Translate

Tajaan

Khamis, 5 November 2009

Periksa kenderaan lebih 15 tahun masih dikaji

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kerajaan akan meneliti laporan berhubung bantahan beberapa pihak terhadap langkah mewajibkan semua kenderaan penumpang berusia lebih 15 tahun membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom Sdn. Bhd.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penelitian itu perlu sebelum sebarang keputusan dibuat termasuk kemungkinan mengecualikan pihak tertentu daripada peraturan itu.

''Saya mahu Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab tentang soal ini membuat laporan balik kepada kerajaan dan ini selaras dengan kedudukan kita sebagai kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka.

''Mereka yang tidak bersetuju juga harus kemukakan kes-kes kenapa mereka rasa susah untuk syarat ini dikenakan dan dilaksanakan. Kalau ada asas tertentu, mungkin boleh dibuat pengecualian tetapi ini kita kena teliti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Akuakultur Asia Pasifik 2009 dan Ekspo Makanan Laut Antarabangsa Malaysia 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas bantahan pelbagai pihak sebelum ini termasuk pemilik kereta antik dan individu berpendapatan rendah yang menganggap langkah itu akan membebankan mereka.

Peraturan baru itu membabitkan kira-kira sejuta kenderaan penumpang dan dilaporkan ia boleh menjejas industri jualan kereta terpakai.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tujuan asal kerajaan memperkenalkan peraturan berkenaan bukan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya bagi keselamatan orang ramai.

''Saya dapati ada pemilik kereta antik melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana keretanya akan diuji selepas 20 tahun dimilikinya dan terdapat di kalangan orang kurang berada yang takut langkah ini akan menyebabkan mereka perlu membayar kos yang lebih," katanya.

Utusan

iDAN:

Jika masuk ke Puspakom itu percuma demi untuk keselamatan apalah salahnya tetapi jika sekali masuk sampai ratusan RM, ada kecacatan kena ratusan RM lagi, memanglah memeningkan. Ramai tak setuju sebabnya sering berlaku jika kesilapan kecil umpama lampu isyarat tak hidup, atau brek umpamanya tak berfungsi mengikut piawaian, maka kena ambil borang semula di JPJ kena bayar semula kos di Puspakom.. bagai sebermuka. Sakit tu!. Masanya pula bukan kejap.

Aku pun ada kereta lama, bukan antik; cuma itu yang mampu dipakai, nak jual pun berapa sangat harganya. Jangan perli golongan pendapatan rendahlah...kawan! Kami pun teringin nak pakai kereta baru kalau mampu. Huh!.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan