izawan@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Kira-kira 60 bakal haji mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan apabila nama mereka tiada dalam senarai jemaah yang berlepas ke Tanah Suci Makkah, semalam.
Mereka turut tidak berpuas hati kerana gagal mendapat penjelasan munasabah daripada agensi berkenaan sebaliknya hanya diminta menunggu.
Bakal haji, Shahrom Ibrahim, 61, berkata dia dihubungi agensi itu pada 30 Oktober lalu memaklumkan dia berangkat ke Makkah, semalam.
“Agensi itu sekali lagi menghubungi saya Isnin lalu untuk mengesahkan kedatangan saya, jadi disebabkan gembira, saya mengadakan kenduri doa selamat kerana hasrat menunaikan Rukun Islam kelima menjadi kenyataan.
|
Dia yang membayar pakej berjumlah RM19,000 itu berkata, agensi itu hanya memintanya menunggu tanpa memberi masa atau tarikh baru menyebabkannya serba salah.
Aduni Mustafa, 63, pula berkata, dia malu dengan rakan lain selepas mengadakan kenduri doa selamat dan ibadat lain memohon keberkatan haji.
“Saya juga simpati apabila mendapat tahu ada bakal haji dari jauh seperti Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang datang tetapi terpinga-pinga selepas nama mereka tidak ada dalam senarai berlepas ke Tanah Suci.
“Saya sebagai ibu tunggal membayar RM18,900 dengan niat mahu menunaikan ibadat haji bukan melancong tetapi teraniaya begini,” katanya.
Isnawati Ismail, 28, berkata dia meminta pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu sebaik mungkin kerana ia membabitkan maruah bakal haji.
“Saya menemani ibu, Maknawiah Mafrol untuk berlepas ke Tanah Suci sebaliknya terkejut apabila namanya tiada dalam senarai.
“Kami menunggu dari jam 8 pagi kerana dimaklumkan penerbangan berlepas tengah hari tetapi nama tiada. Kami tidak tahu apa yang berlaku namun saya reda kerana perkara ini mungkin ujian Tuhan” katanya.
Sementara itu, jurucakap agensi berkenaan yang dihubungi petang semalam berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada semua jemaah mengenai masalah dihadapi malam kelmarin.
“Saya difahamkan masalah disebabkan visa belum diperoleh dan kami sudah menghubungi bakal haji malam kelmarin untuk memberi penjelasan serta meminta maaf tetapi ramai yang ke Kelana Jaya, hari ini (semalam).
“Hari ini (semalam) juga ramai bakal haji datang ke pejabat. Ada yang faham dan ada yang marah. Pihak pengurusan agensi juga belum pulang dari Kelana Jaya, mungkin untuk memberi penjelasan kepada bakal haji mengenai masalah sebenar,” katanya.
Harian Metro
iDAN:
Tak larat nak dengar tiap tahun pasti ada jemaah haji terkandas akibat agensi swasta ini. Rasanya lebih selamat ikut Tabung Haji, nama sahaja pakej terkadang janji sahaja.
Bila buat komplen; jawapannya mudah
"Kena sabar, jemaah haji kena sabar!"
Bila makanan di sana cuma telor & nasi sahaja!
"Ini Tanah Suci itu sahaja rezekinya, hanya itu hak masing-masing!"
Emmm! dalam beribadah haji pun ada orang yang berani ambil untung besar yang tak munasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan