WALAUPUN tidak mempunyai pantai, namun salah sebuah hotel di bawah YTL Hotel & Properties terpilih menerima anugerah resort terbaik di Malaysia bagi tahun ini.
Anugerah yang diterima itu adalah hasil sokongan dan undian daripada 600 pengundi di Malaysia yang dikendalikan oleh majalah Expatriate Lifestyle. Undian itu diadakan dari bulan Jun hingga September tahun ini.
Jumlah undian yang diterima meningkat sebanyak 80 peratus berbanding tahun 2008.
Hotel yang menerima anugerah itu adalah Cameron Highlands Resort di Pahang, sementara SPA Village, Tanjong Jara Resort di Terengganu dipilih sebagai spa terbaik.
Dalam pemilihan itu, Cameron Highlands Resort menerima saingan hebat daripada undian yang diterima oleh Hotel Hilton Batang Ai di Sri Aman, Sarawak.
Menurut kenyataan YTL Hotel & Properties, Cameron Highlands Resort dipilih kerana keindahan panorama resort yang berhadapan dengan sebuah padang golf yang memukau pandangan.
Resort itu juga dikelilingi dengan kehijauan bukit yang memberikan sejuta ketenangan buat pengunjung yang datang untuk merehatkan minda mahupun menjalankan aktiviti riadah melalui sukan golf.
Selain kekal dengan keaslian semula jadi, ia juga kaya dengan tradisi Inggeris bagi memenuhi keperluan masyarakat Asia. Tarikan lain termasuklah restoran yang eksklusif dan kemudahan spa yang unik dan menawarkan kaedah rawatan tradisional daripada daun teh.
Tarikan lain yang menarik hati juri untuk memilih resort itu sebagai yang terbaik adalah lokasinya yang berdekatan sebuah bukit. Bukit itu diibaratkan sebagai satu lokasi ajaib untuk dilihat oleh setiap pengunjung yang bermalam di situ. Dari situ, anda boleh melihat pemandangan Cameron Highlands yang sangat indah.
Sementara itu, Tanjong Jara Resort pula mendapat pengiktirafan resort lima bintang dengan rekaan eksklusif.
Pembinaan resort yang mempunyai 99 buah bilik dengan seni bina berukiran tradisional Melayu abad ke-17 itu dilengkapi taman, kolam renang dan pusat kecergasan.
Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan