anbia@hmetro.com.my
|
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga layak digelar ‘raja sawa’ apabila dikesan menyimpan puluhan ular sawa hidup seberat 600 kilogram secara haram dengan tujuan untuk dijual daging dan kulitnya.
Semua 59 ular sawa yang dianggarkan bernilai lebih RM20,000 berkenaan adalah rampasan terbesar reptilia terbabit di Selangor sepanjang tahun ini hasil risikan sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Bahagian Perundangan Dan Penguatkuasaan Perhilitan, Saharudin Anan, berkata rampasan dilakukan Ahad lalu apabila lima pegawai unit jenayah hidupan liar dari Ibu Pejabat Perhilitan Kuala Lumpur membuat serbuan di sebuah rumah pemprosesan di Sungai Pelek, Sepang.
Menurutnya, serbuan diketuai Timbalan Pengarah Perhilitan, Celescoriano Razond, dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat pemilik tempat pemprosesan dalam ladang sawit itu mendapatkan bekalan ular sawa daripada pembekal haram.
“Hasil pemeriksaan jam 11 pagi di premis berkenaan, pegawai WCU menemui pelbagai spesies hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, Akta 76.
“Semua ular yang dirampas berkenaan ditemui tersimpan di stor penyimpanan berasingan dalam rumah pemprosesan berkenaan yang diselia beberapa lelaki warga tempatan.
Menurutnya, antara barang rampasan yang ditemui adalah 59 ular sawa hidup (python reticulatus), 39 kulit ular sawa dan 26 kulit biawak air (varanus salvator).
“Selain ular sawa hidup dan kulit ular sawa berkenaan, pegawai WCU menemui beberapa ular tedung yang turut disimpan dalam premis berkenaan.
“Kami percaya premis berkenaan dijadikan lokasi untuk memproses ular sawa yang diperoleh daripada pembekal termasuk pemburu haram. Ular sawa hidup yang baru sampai ke rumah pemprosesan berkenaan akan disembelih sebelum kulitnya dilapah,” katanya.
Menurutnya, kulit ular sawa berkenaan dikeringkan sebelum dijual untuk pasaran antarabangsa.
Sementara itu, daging haiwan berkenaan turut dijual kepada pemilik restoran makanan eksotik.
“Walaupun pemilik rumah pemprosesan berkenaan mempunyai lesen untuk berniaga haiwan liar, namun dia hanya dibenarkan untuk mendapatkan bekalan sah daripada penangkap berlesen yang diberikan Jabatan Perhilitan,” katanya.
Menurutnya, peniaga terbabit boleh dihukum mengikut seksyen berbeza antaranya tuduhan kerana memiliki ular sawa hidup yang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau tidak melebihi tiga tahun penjara mengikut Seksyen 68, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan