Translate

Tajaan

Khamis, 5 November 2009

Aril AF7: Nak kritik, biarlah berpada! (Hiburan)


LAKONAN Aril dan alumni Akademi Fantasia (AF) yang lain menerusi drama ‘Kau Dan Aku’ yang sedang disiarkan di Astro Ria mula dikritik oleh peminatnya dan penonton drama Melayu tempatan.

Naib juara AF7 itu berkata mungkin ada pihak yang kurang berpuas hati dengan lakonan mereka memandangkan masing-masing masih ‘hijau’ dalam industri seni ini.

“Ramai yang mengharapkan drama itu akan memberikan satu impak besar dan berjaya.

“Tetapi saya harap sebelum ada yang hendak ‘memaki’ kami lebih baik fikir baik-baik dulu kerana kami pendatang baru yang berada pada tahap masih mencuba dalam seni lakonan.

“Kalau ada kekurangan dalam jalan cerita atau lakonan kami, janganlah kritik dan hina kami teruk-teruk.

“Saya bukanlah hendak mempertahankan diri-sendiri sahaja tetapi untuk kawan-kawan lain juga,” luah Aril yang lantang bersuara.

Setelah dua episod disiarkan, Aril berkata ada pihak yang memuji dan tidak kurang juga menghentam teruk drama arahan empat orang pengarah itu.

“Ada yang kata drama itu berjaya dan ada juga yang kata gagal tetapi kalau nak beri kritikan tu biarlah berpada-pada,” kata penyanyi yang sedang popular menerusi lagu ‘Menatap Matamu’ ini.

Memandangkan Aril pernah mempunyai latar belakang dalam seni teater, dia cuba menggilap bakatnya itu dengan berlakon dalam drama itu dan sebuah lagi telefilem iaitu ‘Shuffle Milikku’ untuk stesen TV yang sama.

“Saya banyak juga mengutip pengalaman berlakon semasa di AF7. Dari situ saya praktikkannya ditambah dengan bantuan daripada pelakon senior seperti Azizah Mahzan, Riezman Khuzaimi dan Nurul. Mereka tak lokek,” ujarnya yang mempunyai asas lakonan teater sejak di bangku sekolah sehingga mengikuti persembahan di bawah Akar Gitar Estetika di Pusat Pelancongan Malaysia sejak lima tahun lalu.

Selepas berlakon drama dan telefilem, Aril mahu memfokuskan kepada bidang nyanyian pula.

"Bagi saya cukuplah pengalaman berlakon dah ada. Saya nak tumpu pada muzik pula.

"Sekarang ini, saya ada menulis beberapa lirik lagu yang mungkin akan dinyanyikan oleh diri-sendiri atau orang lain.

"Saya dan Akim juga telah merancang untuk membikin single terbaru kami dengan usaha sendiri. Apa-apa pun, saya akan beritahu kemudian," tuturnya yang menggemari muzik aliran rock.

Sambut hari lahir di hotel bertaraf empat bintang

Semalam merupakan hari lahir Aril yang ke-24. Jejaka yang digilai ramai wanita ini akan meraikan hari jadinya bersama kelab peminatnya, Aril Lovers pada 7 November ini, Sabtu, pukul 8 hingga 11 malam di Hotel Boulevard, Mid Valley.

Menurut Aril yang popular dengan tagline 'Terbaek Wok', dia akan menjayakan majlis makan malam itu dengan menghidangkan persembahan lima hingga enam lagu bersama bekas rakan-rakan band Sky yang pernah disertainya dahulu.

Dalam seronok meuar-uarkan majlis yang dikenakan bayaran RM90 untuk dewasa dan RM60 (kanak-kanak) itu, tiba-tiba Aril bergurau ‘tiga tahun lagi boleh kahwin’.

Ketika meminta penjelasan itu, dia berkata waktu itu memang setiap lelaki akan mempersiapkan diri mereka untuk mendirikan rumah tangga termasuk dirinya.

“Saya nak berjaya dalam hidup, karier dan ilmu akhirat terlebih dahulu. Apabila umur saya dah mencecah 27 tahun, baru saya akan fikir tentang kahwin dan mengukuhkan kewangan saya,” beritahunya.

mStar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan