Translate

Tajaan

Khamis, 5 November 2009

Kadar Shah enggan balik Malaysia - Tuntutan nafkah mutaah RM5 juta bekas isteri tertangguh (Ceritera)




KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah mendakwa enggan pulang ke negara ini kerana khuatir akan keselamatan diri dan nyawa yang diancam bahaya.

Kadar Shah, 62, kini berada di Amerika Syarikat memberikan alasan tersebut setelah gagal hadir perbicaraan tuntutan nafkah mutaah RM5 juta serta edah RM60,000 oleh bekas isterinya, Datin Fauziah Haron, 53, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Hakim Syarie, Mohd. Shukor Sabudin bagaimanapun enggan menerima alasan tersebut dan memberikan peluang terakhir kepada Kadar Shah untuk hadir ke mahkamah pada 30 November depan.

Sekiranya gagal hadir, perbicaraan akan diteruskan tanpa kehadiran ahli politik itu.

Terdahulu, peguam syarie, Putri Imee Megat Abdullah yang mewakili Kadar Shah selaku defendan kes itu memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di luar negara atas alasan keselamatan dirinya terancam sekiranya pulang ke negara ini.

Perkara itu turut disahkan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Fauziah bahawa ada menerima surat yang diserahkan kepadanya melalui peguam defendan kelmarin.

"Defendan dalam suratnya memberitahu keselamatan diri terancam berdasarkan rumahnya yang dimasuki pencuri pada 21 Jun lalu manakala pembantu rumahnya diperkosa menyebabkan defendan percaya dirinya menjadi sasaran penjenayah kerana bilik tidurnya turut digeledah," katanya.

Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan