Translate

Tajaan

Khamis, 5 November 2009

Maut langgar kereta pelakon




KUALA LUMPUR - Bimbang gambarnya dirakam, seorang pelakon veteran lelaki bertindak melarikan diri selepas terlibat dalam satu kemalangan yang mengakibatkan kematian seorang remaja di Kilometer 7-3 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kepong di sini awal pagi semalam.

Kejadian pukul 1 pagi itu berlaku apabila kereta BMW yang dipandu pelakon berusia 51 tahun itu bertembung dengan sebuah motosikal yang dinaiki Tuan Mohamad Nul Hakim Tuan Long, 21, dari Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan.


MOTOSIKAL ditunggangi Tuan Mohamad berlanggar dengan kereta BMW milik seorang pelakon di MRR2, Kuala Lumpur semalam.


Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 bertindak melawan arus dengan menunggang di lorong kanan selepas melihat sepasukan polis sedang melakukan sekatan jalan raya di situ.

Pemuda terbabit dipercayai bertindak demikian kerana takut dikenakan tindakan ekoran tidak mempunyai lesen memandu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan kereta dipandu pelakon itu tidak dapat mengelak motosikal yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang baru tiba di sini dan tinggal di Sungai Plong, Sungai Buloh meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Kosmo!

iDAN: Siapa pula Pelakon ini?.

Pelakon terbabit nahas maut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hanya kerana salah faham berhubung artis terkenal tanah air bernama `Zaidi’ yang didakwa melanggar mati seorang penunggang motosikal, pelakon Zed Zaidi turut terheret dalam teka-teki berhubung kemalangan ngeri awal pagi semalam.

Zed Zaidi , 29, yang dikaitkan dengan kemalangan maut di Lebuh Raya Lingkaran Tengah berhampiran Batu Caves di sini, menafikan kereta BMW yang terbabit kemalangan itu miliknya seperti diperkatakan.

Zed Zaidi atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil turut menafikan berada di lokasi kejadian selain mendakwa maklumat yang mengaitkan namanya itu tidak tepat sama sekali.

Bagaimanapun, misteri identiti artis berkenaan terjawab apabila polis mengesahkan artis berkenaan adalah pelakon Zaidi Omar, 48, bukannya Zed Zaidi.

Zaidi Omar yang kini aktif dengan ceramah keusahawanan e-dagang bersama pelakon dan penyanyi, N D Lala didakwa menjadi `mangsa keadaan’ apabila gagal mengelak sebelum merempuh motosikal yang datang dari arah bertentangan.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, pelakon berkenaan dipercayai gagal mengelak sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang secara berbahaya dengan melawan arus.

Sumber polis berkata, ketika kejadian pelakon terbabit yang memandu BMW bersendirian melanggar mangsa di Kilometer 7.3 Lebuh raya Lingkaran Tengah (MRR2) dari arah Kepong menuju bulatan Batu Caves, Gombak di sini.

“Pelakon berkenaan yang memandu di lorong laju dipercayai gagal mengelak sebuah motosikal yang ditunggang melawan arus sebelum berlaku pelanggaran kuat. Akibatnya, penunggang motosikal berkenaan tercampak ke arah cermin hadapan kereta menyebabkan cermin hadapan sebelah kanan kenderaan pecah.

“Penunggang motosikal berkenaan kemudian melambung pula ke tengah pembahagi jalan sebelum mati di tempat kejadian. Motosikal mangsa turut diseret kira-kira 50 meter,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai Tuan Mohamad Nul Hakim Tuan Long, 21, dari Tumpat, Kelantan.

Zaidi yang menyedari kehadiran wartawan cuba mengelak gambarnya diambil dan bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

“Zaidi cukup terkejut dengan kemalangan itu yang pastinya menyebabkan dia trauma seketika kerana tidak menyangka terbabit dengan kemalangan maut,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Wartawan Harian Metro gagal menghubungi telefon bimbit Zaidi Omar yang juga pelakon filem `Perempuan, Isteri dan...’

Difahamkan pelakon yang sinonim dengan watak lelaki budiman itu sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Bandar di sini, semalam.

Susulan itu polis trafik meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi polis trafik Jalan Bandar.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan