambil pengajaran daripada setiap peristiwa yang berlaku sama ada baik atau buruk, terutamanya yang buruk.
Saya yakin peristiwa hitam ini tidak akan berlaku jika ada pusat perlindungan saudara Muslim yang berkali-kali telah saya bangkitkan. Kita sudah mempunyai terlalu banyak pusat latihan, latihan itu dan latihan ini. Malangnya, kita masih tidak mempunyai pusat latihan saudara baru atau saudara Muslim. Tempat untuk mereka berteduh setelah memeluk agama Islam. Sedangkan pusat tersebut boleh dibina dengan mudah menggunakan wang zakat yang dikutip hampir satu billion setiap tahun bagi negeri-negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Bukannya susah, ambil sahaja satu peratus, bukannya 10 peratus, daripada satu billion wang zakat, maka akan tersergamlah dengan megahnya pusat kebajikan atau latihan saudara Muslim. Mereka ada tempat mengadu dan berteduh. Malangnya, penantian ini tidak pernah kunjung tiba walaupun kita telah merdeka 52 tahun.
Persoalannya, kenapa susah sangat hendak membina pusat latihan atau rumah perlindungan saudara Muslim? Apakah kekangannya sehingga kita mengabaikan kebajikan mereka yang dijamin oleh Allah SWT dalam al-Quran? Jika saudara Muslim tidak penting, maka tidak perlulah diwujudkan jabatan atau unit khas pengIslaman mereka dan kebajikan mereka. Apakah kewujudan unit saudara Muslim sekadar untuk lakonan semata-mata untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat soal hidup mati saudara seMuslim?
Kenapakah hari ini bila sebut sahaja memeluk agama Islam, maka terbayang di wajah kita adalah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) atau Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), bukannya pejabat agama? PERKIM dan MACMA hanyalah badan NGO. Kami tidak ada wang yang banyak. Kami tidak ada otoriti untuk ‘mengIslamkan’ mereka mengikut saluran undang-undang. NGO hanya membantu mengIslamkan mereka, tetapi dari segi dokumentasi dan aplikasi dan implikasi undang-undang, semua tertakluk kepada Jabatan Agama Islam setiap negeri. Siapakah seharusnya lebih berperanan, NGO atau pejabat agama Islam?
Saya ingin mengingatkan kita semua bahawa tidak semua mereka yang memeluk Islam diterima baik oleh keluarga mereka. Ada yang dihalau keluar rumah, tidak kurang yang dikasari, diugut bunuh atau dibunuh dan sebagainya. Masih ingatkah lagi kita satu keluarga India Muslim yang dibunuh dalam sebuah kontena di Sungei Way satu ketika dahulu? Sehingga ke hari ini saya masih menunggu jawapan siapakah pembunuh kejam itu? Pendek kata, memeluk agama Islam bukanlah suatu perkara mudah untuk dihadapi oleh saudara Muslim walaupun memeluk agama Islam itu amat mudah dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah. Itupun tidak mudah jika berhadapan dengan pelbagai birokrasi. Ini belum termasuk untuk mendapatkan bantuan yang sememang menjadi hak saudara Muslim.
Persoalan saya, bilakah keadaan ini akan berubah? Apakah kita harus mendengar peristiwa sebegini berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang? Apakah tindakan proaktif kita? Ke manakah wang zakat yang dikutip sekian banyak setiap tahun? Apakah ia benar-benar disalurkan untuk kegunaan lapan asnaf tersebut yang perlu disusun mengikut keutamaan dakwah Islamiyyah hari ini?
Masih terbayang 24 tahun lalu ketika mula-mula memeluk Islam pada usia 20 tahun. Saya tidak mendapat satu senpun duit zakat, tidak ada follow up. Hidup bersendirian setelah memeluk Islam. Tiada siapa yang peduli kecuali seorang dua kawan baik saya. Nasib baik saya seorang lelaki, bayangkan jika saya seorang wanita. Saya tidak perlu ceritakan secara terperinci, cukuplah dengan mengatakan bahawa hidup sentiasa berada dalam ketakutan. Nak balik rumah takut dengan tindakan-tindakan di luar jangka. Maka berligar-ligar saya di sekitar ibu kota mencari rezeki dan sesuap nasi, sementara menunggu kemasukan ke universiti.
Perjalanan saya memeluk Islam amat panjang. Penuh ranjau dan duri. Sedikit sahaja yang manis, terlalu banyak yang pahit untuk ditelan. Pemelukan terhadap agama Islam bukan saya ditentang, malahan dihina dan dikeji oleh adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara yang tidak Islam. Tidak kurang yang memandang hina dari kalangan yang sudah Islam. Kepada yang bukan Islam, saya tidak menyalahkan mereka, sebab mereka tidak memahami Islam. Mereka hanya mendapat gambaran Islam melalui perlakuan dan tindak-tanduk orang yang dilahirkan Islam terutama orang Melayu dan Arab.
Jika buruk mereka, maka buruklah Islam. Islam dikaitkan dengan bangsa. Itulah kefahaman mereka. Saya tidak tahu sama ada ia sengaja disalahfahamkan atau memang ia adalah satu salahfaham. Sepanjang pengetahuan saya, gambaran Islam tidak dapat diperolehi daripada sumber yang sebenar. Dengan sebab itu, terlalu banyak gambaran dan gelaran yang negatif terhadap orang Islam. Saya ingat ia hanya berlaku 24 tahun yang lalu. Tetapi sehingga kini gambaran itu tidak banyak berubah.
Bila keadaan ini berlaku, kita perlu bertanya kenapa sekian lama masih tidak berubah? Di manakah silapnya? Pada saya semua berpunca daripada imej yang kita paparkan kepada mereka. Masuk Islam masuk Melayu. Masuk Islam, menjadi sengsara, merempat meminta pertolongan. Sepatutnya, keadaan sebegini tidak berlaku, sebab kita ada institusi yang mampu menjaga mereka. Sedangkan ia tidak berlaku apabila mereka memeluk Kristian. Kristian dikaitkan dengan barat yang membawa imej positif. Masuk Kristian, dialu-alukan dengan karpet merah. Tidak merempat, ada tempat perlindungan. Malahan mereka dilatih untuk menjadi tenaga penggerak dakyah Kristian.
Hari ini saya masih boleh bernafas untuk terus memperjuangkan Islam, hanya kerana saya memeluk Islam kerana saya faham dan menghayati Islam. Jika saya seperti mereka yang memeluk Islam kerana sesuatu, apakah mungkin saya telah murtad pada hari ini? Saya tidak tahu, semuanya di bawah ketentuan Allah SWT. Tetapi saya yakin, mereka yang kosong jiwa akan mengambil jalan pintas.
Bayangkan mereka yang tidak ada asas kukuh, memeluk Islam kerana ingin berkahwin dan tujuan lain. Ke manakah tempat untuk mengadu apabila rumah tangga berantakan, bercerai-berai dan beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi. Jika mereka tidak berfikir panjang, maka murtad adalah penyudahnya. Amat malang apabila mereka ini pula yang akan menjadi penentang kepada agama Islam. Banyak kes yang telah berlaku, apabila mereka memeluk Islam tanpa latar belakang yang kukuh, apabila masalah menimpa, mengambil jalan singkat untuk murtad. Musuh-musuh Islam mempergunakan mereka. Islam ditentang oleh mereka yang pernah memeluk Islam atau murtad.
Saya ada ramai rakan yang telah memeluk Islam sekian lama, tiba-tiba mahu kembali murtad. Saya bertanya, kenapa? Mereka menceritakan bahawa sekian lama berkahwin dengan orang Islam, mereka tidak pernah dibimbing atau diajar dengan mendalam erti kalimah syahadah. Apatah untuk bersolat. Hidup mereka happy go lucky. Tidak ada perubahan seperti sebelum dan selepas memeluk Islam. Ilmu tidak meningkat, malahan menjadi lebih buruk, apabila pasangan mereka berperangai lebih buruk daripada mereka yang bukan Islam.
Bayangkan ada satu pasangan yang telah 24 tahun berkahwin, suaminya adalah saudara Muslim tidak pernah diajar bersolat. Sekian lama bersama hidup dalam sebuah keluarga, tidur sekatil, tidak ada bimbingan dan tunjuk ajar. Jiwa kosong dan hampa. Tiba-tiba sisuami tidak semena-mena terjumpa dengan seorang gadis Kristian. Gadis tersebut mengajarnya apa itu Kristian dan Nabi Isa. Secara tiba-tiba suami terbuka hati dan terpikat dengan Kristian. Akhirnya, murtadlah sisuami. Siapakah yang bersalah? Siisteri atau pejabat agama? Jangan kita menuding jari siapa yang salah, siapa yang benar? Tetapi lihatlah apa yang salah, apa yang benar?
Apa yang salah dan apakah yang benar?
1. saudara Muslim dibiarkan tanpa bimbingan. Kita jarang bertanya keperluan mereka, yang ada hanya kata-kata sindiran bila mereka datang meminta bantuan. Tidakkah boleh kita melayan mereka dengan baik seperti guru-guru tadika mengajar anak-anak mengenal Islam, penuh sabar dan tekun?
2. pasangan yang dikahwini yakni lahir Muslim tidak membimbing saudara Muslim malah perangainya lebih buruk daripada bukan Islam. Bukankah sepatutnya mereka yang lahir Islam sepatutnya memberikan bimbingan kepada mereka yang baru Islam. Jika tidak mampu, buatlah sesuatu supaya ada peningkatan. Jangan biarlah diri kita terus jahil. Kejahilan itu amat bahaya kepada akidah Islam.
3. tidak ada follow up daripada pejabat agama. Pernahkah kita bertandang ke rumah mereka? Jumpa ibu bapa mereka. Tanya mereka, apakah mereka menimbulkan masalah setelah memeluk Islam. Apakah mereka memerlukan bantuan dan pertolongan? Amat jarang perkara ini dilakukan.
4. akhbar atau media massa selalu mensensasikan cerita-cerita buruk atau negatif mengenai orang Islam. Sedangkan kes-kes yang berlaku bersifat terpencil. Kebaikan orang Islam jarang ditonjolkan, keburukan orang Islam disensasikan. Adakah ini berbaloi dalam mempamerkan imej Islam.
5. layanan terhadap saudara Muslim ibarat peminta sedekah. Bila datang ke pejabat agama, sudah ada persepsi negatif bahawa mereka mahu bantuan duit zakat. Apakah salah mereka meminta duit zakat? Duit zakat itu bukan bapak kita yang punya, tetapi ia adalah hak mereka yang berada dalam kategori 8 asnaf. Apakah rugi jika kita sedekahkan kepada mereka sedangkan kita kutip saban tahun dalam jumlah yang begitu besar? Janganlah kerana satu ratus ringgit, mereka perlu tunggu sehingga satu minggu. Pada saya, jika sepuluh ribu ringgit boleh membawa saham besar kepada Islam, apakah nilai sepuluh ringgit itu berbanding dengan satu billion. Kita boleh berbelanja begitu besar untuk pertunjukan hiburan dan artis-artis, kenapa terlalu berkira dengan saudara Muslim.
6. sebenarnya, kita memandang rendah terhadap saudara Muslim. Jika kita bersangka baik dahulu terhadap saudara Muslim, saya tidak fikir akan berlaku kejadian-kejadian buruk seperti yang diceritakan.
7. pernahkah kita bertanya khabar atau mengambil nombor telefon mereka? Kita akan telefon mereka setiap minggu atau setiap bulan, bertanya khabar dan keadaan hidup mereka? Adakah semakin baik atau sebaliknya setelah memeluk Islam?
8. sedarlah bahawa kursus selama seminggu yang disediakan kepada mereka adalah tidak cukup untuk mengatakan bahawa kita telah melakukan follow up. Tambahkan kakitangan pejabat agama. Buat lawatan khusus dari rumah ke rumah setiap bulan. Kalau tidak mampu, hubungilah mereka melalui telefon.
9. tidak memahami prioriti atau keutamaan dalam berdakwah. Kita sepatutnya mengetahui siapa sasaran dakwah kita berasaskan formula bilangan penduduk. Orang Cina 25 peratus, India 8 peratus, bumiputera Sabah Sarawak 10 peratus dan orang asli 5 peratus. Hari ini kita ada unit dakwah orang asli, apakah wujud unit dakwah orang Cina, orang India dan bumiputera Sabah dan Sarawak?
10. kita lantik senator-senator mewakili parti, etnik, NGO dan golongan tertentu, termasuk orang asli, tetapi adakah senator di kalangan saudara Muslim turut dilantik?
11. jangankan dilantik sebagai senator, saya amat jarang melihat saudara Muslim dilantik sebagai ahli majlis, Majlis Agama Islam di setiap negeri. Pernahkah kita terfikir atau terbayang untuk melantik saudara Muslim menjadi pengarah, jabatan agama Islam negeri-negeri? Kalau tak banyak, satupun jadilah. Adakah permintaan ini terlalu besar?
Banyak lagi perkara yang boleh dihuraikan. Cukuplah setakat ini dahulu. Fahami lah wahai saudara seIslamku, memeluk agama Islam tidak semudah yang disangka. Memang kami ini ibarat kain putih seperti bayi yang baru lahir. Tetapi, apakah cukup sekadar berhenti setakat itu sahaja? Berbangga dengan tidak ada dosa selepas memeluk Islam, selepas itu dibiarkan begitu sahaja. Di manakah semangat persaudaraan sesama Islam?
Posted by Ridhuan Tee at 7:43 AM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan