Translate

Tajaan

Sabtu, 7 November 2009

Gol awal ubah segalanya (Sukan)


KAPTEN pasukan Negeri Sembilan, Rezal Zambery Yahya mencium Piala Malaysia yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir malam tadi. Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir.

"GOL awal menjadi punca kejayaan kami menjulang Piala Malaysia."

Demikian tegas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan selepas skuad kendaliannya itu menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam tadi, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

"Dalam final, semua jurulatih mahukan gol awal kerana ia bakal menjadi penentu. Alhamdulillah kami berjaya melakukannya.

"Ia betul-betul telah mengubah corak permainan, sekali gus menanamkan keyakinan kepada pemain," kata jurulatih yang berasal dari Johor itu.

Wan Jamak turut berpuas hati kerana Negeri Sembilan berjaya mencipta rekod tersendiri apabila menang semua 11 perlawanan yang diharungi mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

"Setiap jurulatih pasti akan puas apabila pasukannya menang. Saya boleh dianggap jurulatih yang pernah kecewa (ketika membimbing skuad kebangsaan) tetapi saya belajar daripada kesilapan dan kembali semula demi kemajuan bola sepak negara," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, B. Sathianathan menyalahkan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan seorang pemain bawah 20 tahun dalam kesebelasan utama dan dia menyifatkannya sebagai 'mencacatkan' perancangannya.

"Pemain bawah umur kami, Zamri Ramli beraksi di bawah prestasi sebenar hari ini (semalam). Tapi saya tak boleh mengeluarkannya kerana dia pemain pertahanan sedangkan seorang lagi pemain bawah umur kami merupakan pemain penyerang (Izuan Solahudin).

"Apa pun Negeri Sembilan memang layak menang. Mereka dapat gol awal hasil kesilapan pertahanan kami dan gol kedua pada awal babak kedua menjadikan pemain mereka bertambah yakin," katanya.

Sathianathan menambah, Kelantan tewas bukan disebabkan mereka tertekan dengan harapan tinggi daripada penyokong setianya sebelum final berlangsung tetapi disebabkan keadaan perlawanan itu sendiri.

"Kami tidak berada pada tahap sebenar dan saya anggap ini adalah prestasi terburuk dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

"Saya anggap Shukor Adan, Aidil Zaquan Radzak dan Hairuddin Omar sebagai watak utama yang mencorakkan permainan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir ini," jelas Sathianathan.

Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan